Sunday, January 25, 2009

ISRAEL-AS vs PALESTINE-IRAN : BARAT TAKUT DENGAN ISLAM?

ISRAEL-AS vs PALESTINE-IRAN : BARAT TAKUT DENGAN ISLAM?

Hari ini masuk hari ke-21 warga Palestin diperangi habis-habisan di Gaza. Serangan demi serangan selayaknya dipanggil penghapusan etnik itu membuktikan ketakutan bangsa Israel terhadap satu bangsa yang berani melawan mereka dan belum terhapus sehabisnya meski sudah lebih 50 tahun cuba diperangi oleh bangsa berhati kering tersebut.

Penganut Islam sejati tidak mengharapkan balasan material atau ganjaran keduniaan, sekadar mengharap ditempatkan di syurgaNya sebagai ganjaran mempertahankan akidah dan tanahair yang penuh barkah dan karamah. Oleh itu, mereka tidak takut berjuang berjihad menegakkan kebenaran Islam dan membela umatnya yang teraniaya. Meletupkan diri sebagai salah satu melawan musuh Islam adalah salah satu cara menifestasi akan keberanian dan hakikatnya mati itu pasti serta kesediaan bertemu Penciptanya dalam darah jihad. Keikhlasan itu semata-mata kerana mengharap syahid dan diterima bulat-bulat di syurga atas ganjaran kesungguhan membela kesucian agama dan penganutNya.

Barat mengetahui hakikat ini bahawa pejuang Islam tidak takutkan hakikat kematian walaupun dengan jalan mengorbankan diri. Konsep ini tidak wujud sama sekali dalam agama mereka ataupun mereka tidak yakin dengan ketinggian agama mereka, atau mereka tidak bertindak mengikut lunas mana-mana agamapun. Maka mereka mencipa pelbagai senjata dan teknologi yang dapat digunakan menentang musuh dengan tidak perlu mengorbankan diri, misalnya dengan penciptaan peluru berpandu jarak jauh dan jarak dekat, atau senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Stealth, Unmanned Aerial Vehicle (UAV), atau kapal selam senyap juga adalah contoh senjata barat yang dicipta untuk mengatasi ketakutan mereka dengan membina atau menghantar teknologi yang memerlukan mereka melakukan kemusnahan dengan tidak perlu berhadapan secara nyata. Ini adalah satu bentuk teknologi untuk sang penakut mati yang langsung tidak yakin dengan balasan baik agamanya.

Bukan untuk mengatakan teknologi ketenteraan atau persenjataan tidak penting untuk menegakkan syiar Islam - Rasulullah sendiri menggunakan pelbagai pendekatan diplomasi dan strategi peperangan untuk memenangi perjuangan dengan kaum Mushrik - namun kekuatan akidah dan yakin dengan kebesaran dan pertolonganNya juga satu bentuk perjuangan fundamental yang paling asas dan yang paling kuat, yang telah dibuktikan oleh Rasulullah mampu menegakkan syiar Islam sehingga ke pelusuk dua pertiga dunia. Namun umat Islam hari ini seperti buih di lautan, jumlahnya ramai bertebaran di merata ceruk dunia namun tidak bersatu apatah lagi kuat untuk menentang menentang ancaman secara kolektif.

Dalam konteks Palestin yang serba-serbi kekurangan, melawan penindas dengan cara mengebom diri demi membanteras tentera Israel di jalanan adalah jalan perjuangan yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja dan dimana-mana sahaja. Sekurang-kurangnya mereka boleh menjawab dengan Allah nanti, ”Aku telah melakukan sesuatu yang paling aku mampu, Ya Allah!” Situasinya tidak sama dengan negara kita yang mengizinkan kita berjuang sesuatu secara aman dan demokratik untuk memenuhi sesuatu kepentingan.

Dalam dunia bergolak yang hampir semua agenda keselamatan (dan peperangan!) ditentukan oleh sebuah negara yang hegemoni (Amerika Syarikat) dan keputusan-keputusan keselamatan ditentukan oleh kesepakatan beberapa negara (Amerika dan sekutunya; atau PBB); salah satu jalan mengubah normal ini adalah dengan negara-negara mengambil jalan menentukan keselamatan dan kelangsungan daya hidup (survival) mereka sendiri, misalnya melabur dalam sumber yang mampu dibangunkan sebagai senjata strategik pada suatu hari nanti.

Iran misalnya, mengakui mengadakan usaha mencambahkan uranium untuk menampung kegunaan tenaga pada masa hadapan, namun jika diperhalusi ia juga satu bentuk jaminan keselamatan untuk negara itu sendiri kerana sumber itu amat mudah dibangunkan sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) untuk tujuan cegah rintang (deterrrence) atau membalas serangan musuh terutama musuh-musuh Iran seperti Amerika yang terus-terusan menekan Iran agar mendedahkan tahap dan teknologi penguraian uranium tersebut. Sikap paranoid dan tekanan ini adalah adalah satu bentuk ketakutan akan munculnya sebuah kuasa Islam yang dipimpin oleh pemimpin yang terang-terangan mengisytiharkan kesanggupan melawan Amerika jika diserang. Keperibadian beliau yang zuhud dan berani juga selari dengan kekosongan dunia Islam akan perlunya seorang pemimpin negara Islam yang beraspirasi Islam original. Mahmud Ahmadinejad, pemimpin Iran adalah pemimpin yang dipandang memenuhi aspirasi keberanian oleh kebanyakan Muslim di dunia.

Jika Barat atau Amerika tidak paranoid atau takut akan risiko sumber (nuklear Iran) digunakan sebagai senjata menentang mereka kelak, mereka sepatutnya lebih bersikap terbuka, aman dan diplomatik dengan Iran. Barat, Amerika terutamanya amat takut sekiaranya kejahatan mereka ke atas negara-negara Islam dibalas dengan kejahatan juga. Walau apapun sebab pencerobohan mereka (demokrasi, ekonomi, atau seumpamanya) namun berlaku ’double standard’ dalam misi strategik mereka di luar Amerika iaitu hanya negara-negara Islam sahaja yang diserang dan ditumbangkan kerajaannya secara tidak sah sekaligus menceroboh kedaulatan dalaman negara tersebut.

Kesimpulannya, Barat sebenarnya takut dengan kekuatan Islam, sama ada dari segi keteguhan akidahnya ataupun keikhlasan penganutnya kepada penciptanya. Di negara yang tidak berjaya dilemahkan secara halus (Malaysia telah berjaya dilemahkan dengan cara ini), Barat menggunakan pendekatan sekatan ekonomi (contohnya ke atas Libya), pencerobohan (Iraq dan Afghanistan), kucar-kacir dalaman oleh CIA (Pakistan), serta tekanan antarabangsa terhadap polis dan kepimpinan (ke atas Iran). Semua ini hanyalah menifestasi ketakutan mreka terhadap bangkitnya sebuah negara atau kesatuan negara Islam yang kuat yang mereka labelkan sebagai Caliphate (Khalifah). Barat sangat membimbangi kuasa ini yang ditunjangi akidah dan pemimpin yang bersatu hati menentang siapa sahaja musuh Islam dan membela mereka yang dianiaya Barat.

Barat tahu mereka ini akan memenangi sebarang pertempuran dengan pendokong Khalifah kerana golongan Islam sejati seperti ini yakin pertolongan Allah kepada hamba-hambanya yang bertakwa. Keyakinan inilah yang secara halus harus dipesongkan atau ditumbangkan dahulu secara perlahan-lahan oleh Barat demi memastikan umat Islam kucar-kacir dan tiada tempat bergantung (iaitu kepada Allah yang sepatutnya menjadi sumber kekuatan dan pergantungan sepenuhnya atas apa-apa ikhtiar). Pendudukan Barack Obama di Rumah Putih juga bukanlah harapan kepada umat Islam sedunia kerana beliau telah beberapa kali berikrar akan terus mempertahankan kepentingan Amerika di pentas dunia dan Israel di Asia Barat.