Wednesday, September 17, 2008

THUCYDIDES : SUMBANGAN DAN APLIKASI SUMBANGANNYA KEPADA KESELAMATAN MALAYSIA

Thucydides

Athens zaman Thucydides

History of Peloponnesian War by Thucydides

Acropolis - kota tinggalan zaman Athens


THUCYDIDES : SEJARAH HIDUP, SUMBANGAN DAN APLIKASI SUMBANGANNYA KEPADA KESELAMATAN MALAYSIA


Abstrak

Kertas kerja ini ditulis untuk melihat sejarah hidup dan sumbangan seorang ahli strategi yang terawal dalam pengajian strategi dan hubungan antarabangsa iaitu Thucydides. Beliau seorang bekas jeneral Athens dan negarawan Greek yang terulung pada zamannya. Pemikirannya akan dilihat berdasarkan dua fokus utama iaitu dalam aspek militari dan keselamatan negara. Seterusnya kedua-dua aspek ini juga akan dibuat perbandingan dalam konteks strategi dan keselamatan Malaysia untuk melihat sejauhmana Malaysia memakai pendekatan strategi yang dicatatkan oleh Thucydides dalam bukunya The Peloponessian War.

Pengenalan

Thucydides (460 SM – 400 SM) adalah seorang bekas jeneral Athens dan negarawan yang terulung di Greek pada sekitar tahun 424 SM - 397 SM. Beliau menulis sebuah buku sahaja iaitu Sejarah Peloponnesian War yang menceritakan tentang peperangan yang berlaku antara Athens dengan Sparta beserta dengan sekutu masing-masing pada sekitar tahun 431 SM – 404 SM. Buku yang dibahagikan kepada lapan bab ini adalah tulisan panjang lebar beliau tentang aspek-aspek peperangan kedua-dua pihak beserta beberapa perihal kenegaraan yang lain dari aspek politik dan sosial. Secara ringkasnya buku ini menceritakan tindakan dan rasional aktor-aktor negara di peringkat nasional dan antarabangsa pada era tersebut.

Buku ini ditulis berdasarkan pengamatannya terhadap peperangan antara kedua kuasa besar di rantau tersebut terutamanya Perang Peloponnesia Kedua yang berlaku di sekitar tahun 431 SM – 404 SM. Beliau sendiri pernah dilantik sebagai jeneral Athens dalam salah satu siri peperangan tersebut dengan memakai gelaran Strategos (Ibid) pada tahun 424 SM. Walau bagaimanapun, pasukan pimpinannya telah kalah di tangan Jeneral Brasidas dari Sparta. Akibatnya, beliau dibuang negeri dan mengajar para Sophist, iaitu para pensyarah yang biasa mengembara ke Athens dan lain-lain bandar di Greek. Thucydides cenderung merekodkan secara panjang lebar sama ada peristiwa, perbualan, atau ucapan yang disaksikannya (Ibid).

Sejarah Hidup Thucydides

Thucydides dipercayai dilahirkan pada tahun 405 SM di Alimo. Beliau berketurunan diraja Thracian dan mempunyai pengaruh politik dan perdagangan di Thrace sekaligus meletakkannya dalam golongan aristroktrat ( Brown 2002 : 34). Darah diraja ini diwarisi dari bapanya Olorus. Beliau dilahirkan dalam keluarga kaya dan berpengaruh. Thucydides sendiri memiliki lombong emas di Scapte Hyle, dalam daerah Thrace berhampiran Pulau Thasos (Ibid). Beliau juga mempunyai kaitan keturunan dengan negarawan Athens dan Jeneral Miltiades dan anaknya yang mengetuai golongan aristocrat asal di bawah parti Demokrat Radikal (Ibid). Thucydides hidup di antara dua rumah di Athens dan Thrace. Pengaruh keluarganya telah membolehkan beliau bergaul dengan golongan yang dikisahkan dalam satu-satunya bukunya iaitu Sejarah Peperangan Peloponnesia. Beliau berumur sekitar 20an ketika perang tersebut tercetus buat kali kedua pada tahun 431 SM. Beliau juga turut terkena wabak yang mengorbankan beribu-ribu rakyat Athens pada sekitar 430 - 427 SM (Ibid). Beliau pernah berkhidmat sebagai komander tentera Athens pada tahun 424 SM tetapi telah dikalahkan oleh Jeneral Brasidas dari Sparta, lalu dihukum buang negeri. Dari sini bermulalah kerja barunya mengajar para Sophis (penceramah yang mengembara ke seluruh bandar dalam Greek). Beliau mengagumi Pericles (seorang orator/penceramah) kerana bakat berhujahnya yang luar biasa sehingga menulis panjang lebar tentang ucapan Pericles dalam bukunya (Ibid).

Dari segi latar belakang pendidikan, tiada bukti sahih tentang ini. Walau bagaimanapun, pendekatan naratif yang diguna dalam tulisannya menggambarkan pengalamannya sebagai pengajar atau guru. Gaya penulisannya langsung kepada perkaitan sebab dan akibat, menunjukkan adanya pengaruh pendekatan dan gaya berfikir penulis zaman awal Greek seperti Hippocrates (Ibid). Dikatakan juga beliau pernah menjalani latihan perubatan. Beliau berkarakter kelakar (sense of humor) dan mengagumi orator yang pandai berhujah (Ibid).

Sumbangan Pemikiran Thucydides

Sumbangan atau pemikiran beliau boleh dilihat berdasarkan dua fokus utama iaitu pemikirannya dalam bidang strategi dan perhubungan antarabangsa.

Dalam bukunya The History of the Peloponnesian War, setiap bab menekankan perkara yang berbeza. Dalam bab pertama ( Buku Satu), beliau menyatakan persepsinya terhadap dua peperangan yang penting dalam sejarah Greek dan Athens iaitu Peperangan Parsi (Persian War) dan Perang Peloponnesia Pertama (Peloponnesian War). Perang Peloponnesia Pertama berlaku dalam dua siri peperangan di laut dan dua di darat. Tempohnya panjang dan mendatangkan kesengsaraan yang tidak terhingga kepada masyarakat Hellas. Banyak bandar telah dirampas dan musnah, ramai rakyat terkorban dan menjadi pelarian, serta berlaku revolusi dalaman di Hellenic. Ditambah pula dengan kesengsaraan akibat gempa bumi, kesan matahari eclipses, serta kebuluran. Thucydides melihatnya sebagai bala yang datang serentak dengan bala peperangan. Thucydides mencatatkan peperangan bermula apabila Athens dan Peloponnesian melanggar perjanjian senjata yang telah dibuat selama 30 tahun selepas penawanan Euboea. Kelihatannya punca peperangan adalah tentang mempertahankan kepentingan masing-masing tetapi Thucydides melihat sebab sebenar ialah persoalan kuasa iaitu peluasan kuasa oleh Athens dan ketakutan yang dialami oleh Sparta ( Brown 2002: 36).

Bab Dua (Buku Dua) dalam The History of Peloponnesian War pula berkaitan dengan idea-idea tentang strategi dan kenegaraan yang dikemukakan oleh orator Pericles. Antara kata-kata Pericles yang telah dipetik oleh Thucydides ialah berkenaan logik memburu peluasan kuasa, ideologi demokrasi, konsep keselamatan dalaman Athens, keperluan undang-undang, kesan pergantungan kepada perdagangan luar, nasionalisme, strategi peperangan, kebajikan sosial rakyat, hubungan elit politik dan perniagaan, formula perdagangan luar, ciri-ciri askar yang baik, propaganda doktrin rakyat, kepentingan populasi, serta kebajikan ketenteraan.

Dari segi strategi, orientasi perluasan kuasa oleh Athens dari segi logiknya akan mengukuhkan negara secara tidak langsung sebagai persediaan menghadapi ancaman masa aman dan masa perang sekaligus. Walaupun Athens sebuah bandar terbuka yang boleh merisikokan kebocoran maklumat kedudukan strategik, tetapi Pericles percaya Athens bergantung kepada semangat dan taat setia rakyatnya. Walaupun Athens tidak mempunyai sekolah melatih tentera seperti pihak Sparta, tidak beerti Athens tidak bersedia dengan ancaman seperti Sparta. Buktinya Athens jarang kalah dalam berperang walaupun di negara orang ataupun di negara sendiri. Yang lebih membanggakan ialah tiada musuh yang dapat menandingi keupayaan pasukan tentera laut dan tentera darat Athens. Dan semangat ini tidak pernah padam dari jiwa rakyat dan tentera Athens walaupun mereka tidak melalui latihan yang ketat seperti Sparta. Kepada Athens, kuasa dihubungkan terus dengan keupayaan keselamatan. Kemenangan dalam peperangan beerti ketinggian kualiti yang dimiliki oleh teknologi ketenteraan Athens. Athens telah memastikan bahawa mereka telah meluaskan empayar sebagai warisan kepada generasi akan datang. Setiap pengembaraan mereka samada ke laut atau ke daratan telah meninggalkan dua perkara sama ada kenangan yang manis kepada rakan-rakan (sekutu), atau penderitaan kepada musuh mereka. Tentera Athens juga menggunakan tactik cegah rintang (deterrence) dalam memastikan bahawa pihak yang berkemungkinan menyerang Athens akan memikirkan mereka akan diserang balas dengan dashyatnya. Prinsip ini kepada Athens lebih berkesan daripada prinsip latihan tentera Sparta (Brown 2002: 38). Askar Athens juga dipupuk dengan ketaatan kepada negara yang tinggi serta keberanian mempertahankan negara serta sekutunya. Mereka juga pasukan berkeyakinan tinggi dan sanggup bermati-matian di medan perang dalam usaha membina kejayaan ketenteraan dan menjunjung nama baik negara (Ibid: 40).

Dalam bidang politik, Thucydides memetik bahawa Pericles pernah mengutarakan hujah perlunya sebuah institusi paling tinggi yang akan menjadi sumber kepatuhan semua pihak di Athens iaitu undang-undang ( Ibid :39). Kedudukan semua rakyat di bawah peruntukan undang-undang adalah setaraf dan yang bersalah akan dibicara dan dihukum (Ibid:53). Penguatkuasaan ini adalah untuk memastikan keamana terpelihara di Athens. Dari segi pengaruh dalam institusi politik, terdapat kaitan langsung antara politik dan perniagaan, beerti peniaga yang tidak mahu melibatkan diri dalam politik akan tiada tempat langsung dalam institusi masyarakat Athens. Sesuatu polisi pula yang akan diaplikasi akan dihujahkan dahulu dalam institusi yang dianggotai oleh rakyat. Dari segi hubungan luar pula, formula politik Athens ialah berbuat baik dengan dengan semua negara tetapi tidak menerima budi atau barang-barang dari mereka sebagai jalan mengelakkan perasaan terhutang budi yang akan mempengaruhi keputusan pada masa-masa hadapan (Ibid :39).

Dalam bidang sosial, taraf rakyat adalah berdasarkan sumbangannya kepada negara terutama sumbangan mempertahankan keselamatan dan kepentingan negara (Ibid:41). Pericles juga menyebarkan sebuah doktrin rakyat bahawa perlunya populasi yang besar untuk mempertahankan keselamatan negara. Di Athens, berlaku kemajuan dalam kebajikan sosial kerana populasi ini akan diberikan kehidupan dan persekitaran yang berkualiti (Ibid). Bantuan juga akan diberikan kepada anak-anak askar yang terkorban (Ibid 42). Pada zaman merebaknya sesuatu wabak, rakyat akan diberi perhatian khusus melindugi dari wabak dengan rawatan kesihatan dan perubatan yang mencukupi (Ibid 43). Dapatlah dikatakan bahawa Athens telah mempelopori isu keselamatan insan.

Dari segi ekonomi, formulanya ialah tidak terlalu bergantung kepada pengimportan bahan-bahan dari luar kerana ia boleh digunakan sebagai senjata kelak kepada Athens sendiri (Ibid 38).

Bab Tiga (Buku Tiga) buku Thucydides pula adalah berkenaan pemerhatian beliau terhadap debat berkenaan hukuman atau layanan kepada sekutu Athens yang berpaling tadah. Mytilene ialah sebuah negara sekutu kepada Athens, walaubagaimana pun suatu ketika ia telah berpaling menyokong Sparta dan sekutunya. Timbul perdebatan di kalangan rakyat Athens setelah melihat serangan balas oleh Athens yang kejam terhadap Mytilene dengan memusnahkan keseluruhan penduduk lelakinya serta menjadikan wanita dan kanak-kanak negara tersebut sebagai hamba. Thucydides merekodkan ucapan oleh Cleon yang mempertahankan tindakan Athens tersebut sebagai cermin ketegasan pemimpin, peraturan, undang-undang dan undang-undang sebuah sekutu. Cleon juga mempertahankan pendapatnya dengan mengatakan bahawa kepentingan negara adalah melebih adalah melebihi kepentingan individu ke atas isu tersebut (Ibid: 46). Maknanya Athens mempertahankan tindakannya ke atas Mytilene berbanding dengan pendapat individu dalam Athens yang menganggapnya sebagai tindakan kejam. Ia juga adalah amaran kepada mana-mana negara yang mahu memberontak atau memisahkan diri dari sekutu (Ibid:47). Ia juga satu amaran kepada sebuah negeri yang sombong walaupun menerima layanan baik dari sebuah sekutu yang dominan(Ibid). Ia juga satu bentuk balasan kepada tindakannya yang berpaling tadah kepada semua negara di dalam sekutu. Tindakan-tindakan ini juga adalah satu bentuk kaedah cegah rintang kepada mana-mana negara yang cuba berpaling tadah kepada sekutu sendiri dan menyokong sekutu yang lain(Ibid:48). Ia juga satu bentuk pengajaran bahawa negara yang berpaling tadah akan menghadapi musuh baru iaitu seluruh negara sekutu yang ditinggallkannya(Ibid:49). Tetapi kepada Athens disamping pengajaran yang buruk kepada negara yang berpaling tadah ini ; Athens lebih menyukai prinsip mencegah negara sekutunya berpaling tadah dengan memberi mereka kekayaan, harapan dan kebebasan berpolitik. Prinsip memerangi sekutu bukanlah prinsip utama Athens, ia hanya satu bentuk pengajaran.

Bab Lima (Buku 5) adalah tentang Dialog Melian iaitu berkenaan dengan kaedah diplomasi dalam proses perluasan kuasa. Dalam proses perluasan kuasa, Athens telah ke Argos dan Melos. Cita-cita ini disokong dengan angkatan kapal yang besar lengkap dengan 1200 hoplites, 300 pemanah dan 20 pemanah berkuda serta bantuan 1500 hoplites dari pihak sekutu dan negara pulau (Ibid:49). Melos atau rakyatnya yang dikenali sebagai Melian adalah negara pulau jajahan Sparta. Mereka enggan menyertai empayar Athens seperti negara pulau yang lain. Mereka mahu taraf berkecuali dengan tidak menyokong mana-mana empayar tetapi setelah Athens menghantar angkatan yang besar, ia terang-terangan menjadi musuh baru Athens. Sebelum peperangan berlaku terdapat beberapa proses diplomasi atau proses tawar-menawar di antara Athens dan Melos. Ia boleh dikatakan sebagai tahap perundingan keamanan dalam peringkat pengurusan konflik sesebuah negara yang menghadapi ancaman peperangan. Dalam perundingan tersebut, Melos berkeras tidak menerima ketinggian ranking Athens dan enggan menyerah diri secara aman. Athens menawarkan pengambilan Melos secara aman tanpa sebarang kerosakan peperangan dan mengancam Melos akan dimusnahkan dengan teruknya jika memilih untuk berperang. Melos tidak bersetuju dengan taraf negara jajahan yang ditawarkan Athens serta ekplotasi Athens kelak ke atas kekayaan Melos (Ibid:51). Melos mahukan taraf yang sama seperti sekutu atau negara rakan. Malah Melos berfahaman idealistik bahawa selagi belum berperang belum tahu siapa yang akan memenanginya. Tambahan pula mereka adalah jajahan Sparta dan yakin bahawa Sparta dan sekutunya akan datang menolong jika peperangan tercetus. Athens cuba mempengaruhi Melos dengan mengatakan Sparta bukanlah empayar yang kuat untuk digantungkan harapan serta Melos tidak mempunyai kepentingan untuk dipertahankan oleh Sparta. Perundingan ini gagal kerana kedua-dua pihak tidak menerima mana-mana tawaran. Wakil Athens kemudiannya balik melaporkan kepada jeneral bahawa Melos telah memulakan kerja membina tembok melingkungi bandar Melos serta membahagikan kerja kepada beberapa negara (Viotti & Kauppi 1999:104).

Aplikasi ke atas Keselamatan Malaysia

Prinsip-prinsip strategi, hubungan antarabangsa dan keselamatan dalam buku Peloponessian War karangan Thucydides ini boleh diaplikasi ke atas Malaysia berdasarkan prinsip yang sama. Walaupun terdapat beberapa perkara yang bersamaan, terdapat juga prinsip aplikasi yang berbeza. Bahagian ini boleh dilihat berdasarkan dua pecahan pendekatan iaitu pendekatan strategi keselamatan Malaysia di peringkat antarabangsa dan domestik.

Praktis keselamatan Malaysia di peringkat antarabangsa dan domestik adalah berubah-ubah mengikut keperluan keselamatan semasa semenjak merdeka. Definisi keselamatan nasional juga secara umumnya bergantung kepada sejauhmana sesuatu ancaman atau ancaman-ancaman itu boleh mengancam nilai-nilai utama atau nilai teras negara Malaysia (Hari Singh 2004:2). Secara umumnya, nilai-nilai utama ini berkait dengan kelangsungan hidup rakyat, kelangsungan kedaulatan dan integriti/keabsahan sempadannya, kebajikan ekonomi, pengekalan institusi sosio-politik, ideologi dan kebudayaan serta perpaduan nasional (Ibid). Di peringkat antarabangsa pula, strategi dasar luar sebuah negara ialah membina reputasi dan prestij, status pembangunan tertentu, perdagangan yang lancar, serta capaian kepada pasaran luar dan bahan mentah (Ibid). Termasuk kepada Malaysia, umumnya ancaman kepada keselamatan negara ialah gangguan politik, serangan ketenteraan, penajaan aktiviti perisikan dan pengintipan oleh pihak luar, peperangan dan ketidakstabilan serantau, gangguan perdagangan serta jalan perdagangan, monopoli perdagangan, dan perubahan radikal terhadap kuasa pengimbang serantau (Ibid:3).

Berdasarkan kerangka asas di atas, strategi dan taktik keselamatan negara Malaysia akan dinilai berdasarkan perbicangan secara kronologi sejak zaman awal kemerdekaan sehingga era Pasca 11 September. Analisis bahagian ini juga meliputi aspek perbandingan strategi dan taktik yang dipakai oleh Malaysia dan Athens. Perbandingan ini akan dilihat dari aspek persamaan dan perbezaan strategi dan taktik oleh kedua-dua negara. Perbincangan ini juga akan dibahagikan kepada analisis strategi Malaysia di peringkat antarabangsa atau luaran, serta di peringkat dalaman atau domestik. Walau bagaimanapun, realitinya keterkaitan keselamatan luaran dan dalaman Malaysia adalah berkaitan secara langsung dan ancaman keselamatan kepada mana-mana bahagian akan memberi kesan langsung kepada bahagian yang satu lagi.

Di peringkat dalaman, aspek keselamatan negara yang dipertahankan oleh Malaysia ialah keselamatan keseluruhan yang melibatkan kaitan rapat sektor-sektor atau bidang utama seperti keselamatan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Ini beerti kerapuhan atau gangguan keselamatan yang berlaku kepada mana-mana sektor akan menjejaskan bidang yang lain.

Malaysia pada Era Perang Dingin

Sejak zaman awal kemerdekaannya lagi, definisi keselamatan banyak dibuat oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan. Oleh itu, definisi keselamatan negara secara langsung melibatkan tafsiran ancaman oleh kerajaan tersebut, termasuk kepada bentuk-bentuk ancaman yang turut mengancam keselamatan rejim yang memerintah (Ibid:3). Malah rejim menjadi sumber dan orientasi kepada tafsiran kepentingan-kepentingan negara yang perlu dipertahankan dengan menggunakan tiket mempertahankan keselamatan negara (Ibid). Bagi Malaysia, tafsiran ancaman kepada keselamatan negara pada era itu ialah ancaman ideologi komunis yang dibawa oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dari penjajahan Inggeris yang berfahaman demokrasi, pertentangan ideologi yang dibawa oleh PKM sebagai satu aliran baru dari persekitaran politik antarabangsa sebelah rantau Asia Pasifik, dilihat sebagai ancaman kepada ancaman kepada keselamatan kerajaan setahun jagung didikan British yang dipelopori oleh UMNO. Malaysia juga pada ketika itu bernaung di bawah payung penaung keselamatan atau sekutu ketenteraan yang dikenali sebagai Anglo-Malayan Defence Agreement (AMDA) pada tahun 1957 (Ibid:4). Dalam masa yang sama juga, Malaysia juga berlindung aspek keselamatan luaran di bawah payung Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) yang dinaungi oleh Amerika Syarikat. Jelas sekali, pada ketika itu, demi memperkuatkan kerapuhan sebuah negara baru, Malaysia terpaksa bernaung di bawah payung ideologi demokrasi dengan jelas demi keselamatan kedaulatan, sempadan, rakyat dan ideologinya. Strategi bernaung di bawah sekutu demokrasi yang diguna oleh Malaya ketika itu adalah strategi imbangan ancaman (balance of threat strategy) kerana ketidakmampuan menyediakan pasukan tentera dan keupayaan mempertahankan keselamatan domestik dan luarannya secara bersendiri. Sehingga tahun 1959, Malaysia terus menikmati faedah saluran diplomatik dan faedah free riding yang menjadi asas sokongan kuatnya ke atas penubuhan Southeast Asian Friendship Treaty (SEAFET) serta kemudiannya Association of Southeast Asia (ASA). (Ibid:4). Malaysia kemudiannya memperkukuhkan keselamatannya dengan menyertai sekutu ANZUK yang mempunyai hubungan langsung dengan SEATO. Pengukuhan ini dibaut untuk menghadapi ancaman dari China dan Vietnam yang dipersepsi sebagai meluaskan kuasanya sehingga ke negara-negara jiran (Ibid:5). Tindakan ini juga sebagai strategi cegah rintang (deterrence strategy) ketika Malaysia berhadapan konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963-1966 (Ibid). Kepada Amerika Syarikat yang menjadi kuasa pelindung dalam ANZUK, ia adalah satu bentuk tindakan provokatif (provocative action) mencabar kecenderungan antoganisme komunisme oleh Vietnam, China, dan Indonesia di rantau ini. Menyertai sekutu British dan Amerika Syarikat adalah strategi Malaysia untuk meraih perlindungan keselamatan dari luar serta sokongan keselamatan antarabangsa termasuk terhadap isu tuntutan Sabah oleh Filipina.

Penyertaan Malaysia dalam sekutu keselamatan di peringkat luaran telah memberi faedah kepada keselamatan dalamannya. Kerajaan dapat menghadkan perbelanjaannya dalam pertahanan dan membawa peruntukan tersebut kepada pembangunan ekonomi. Tumpuan kepada pembangunan ekonomi telah mengurangkan jurang kemiskinan kaum serta sebagai strategi yang efektif menyekat ancaman komunis kepada kerajaan (Ibid:6). Oleh itu, bantuan ketenteraan yang diterima dari sekutu adalah strategi serampang dua mata iaitu memperkuatkan pertahanan sekaligus menentang musuh-musuh rejim.

Kedudukan Malaysia sebagai negara yang dilindungi dalam sekutu kemudiannya berubah selari dengan perubahan pola sekutu di rantau ini. Tekanan politik di Eropah memaksa British menarik keluar sebahagian besar tenteranya di Malaysia dan Singapura sehingga Malaysia merasakan ia berhadapan dengan ancaman baru dari China dan Vietnam. Walau bagaimanapun, British terus meneruskan tradisi menaunginya dengan penubuhan Five Powers Defence Arrangements (FPDA) pada tahun 1971 menggantikan AMDA. FPDA dianggotai oleh United Kingdom, Australia, Singapura dan New Zealand (Bristow 2005:1). FPDA menyediakan landasan mekanisme pembinaan keyakinan kepada hubungan Malaysia dan Singapura dalam era pasca pemisahan. FPDA juga satu dasar menaungi Amerika Syarikat di rantau ini sehingga diperuntukkan dengan jelas dalam Doktrin Nixon (Hari Singh 2004: 6). Perkembangan keselamatan di luar negara ini memberi kesan kepada strategi dan taktik keselamatan domestik Malaysia.

Pertukaran pemimpin utama negara Malaysia pada tahun 1970 menyaksikan perubahan dalam pendekatan dasar luarnya daripada anti-komunisme kepada dasar berkecuali yang mempromosikan dasar tidak menceroboh serta jaminan kuasa-kuasa besar akan hal ini. Sokongan Malaysia terhadap ideologi penubuhan ASEAN ini berkaitrapat dengan cita-cita PM Tun Abdul Razak untuk membaiki imej kerajaan di peringkat domestik yang gagal menyekat perpecahan perpaduan berikutan kejadian Mei 1969. Penyertaan Malaysia dalam ASEAN 1967 juga sebagai meneruskan strategi lamanya mengekang potensi ancaman dari luar iaitu dari negara-negara jirannya serta sebagai strategi merendahkan perbelanjaan pertahanannya (Ibid:7). Strategi dasar luar ini juga selaras dengan strategi keselamatan domestik iaitu pendirian rejim kepada prinsip “tidak campur tangan” (non interference) mana-mana negara ASEAN ke atas hal ehwal dalaman negara anggota. Prinsip ini akan memastikan keselamatan rejim yang memerintah dalam Malaysia. Selaras dengan kod ASEAN iaitu memperkuatkan ”ketahanan serantau” (regional resilience), Malaysia juga meniupkan nada yang sama iaitu ”ketahanan nasional” (national resilience) dalam menghadapi kebangkitan Vietnam sebagai kuasa tentera baru di IndoChina. Perkembangan ini juga menyaksikan banyak negara ASEAN menambahkan tahap pemerolehan senjata (Ibid:8). ”Ancaman dari utara” (threats from the north) yang paling utama kepada Malaysia pula ialah kebanjiran pelarian Vietnam di pantai-pantai Malaysia. Kemudiannya, keputusan Amerika Syarikat memasukkan China dalam segitiga strategik di rantau ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia ke dalam kesatuan yang sama dengan China. Ia sekaligus meletakkan Malaysia dalam dilema keselamatan kerana konflik Sino-Soviet masih berterusan, serta risiko pertelagahan dua kuasa besar Amerika Syarikat dan Soviet di Asia Tenggara (Ibid). Berhadapan dengan cubaan merampas kuasa UMNO oleh PKM sebagai kuasa elit pemerintahan telah menyebabkan Undang-undang Darurat diisytiharkan pada tahun 1950 diikuti dengan pengistiharan Darurat pada tahun 1960 serta Internal Security Act (ISA) (Ibid :8). Kuasa menahan tanpa bicara oleh kerajaan menyebabkan timbulnya persoalan pencabulan hak asasi manusia walaupun atas nama keselamatan negara.

Malaysia kemudiannya berhadapan dengan cabaran mempertahankan keselamatan rejim dan integriri sempadan apabila Singapura mencabar kerajaan Melayu persekutuan. Ia dianggap ancaman besar kepada keselamatan negara kerana Singapura sebagai sebuah city state tidak wajar mempersoalkan rejim pemerintah dan ketuanan Melayu dalam kuasa politik. Penyingkiran Singapura meledakkan ketegangan etnik sebagai ancaman dalaman paling besar kepada keselamatan nasional. Ketegangan ini sudah lama wujud sebagai kesan pemisahan sosio ekonomi serta penyertaan politik. Undang-undang Darurat hanya dimansuhkan pada tahun 1971 atas kepentingan rejim. Ia refleks kepada monopoli ketuanan Melayu dalam politik sebagai asas keselamatan nasional. Ketuanan Melayu ini diperkukuhkan dengan strategi meningkatkan bilangan orang Melayu dalam pasukan polis, tentera, wakil cabinet dan birokrasi, serta penyertaan dalam ekonomi (Ibid: 11). Hegemoni Melayu dalam proses politik ini berkembang dengan baik dan menyumbang kepada kestabilan keselamatan domestic tetapi menimbulkan perasaan ketidakselamatan kaum lain. Sekain itu, kerajaan juga berhadapan dengan gelombang baru perkembangan politik luar negeri iaitu pengaruh perkembangan Islam di luar Malaysia, proses modenisasi, serta pembentukan identiti nasional (Ibid:11). Fahaman Islam mendapat tempat dalam UMNO dan mengancam kerajaan sekular UMNO. Ancaman ini dikurangkan dengan membawa Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan dilebelkan di bawah haluan Islam progresif (Ibid: 12). Manakala golongan Islam fahaman lain digelar religious extremist dan keadaan ini telah memecahbelahkan perpaduan orang Melayu. Dalam masa yang sama, sesetengah golongan dalam kaum Cina digelar chauvinist (Ibid:12).

Malaysia pada Era Selepas Perang Dingin

Pada era selepas Perang Dingin, perkembangan politik di luar negeri memaksa Malaysia mengubah semula strategi-strategi dasar luarnya untuk memaksimumkan keselamatan luarannya. Sedikit sebanyak keselamatan Malaysia berkaitrapat dengan keanggotannya dalam ASEAN. Untuk itu, Malaysia menyokong kemasukan Vietnam ke dalam ASEAN kerana melihat Vietnam mampu menjadi kuasa pengimbang di rantau Asia Tenggara. AEAN juga mampu menjadi kuasa sub-rantau mengimbangi perkembangan China di rantau. Untuk itu, Malaysia telah memakai strategi serampang dua mata dalam mengimbangi keselamatan luarannya iaitu dengan polisi constructive engagement dan pendekatan multilateral (Ibid:14). Polisi pertama ialah dengan meningkatkan pembinaan keyakinan terhadap China terutama melalui hubungan perdagagangan ASEAN dengan China, dan pendekatan kedua adalah dengan saluran Forum Serantau Asian (ARF) yang melibatkan penyertaan great power dan middle power seperti Britain, France, Russia, United States, Japan, South Korea dan India – secara tak langsung mengimbangi cita-cita China di Asia Tenggara. ARF kekal menjadi komponen penting keselamatan Asia Pasifik sebagai rejim keselamatan rantau, juga sebagai pengimbang kuasa Amerika Syarikat yang memainkan peranan penjaga keamanan di merata ceruk dunia. Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) pada tahun 1984. AS dan ASEAN juga mempunyai perjanjian pertahanan yang membenarkan kemasukan unsur-unsur asing ke dalam polisi negara rantau (Ibid:14). Amerika Syarikat juga dipandang sebagai potensi ancaman kepada keselamatan Malaysia, terutamanya ketika AS cuba campurtangan ke dalam isu reformasi pada tahun 1998 (Ibid:15). Ia dianggap sebagai campurtangan dalam urusan sebuah negara berdaulat. Walau bagaimanapun, penyertaan kuasa-kuasa besar (great powers) dalam ARF membantu mengimbangkan hegemony As di rantau ini.

Malaysia juga tidak mengabaikan imbangan keselamatan dalaman. Ini dicerminkan dalam perbelanjaan pertahanan yang meningkat dari RM2.6 billion pada tahun 1980-an kepada RM6 billion pada tahun 1990-an (Ibid). Di samping keupayaan ekonomi untuk berbuat demikian, perkembangan ini didorong oleh keperluan memoden dan memperkuatkan keupayaaan pertahanan persenjataan armada laut dan udara, serta keprihatinan Malaysia ke atas niat jiran terdekat dalam ASEAN (Ibid). Hal ini boleh dikurangkan dengan kerjasama ekonomi oleh negara-negara anggota melalui projek segi tiga pertumbuhan ekonomi seperti SIJORI (Singapura-Johor-Riau), IMT (Indonesia-Malaysia-Thailand) dan EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Philipinna)(Ibid:16). Logiknya, kerjasama ini boleh memupuk kestabilan serantau kerana adanya kebergantungan kepentingan sesama negara anggota. Tambahan pula, trend ekonomi di mana-mana rantau adalah membentuk blok ekonomi serantau, contohnya peluang ekonomi yang lebih besar dalam rantau besar ”Asia Timur” dan ”Asia Pasifik”. Kepentingan ekonomi dalam ASEAN sedikit sebanyak mempengaruhi penyesuaian dasar luar Malaysia, terutamanya trend geoekonomi dan ekonomi berasaskan globalisasi. Pada tahun 1999, perdagangan Malaysia dengan nagara ASEAN mengambil nilai hanya kira-kira 23.6 peratus dari jumlah keseluruhan perdagangan luarnya dan 15.4 peratus jumlahnya dengan Singapura (Ibid). Perdagangan dengan AS mengambil jumlah yang besar iaitu 20 peratus, 15.6 peratus dengan Jepun, dan 14 peratus dengan Kesatuan Eropah (Ibid). Kadar pergantungan yang besar kepada negara-negara perdagangan utama Barat ini meletakkan Malaysia dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dan tidak selamat. Oleh sebab itulah Malaysia keluar mencari peluang baru ke negara Selatan-Selatan dalam kerangka G-15 (Ibid). Pergantungan Malaysia kepada pasaran dan pelaburan oleh negara-negara maju juga telah menyebabkan kedua-dua pihak berada dalam keadaan tidak stabil kerana ketidaktentuan perundingan yang belaku dalam Agreements on Tariffs and Trade (GATT) pada tahun 1990-an (Ibid). Atas sebab inilah Malaysia menoleh ke blok ekonomi serantau seperti APEC dan AFTA, EAEC dan ASEM (Ibid) untuk mengurangkan kerapuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, pasaran bebas juga belum menjamin kelangsungan hidup industri berasaskan negeri yang masih muda. Di peringkat dalaman, perkembangan ekonomi tidak dapat dipisahkan dengan regim yang memerintah, terutamanya dengan perkembangan golongan pertengahan Melayu pada awal 1980an. Pada masa yang sama orentasi ekonomi Malaysia adalah daripada asas import kepada perindustrian berat. Tujuannya adalah menyediakan “strong state” diangkat sebagai alat pembangunan ekonomi dan kestabila politik (Ibid:17). Melalui sistem kroni UMNO yang menwujudkan hubungan rapat antara politik dan perniagaan telah menyebabkan berlaku rasuah. Sewaktu krisis kewangan Asia 1997 para peniaga yang menerima bantuan UMNO ini terjejas teruk dan UMNO memalingkan kesahan kejatuhan ekonomi Malaysia kepada George Soros (Ibid:18). Walaubagaimanapun tindakan Malaysia mengawal matawang dan menghindarkan bantuan IMF dan bank dunia telah berjaya menstabilkan ekonomi serta mengelakkan pencerobohan kedaulatan melalui saluran ekonomi.

Dalam aspek strategi, pemodenan ketenteraan yang dilakukan oleh Malaysia adalah sebagai tidak balas kepada kedaan geostrategik dan tujuan-tujuan keselamatan (Loo 2005: 395). Tentera Malaysia telah melakukan banyak pembaharuan dalam tujuan ini termasuk air refueling and airborne early warning platforms, helicopter gunships, main battle tanks, armoured fighting vehicles, multiple roceket launchers, serta submarines dan offshore patrol vessels (Ibid). Berkemungkinan besar inisiatif Malaysia ini disebabkan oleh pembaharuan yang sama yang dimulakan oleh jirannya Singapura yang memiliki keupayaan project power in some limited power, terutama modern air warfare paltaforms, air refuling capabilities, dan marine power projection (Ibid). Indonesia juga kembali menfokuskan kepada keupayaan maritim, begitu juga Vietnam yang membangunkan keupayaan maritim dan udara secara serentak dengan pembelian MiG-21 fighters, dan 24 SU-27 jet fighters (Ibid).

Malaysia pada abad ke 21 berhadapan dengan ancaman bukan tradisional yang memerlukan ia mendifinisikan semula keselamatan negara, seperti serangan pengganas serta kesan revolusi maklumat dan teknologi.

Aplikasi Strategi Keselamatan Athens ke atas Malaysia

Berbeza dengan Athens, penubuhan dan latar belakang negaranya yang berbeza serta kedudukannya yang tersendiri dalam liga Delian telah menyaksikan pendekatan strategi dan taktik yang berbeza dengan Malaysia. Malaysia ialah sebuah negara muda yang baru merdeka serta berhadapan dengan kerapuhan-kerapuhan dari segi luaran dan dalaman, sementara Athens dalam The Peloponnesian War ialah sebuah negara kukuh yang memiliki kekuatan ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial. Athens adalah jelas sebuah negara tentera selaras dengan kedudukan dan cita-citanya ke arah mempertahankan empayarnya dari dicerobohi Sparta, begitu juga dengan cita-cita peluasan kuasa hingga ke Argos dan Melos. Melos ialah sebuah negeri pulau jajahan Sparta. Athens juga mempunyai kedudukan tertinggi dalam sekutunya iaitu Liga Delian, dan mempunyai kuasa penting sebagai pembuat keputusan terutama tentang hal ketenteraan. Bagi Malaysia, sejak merdeka, Malaysia tidak mempunyai kekuatan tentera tersendiri sehingga terpaksa diberi perlindungan keselamatan dan ketenteraan oleh AMDA, SEATO, SEAFET, ASA, ANZUK, dan FPDA. Malaysia juga terpaksa bergantung kepada consultative arrangements seperti ASEAN sebagai landasan membina keyakinan sesama sendiri dengan negara anggota dalam ASEAN sehingga ke hari ini, terutama dengan perkembangan geostrategik rantau ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa China. Secara tak langsung, Malaysia juga turut terlibat dengan minat negara-negara besar ke dalam ARF.

Dalam bidang ekonomi, terdapat persamaan dan perbezaan dari segi praktis ekonomi negara. Di peringkat domestik, kuasa ekonomi Athens dipegang oleh golongan peniaga yang juga elit politik. Ini dicerminkan dengan jelas bahawa golongan peniaga yang tidak mahu terlibat dengan politik tiada tempat langsung dalam Athens. Prinsip ini sama dengan sistem naungan UMNO kepada elit ekonomi Melayu dngan memberi peluang-peluang ekonomi supaya berkembangnya penyertaan Melyu dalam kegiatan politik negara. Dari segi perdagangan antarabangsa pula, Athens tidak mengamalkan pergantungan pengimportan barangan dari sumber luar untuk mengelakkan pergantungan tersebut dijadikan alat mengancam keselamatan Athens pada masa hadapan. Berbeza dengan Malaysia, sejak merdeka, orientasi ekonomi Malaysia adalah berasaskan import kemudian ke arah orientasi industri berat, serta orientasi pasaran bebas yang menggantungkan nasib kepada pasaran dan sumber pelaburan dari negara maju. Keadaan ini menyebabkan keselamatan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang rapuh dan terancam. Walau bagaimanapun, kadar pergantungan negara-negara maju ke atas pasaran dan sumber dari negara ASEAN termasuk Malaysia menjadikan Malaysia lebih stabil dan selamat.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persamaan dalam pendekatan praktis keselamatan antara Malaysia dan Athens. Persamaan-persamaan itu ialah seperti berikut adalah bidang politik dan sosial.

Di Athens, terdapat sebuah instusi paling tinggi yang menjadi sumber kepatuhan semua pihak iaitu instusi undang-undang. Athens juga mengamalkan prinsip demokrasi iaitu rakyat mempunyai institusi sebagai saluran mereka meluahkan suara, misalnya debat terbuka tentang tindakan Athens ke atas Mytilene, sebuah negara sekutu yang berpaling tadah. Malaysia juga mempunyai institusi undang-undang yang menjadi sumber rujukan semua pihak dalam Malaysia, serta mempunyai parlimen sebagai tempat menyalurkan suara rakyat.

Dari segi sosial, terdapat sedikit perbezaan dengan kedudukan tentera yang terkorban semasa peperangan. Sementara imej tentera adalah setaraf dengan imej pekejaan lain, di Athens, taraf rakyat adalah berdasarkan sumbangannya kepada keselamatan dan kepentingan negara. Sebuah doktrin rakyat juga disebarkan bahawa perlunya populasi yang besar untuk mempertahankan keselamatan negara. Malaysia belum lagi mempunyai doktrin sebegitu walaupun pernah dilancarkan kempen ’ke arah 70 juta penduduk’. Walau bagaimanapun, terdapat persamaam apabila Athens juga memberi perhatian terhadap kehidupan dan persekitaran yang berkualiti, misalnya rawatan kesihatan dan perubatan yang mencukupi. Sama seperti Malaysia, anak-anak askar yang terkorban diberikan bantuan. Sejak merdeka, Malaysia banyak menekankan pembangunan sosial termasuk usaha-usaha membasmi kemiskinan, memupuk perpaduan kaum, serta menyeimbangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum sebagai langkah mengawal keselamatan negara. Latar belakang komposisi kaum yang berbeza menjadikan pendekatan yang Athens dan Malaysia adalah berbeza walaupun asasnya adalah sama, keselamatan sosial adalah sebahagian dari keselamatan keseluruhan sesebuah negara.

Secara keseluruhannya, asas pendekatan keselamatan nasional negara Athens dan Malaysia adalah sama iaitu total security. Persepsi keselamatan adalah dilihat berdasarkan keselamatan semua komponen yang menyumbangkan kepada kestabilan negara secara keseluruhannya iaitu keselamatan negara yang meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, dan ketenteraan. Ini bermakna Athens dan Malaysia mempersepsikan bahawa ancaman kepada mana-mana cabang keselamatan akan menjejaskan cabang yang lain atau mengancam keselamatan nasional secara keseluruhannnya. Di peringkat luaran pula, Malaysia sama seperti Malaysia; mesti mempersepsikan keselamatan mengikut perkembangan yang berlaku dalam konteks geostrategik dan niat dan cita-cita jiran-jiran terutama jiran serantau.

Kesimpulan

Kertas ini ditulis untuk memperkenalkan seorang tokoh strategi awal iaitu Thucydides. Sumbangannya yang terpenting adalah tentang prinsip dan praktis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa. Kertas ini seterusnya membandingkan pendekatan keselamatan yang digunakan oleh Athens seperti yang dicatatkan oleh Thucydides dalam buku karangannya The Peloponnesian War, dan pendekatan keselamatan yang diambil oleh Malaysia. Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan dalam pendekatan yang diambil oleh kedua-dua negara walaupun asasnya adalah sama iaitu definisi keselamatan adalah total security meliputi bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Perbezaan latar zaman, dan perkembangan geostrategik kedua-dua negara memperlihatkan kedua-dua negara bertindak mengikut keperluan keselamatan berdasarkan keadaan semasa.

Rujukan

Brown, Christ., Nardin, Terry. & Rengger, Nicholas. 2002. International Relations in Political Thought. Cambridge: Cambridge University Press.

Bristow, Damon. 2005. The Five Power Defence Arrangements: Southeast Asia’s Unknown Regional Security Organization. Contemporary Southeast Asia 27 (1): 1-20.

Fook Weng Loo, Bernard. 2005. Transforming the Strategic Landscape of Southeast Asia. Contemporary Southeast Asia 27 (3): 388-405.

Hari Singh. 2004. Malaysia’s National Security: Rhetoric and Substance. Contemporary Southeast Asia 26 (1): 1-25.

Thucydides. The Melian Dialogue. 1999. Viotti, Paul. R, Vauppi, Mark. V. International Relations Theory. Realism, Pluralism, Globalism, and Beyond (3rd Ed.). Boston: Allyn and Bacon.

TUNTUTAN BERTINDIH DI LAUT CHINA SELATAN ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?



TUNTUTAN BERTINDIH DI LAUT CHINA SELATAN

ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?

PENDAHULUAN

Isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan melibatkan beberapa negara ASEAN dengan China dan Taiwan. China dipersepsi sebagai kuasa yang mencari hegemon dan boleh mengancam negara-negara dalam ASEAN. Oleh itu, ASEAN dan China mesti menentukan bentuk hubungan antara mereka sama ada sebagai pesaing atau sekutu, sekaligus boleh menyelesaikan isu pertikaian di Laut China Selatan. Perbincangan ini hanya meliputi hubungan ASEAN-China selepas berakhirnya era Perang Dingin.

LATAR BELAKANG PERTIKAIAN DI LAUT CHINA SELATAN

Kepulauan Spratly terdiri daripada 230 atau lebih pulau-pulau kecil, beting-beting pasir dan terumbu karang yang kesemuanya berjumlah tiga dozen di atas permukaan paras laut dan tiada satupun luasnya yang melebihi setengah kilometer persegi.

NEGARA-NEGARA YANG MENUNTUT

China dan Taiwan secara berasingan menuntut hampir 80 peratus daripada sempadan bentuk U yang telah diisystiharkan oleh China pada tahun 1974 serentak dengan pengeluaran peta rasmi negara China yang baru. Vietnam menuntut semua pulau dan apa sahaja objek yang timbul di permukaan aras laut di Spratly. Tuntutan China, Taiwan dan Vietnam berasaskan kepada penemuannya sejak zaman-berzaman, penggunaan laut tersebut yang berterusan, serta penerokaan berfaedah mereka ke atas kawasan tersebut. Filipina menuntut semua objek yang timbul di permukaan aras laut serta di bawah permukaan aras laut. Tuntutan Filipina berasaskan kepada faktor sejarah, keperluan mutlak, serta penerokaan dan pengawalannya yang efektif, seperti yang dikemukakan dalam Presidential Decree pada tahun 1974 (Mohamed Jawhar 2003: 311).

Malaysia menuntut tujuh objek berasaskan kepada hujah bahawa kawasan yang dituntut berada di atas pelantar benua Malaysia. Brunei menuntut sehingga 200 batu nautika Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) termasuk terumbu Louisa, yang juga dituntut oleh Malaysia. Sehingga kini, Vietnam paling banyak meneroka objek di Spratly iaitu sebanyak 22, China; sembilan, Filipina; lapan, Malaysia; tiga, dan Taiwan; satu.


APAKAH SIGNIFIKANNYA ISU TUNTUTAN BERTINDIH INI
TERHADAP ASEAN DAN CHINA?


ASEAN mempersepsikan China sebagai kuasa yang mencari hegemoni. Ini menimbulkan kebimbangan kepada ASEAN bahawa China akan menggunakan kelebihannya dalam bidang ekonomi, politik dan militari untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di laut China Selatan. Oleh itu, ASEAN mesti menentukan bentuk hubungan dengan China sama ada persaingan atau kerjasama.

CHINA SEBAGAI KUASA HEGEMON

Tiga faktor China dilihat sebagai kuasa hegemon:

i. Potensi Pertumbuhan Ekonomi China

ii. Latar Belakang Sejarah dengan Asia Tenggara

iii. Cita-citanya di Laut China Selatan

POTENSI PERTUMBUHAN EKONOMI CHINA

Sejak lewat 1970-an, statistik ekonomi China menunjukkan ekonomi China mengalami pertumbuhan yang sangat memberangsangkan. Sepanjang tahun 1980-an, China menikmati GDP dua digit dan pada pertengahan tahun 1990-an, sekali lagi ia menikmati GDP dua digit dan meletakkannya di tempat ketiga tertinggi di dunia. Kadar perdagangan China meningkat dengan mendadak daripada $38.2 juta kepada lebih $250 juta. Ini menyumbang kepada pertukaran asing yang besar, daripada $15 juta pada lewat 1980-an kepada hampir $150 juta pada pertengahan 1997 (Collins 2000: 138).

Pertumbuhan ekonomi China dan potensi masa depannya meletakkan China mempunyai hubungan langsung dengan kestabilan ekonomi negara ASEAN. Contohnya, China memutuskan untuk tidak memperbaharui nilai mata wang pada kemuncak krisis kewangan pada tahun 1998 dipandang sebagai tanggungjawab menghentikan kejatuhan nilai mata wang di Asia Tenggara. Oleh itu, ekonomi China dilihat mempengaruhi keadaan ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Pertumbuhan ekonomi China juga memungkinkan Beijing meningkatkan peruntukan militarinya setiap tahun sejak lewat 1980-an. Peruntukan pertahanan pada 1998 merupakan peningkatan terbesar sejak sepuluh tahun. Jumlah rasmi yang diumumkan pada tahun 1996-97 ialah $8.3 juta, tetapi Barat menganggarkan perbelanjaan adalah sekitar $28- $36 juta, atau sehingga empat atau lima kali ganda daripada jumlah yang diumumkan.

Pada penghujung tahun 1990-an, China telah melabur berjuta-juta dollar kepada sistem pembelian senjata teknologi tinggi Russia seperti kapal selam elektrik dan pesawat juang altitud tinggi. Persenjataan Russia menyuntik material yang berbeza kepada keupayaan militari China. Walau bagaimanapun, jenis dan kuantiti persenjataan yang dibeli oleh China tidak berkadar dengan keperluan mereka kecuali sebagai signifikan imbangan kuasa mereka di rantau Asia Pasifik (Da Cunha 2003 :324).

Pertumbuhan ekonomi China, pengaruh politik, dan keupayaan militari, memungkinkan China bangun sebagai kuasa serantau yang dominan pada abad ke-21.

LATAR BELAKANG SEJARAH DENGAN ASIA TENGGARA

Analisis sejarah China dengan Asia Tenggara mendedahkan telah berlaku sistem sumbangan yang mana Maharaja China berada di kedudukan tertinggi di rantau ini. Sistem sumbangan ini dilihat oleh negara jiran yang merdeka penuh sebagai upacara yang formal. Ia lebih daripada hubungan perdamaian, perayaan atau perdagangan. Sistem ini mendedahkan China merasakan kedudukan mereka lebih tinggi dalam hubungan dengan negara lain. Selanjutnya China menganggapkan mereka akan dilayan sebagai kuasa besar sebagai konsekuen kepada kehebatannya pada zaman silam.

Pada tahap ini, China berlagak sebagai hegemon, tetapi sistem sumbangan sepertinya tidak dipaksa ke atas negara ASEAN dalam konteks hubungan kini. Masalahnya kepada negara ASEAN ialah mereka terpaksa mempunyai hubungan dengan China, untuk perdagangan dan tujuan-tujuan keselamatan. Ini melibatkan penerimaan mereka sebagai pihak bawahan berbanding China. Buktinya, boleh didapati dari perlaksanaan Forum Serantau ASEAN (ARF). Walaupun ASEAN adalah peneraju utama di sebalik ARF, China berupaya mempengaruhi proses dan kelajuan operasi ARF. ASEAN seperti rela China memainkan peranan berpengaruh yang akan meletakkan ASEAN sendiri sebagai pihak bawahan. Hegemoni China dalam konteks ini dipertimbangkan sebagai hubungan semula jadi antara negara kerana tiada unsur paksaan menerima pengaruh China.

CITA-CITA CHINA DI LAUT CHINA SELATAN

Strategi China di Laut China Selatan diumpamakan sebagai “tiga langkah ke hadapan, dua langkah ke belakang” (Da Cunda 2003:324). Ertinya Beijing akan melakukan sesuatu perluasan di laut China Selatan –seperti yang dilakukan ke atas Mischief Reef- tetapi apabila menerima bantahan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik, China akan ‘mendamaikannya’ dengan mengambil langkah “dua langkah ke belakang”. Namun isu perluasan tetap tidak diselesaikan oleh China. Misalnya, dalam kes Mischief Reef, pada tahun 1997 China bersetuju bertemu Filipina pada sesi ARF Langkah Pembinaan Keyakinan (Confidence Building Measures).

Namun perlakuan bertanggungjawab China ini tidak mencerminkan sikapnya pada masa hadapan kerana pada lewat 1998, China telah memulakan pendesakannya dengan menukar ‘pondok nelayan’ di Mischeif Reef kepada ‘pembentengan sepenuhnya’ (Ibid). China menunggu rantau mengurangkan pengawalan mereka seperti tumpuan kepada krisis ekonomi rantau Asia Tenggara - sebelum membuat pergerakan taktikal yang lebih lanjut di Laut China Selatan.

ASEAN menganggap polisi China sebagai perluasan beransur-ansur di Laut China Selatan. Polisi ini ditunjukkan sebagai “pendesakan menjalar” dan baru-baru ini sebagai “cakap dan ambil” oleh Setiausaha Pertahanan Filipina (Cheng 2003:432). Ia adalah polisi mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan tanpa melibatkan konfrontasi militari. Pengemuka pandangan ini walau bagaimanapun percaya yang militari China tidak mempunyai keupayaan menguasai Laut China Selatan dan China juga tentunya tidak mahu memprovok Amerika Syarikat campur tangan mengambil langkah terdesak di Asia Tenggara. ASEAN juga percaya China bukanlah ancaman dalam masa terdekat ini, tetapi keupayaan dan cita-cita mereka mungkin berubah dalam 20 – 30 tahun lagi apabila mereka lebih kuat dari segi ekonomi dan militari. Tekanan ekonomi dalaman China ketika itu yang memerlukan sumber tenaga menggantikan arang batu boleh mendorong China merintis jalan perluasan di Laut China Selatan.

Cita-cita China di Laut China Selatan bukan mudah dengan kuasa status quo mereka, tetapi penting untuk diingati bahawa China telah memulakan pembinaan struktur pada terumbu dan pulau (Collins 2000: 186). Inisiatif ini diikuti oleh negara-negara ASEAN; Vietnam memacak struktur di terumbu Lizzie Weber, Malaysia membina bangunan di beting pasir Investigator, sementara Filipina terus mengabaikan kemudahan di pulau Pag-Asa. Tindakan China dilihat sebagai mengukuhkan status quo mereka di antara negara yang menuntut.

Situasi ”turun naik” di Laut China Selatan ini memberi kesan kepada kestabilan serantau kerana ia melibatkan kebanyakan negara-negara ASEAN yang terletak di selatan rantau Asia Pasifik. Oleh itu, ASEAN mesti membawa China sebagai core player kestabilan di Laut China Selatan ke dalam satu hubungan baru, sekaligus mengendurkan ketegangan.

HUBUNGAN ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?

ASEAN-China memulakan hubungan sejak 1991 dalam bidang ekonomi, politik dan keselamatan.

Bermula Julai 1991, Beijing mula menyertai ASEAN sebagai rakan perunding dalam Mesyuarat Menteri ASEAN (PMC). Pada mesyuarat itu yang ke-4, Menteri Luar China menegaskan China berminat mengukuhkan kerjasama dengan ASEAN. Seruan ini disambut baik oleh ASEAN. Pada tahun 1994, ASEAN-China mengukuhkan Jawatankuasa Bersama untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, diikuti dengan Jawatankuasa Kerjasama untuk Sains dan Teknologi. Bermula pada Julai 1994, China menjadi rakan kepada Forum Serantau ASEAN (ARF) serta kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan kepada isu politik dan keselamatan. Sejak Julai 1996, China menjadi rakan dialog ASEAN, diikuti dengan penyertaan dalam mesyuarat ASEAN + Tiga pada Julai 1997 merintis jalan kepada mesyuarat ASEAN-China.

Mesyuarat ini menyediakan kerangka kerja kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan isu ekonomi, politik dan keselamatan. Sehingga November 1997, beberapa perjanjian telah ditandatangani. Yang paling penting ialah Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi yang merintis kepada Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dalam 10 tahun. China merupakan rakan dialog pertama yang menandatangani perjanjian seumpamanya dengan ASEAN.

Dalam bidang politik dan keselamatan, ASEAN-China menandatangi dua deklarasi penting: pertama, Conduct of Parties di Laut China Selatan; kedua, Kerjasama dalam Isu-isu Keselamatan Non-tradisional. Selanjutnya, China menunjukkan minat menyertai Persetiaan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN di Asia Tenggara, dan menandatangani Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANFWZ) sehingga akhir tahun 2000. Usaha-usaha ini dilihat sebagai meningkatkan komitmen kepada kerjasama mendalam dan perundingan yang lebih rapat antara China dan ASEAN (Caballero-Anthony 2003:428).

ASEAN terdesak memberi perhatian kepada China dalam isu-isu politik dan keselamatan di rantau Asia Pasifik. Ia berasaskan kepada ketidakpercayaan masa lalu terutamanya sokongan China terhadap parti komunis di negara-negara Asia Tenggara. Untuk itu, isu-isu politik dan ekonomi patut ditangani dengan teliti, terutamanya yang boleh membawa kepada perpecahan atau konflik.

Isu tunggal terbesar antara ASEAN-China ialah pertikaian persempadanan di Laut China Selatan. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian negara ASEAN yang terlibat dengan pertikaian ini. Pendirian China sebelum ini ialah isu ini hanya akan dibincangkan secara bilateral dengan negara-negara yang menuntut. ASEAN akhirnya berjaya meyakinkan China membincangkan masalah Laut China Selatan ini di peringkat multilateral. Justeru, menandatangani Declaration Code on Conduct of Parties in South China Sea boleh disifatkan sebagai pencapaian selepas selepas tiga tahun perbincangan.

Walau bagaimanapun, deklarasi ini gagal menyelesaikan persoalan penguatkuasaan kedaulatan kepada isu-isu asas pertikaian tuntutan. Ini adalah kerana; pertama, ASEAN-China tidak pernah berniat mahu memasukkan persoalan penguatkuasaan kedaulatan dan persempadanan dalam perundingan tatacara kelakuan serantau. Kedua, pertikaian persempadanan biasanya tidak ditangani secara multilateral. Biasanya ia diselesaikan secara bilateral iaitu pengadilan undang-undang antarabangsa. Ketiga, ASEAN tiada mandat menyelesaikan pertikaian. Keempat, tatacara kelakuan menggalakkan kepercayaan dan keyakinan; ia satu bentuk langkah pembinaan keyakinan. Ia mesti berasaskan kejujuran kesemua pihak.

Bererti ASEAN-China bersetuju mengetepikan isu kedaulatan dalam usaha menangani kesulitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Pendirian ini menjadi asas mempromosikan idea zon pembangunan bersama (JDZ) sebagai pendekatan praktikal untuk menguruskan pertikaian persempadanan. Tujuannya supaya mereka berkongsi keuntungan sumber maritim, di samping menggalakkan keamanan dan keselamatan.

Kerjasama ini diteruskan dengan usaha menangani isu-isu keselamatan baru. Kerjasama Operasi ASEAN-China dalam Bertindakbalas kepada Dadah Haram (ACCORD) misalnya untuk menentang pengeluaran dan penyeludupan dadah haram. Sejak dimulakan pada 2002, telah ada persidangan peringkat menteri dan kerjasama bilateral terhadap kerjasama pengawalan dadah antara China, Loas, Myanmar dan Thailand. Usaha ini dikukuhkan dengan perjanjian usahasama menangani masalah penyeludupan manusia dan senjata, perlanunan, pinjaman wang haram, jenayah ekonomi rentas sempadan, jenayah siber, dan keganasan.

KESIMPULAN

Selepas era Perang Dingin, ASEAN dan China mengambil pendirian memulakan hubungan bilateral mereka dengan kerjasama kerana faedah-faedah ekonomi, politik dan keselamatan serantau yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak. Walaupun China dianggap berminat melakukan peluasan di Laut China Selatan, namun sejak 1998, China tidak memulakan isu baru. China juga menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian tersebut. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang bentuk kerjasama dan dialog multilateral hanya menumpukan kepada ekonomi dan keselamatan serantau. Isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly tinggal tidak selesai. ASEAN tidak mempunyai kuasa menyelesaikannya, manakala China mengelak dari berbincang mengenainya secara lebih terperinci. Pertikaian ini hanya boleh diselesaikan dengan aman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice).

Tuesday, September 16, 2008

APAKAH WAJAR SKOP PENGAJIAN KESELAMATAN DIPERLUASKAN KEPADA ISU-ISU 'BUKAN TERAS'?



Sumber gambar: flickr.com

APAKAH WAJAR SKOP PENGAJIAN KESELAMATAN DIPERLUASKAN KEPADA ISU-ISU ‘BUKAN TERAS’?

Skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan meliputi isu-isu bukan teras kerana kelemahan-kelemahan dalam isu-isu teras itu sendiri. Sehingga tamat Perang Dunia Kedua, pengajian strategi dan keselamatan hanya memberi tumpuan kepada aspek militari dan politik (militari-politik) sesebuah negara. Pada peringkat ini, analisis keselamatan sesebuah negara diterjemahkan hanya di peringkat negara dengan tidak melihat isu-isu keselamatan yang dialami oleh ”apa yang ada di dalam sesebuah negara”. Takrifan ancaman keselamatan juga didefinisikan berdasarkan kepada sejauhmana ancaman tersebut mengancam isu militari-politik.

Di peringkat sistem antarabangsa, skop pengajian keselamatan wajar dilihat bukan hanya kepada aspek militari-politik sahaja kerana globalisasi telah menawarkan aktor bukan negara yang memainkan peranan yang sama penting dalam keadaan dunia yang lebih bebas, terbuka dan tiada sempadan. Selain aktor negara yang menjadi aspek tumpuan golongan Realis dalam skop pengajian antarabangsa, hubungan antara aktor negara dengan bukan negara juga memberi kesan kepada aktiviti di peringkat global seterusnya menjadi perlunya aspek ancaman keselamatan dilihat semula. Negara-negara yang lemah (weak state) misalnya lebih terdedah kepada aktor bukan negara seperti jenayah terancang rentas sempadan (transnational organized crime) , ataupun aktiviti keganasan (terrorism) kerana nilai teras politiknya telah lemah iaitu aspek persempadanan dan penguatkuasaan pasukan keselamatan di sempadan. Ditambah pula dengan penciptaan dan penggunaan teknologi tinggi dalam praktis akviti globalisasi, mengakibatkan takrifan ancaman menjadi begitu meluas sekali dari pelbagai sektor sama ada aktiviti ekonomi, ataupun sosial. Misalnya, penggunaan teknologi pindahan wayar (wire-transfer) dalam aktiviti ekonomi meningkatkan risiko aktiviti ’money laundering’ yang jika melibatkan jumlah yang banyak boleh melumpuhkan ekonomi sesebuah negara, terutamanya negara kecil, negara gagal atau negara lemah. Begitu juga dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang begitu berleluasa sekali di seluruh dunia antaranya diakibatkan oleh faktor pengangkutan yang canggih dan kelemahan penguatkuasaan sempadan. Jelas bahawa aspek politik sahaja tidak mencukupi untuk mentafsirkan skop pengajian keselamatan.

Pada era Perang Dingin, apabila hubungan antara negara itu terlibat ke kancah konflik dan dengan adanya kecenderungan penggunaan militari ke arah penyelesaian konflik tersebut, ia adalah isu-isu keselamatan di peringkat nilai. Tetapi seharusnya aspek keselamatan diluaskan meliputi bukan teras kerana sesuatu keputusan di peringkat militari-politik akan memberi kesan kepada sektor ekonomi dan sosial yang turut menjadi elemen utama kepada kewujudan sesebuah negara. Misalnya keputusan untuk menghadapi konflik atau peperangan dengan negara lain akan melibatkan pengambilan peruntukan kewangan yang banyak untuk tujuan pembelian persenjataan serta jumlah tentera yang ramai yang perlu dihantar ke medan perang. Keputusan pihak militari ini juga akan meletakkan keselamatan tentera dan rakyatnya dalam dilema keselamatan kerana mereka juga menghadapi ancaman balas dari pihak yang diserang serta kemusnahan besar-besaran akibat penggunaan senjata pemusnah besar-besaran seperti peluru berpandu, senjata bio-kimia, ataupun penggunaan senjata nuklear, contohnya Jepun yang menderita dengan musnahnya Nagasaki dan Hiroshima yang dimusnahkan oleh bom atom (nuklear) tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua. Jelas sekali keputusan di peringkat militari-politik Jepun ketika itu untuk terbabit dalam peperangan dunia telah menghumban kerosakan kepada kota-kota utama Jepun dan rakyatnya yang menderita kesan pencemaran radioaktif sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan kes Vietnam, apabila rakyatnya diracun dengan senjata kimia oleh Amerika Syarikat dalam Perang Amerika-Vietnam. Kesan ”Agen Oren” telah merosakkan genetik sesetengah rakyat Vietnam disamping kesan-kesan lain seperti kematian di perang perang dan kecacatan kekal kerana terpijak periuk api. Vietnam misalnya, walaupun memenangi peperangan tersebut, namun keputusan pihak militari berperang dengan negara lain telah menjadi ancaman kepada rakyatnya sendiri. Dalam hal ini, rejim yang memerintah telah menjadi punca ancaman kepada rakyatnya sendiri.

Oleh sebab itu, skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan meliputi keselamatan aktor-aktor yang berada di dalam sesebuah negara, rakyat misalnya. Aspek keselamatan insan (human security) patut dipertimbangkan tatkala mentakrif sesuatu ancaman keselamatan. Ini adalah kerana secara paradoksnya rakyat harus dilindungi oleh negara, dan negara harus mendapat perlindungan dari rakyat. Tanpa salah satunya yang sanggup melindungi pihak yang satu lagi, negara tersebut akan muncul sebuah negara yang lemah dan berada di dalam risiko ancaman keselamatan. Aspek keselamatan yang mesti ditawarkan oleh sesebuah negara kepada rakyatnya adalah meliputi keselamatan politik, ekonomi, sosial dan persekitaran (environmental). Contohnya, keselamatan politik beerti rakyat mendapat hak sebagai warganegara yang dilindungi dengan undang-undang, keselamatan ekonomi beerti rakyat mendapat hak untuk mengusahakan pendapatan tanpa penindasan, keselamatan sosial bermakna rakyat mendapat hak untuk hidup secara aman dan bebas bergerak dalam sesebuah negara, dan keselamatan persekitaran beerti rakyat mendapat hak untuk menghirup udara bersih serta jauh dari ancaman alam sekitar seperti letusan gunung berapi, tsunami, banjir besar ataupun ancaman penyakit berjangkit. Walau bagaimanapun, rakyat sesebuah negara akan sukar untuk menikmati keselamatan tahap asas ini jika aspek fizikal sesebuah negara itu terancam, misalnya dengan masalah pencerobohan sempadan, ketidakstabilan politik dalaman, negara tiada intergriti (keabsahan), masalah ekonomi, serta muka bumi negara tersebut terletak di lingkungan Lingkaran Api. Negara tersebut akan menjadi sebuah negara yang lemah (weak state) atau negara yang hilang (lost state). Indonesia misalnya adalah sebuah negara yang lemah kerana bentuk muka buminya berada di Lingkaran Api Pasifik serta mengandungi beribu-ribu pulau kecil, ketidakstabilan politik dan ekonomi, serta jumlah rakyat yang mencecah 80 juta orang yang menderita pengangguran, penyakit dan penghijrahan. Negara yang lemah tidak akan mampu memenuhi aspek keselamatan insan kepada rakyatnya secara efektif.

Dalam hubungan antarabangsa di peringkat sub-sistem, aspek keselamatan patut dilihat dalam konteks yang lebih luas seperti saranan Barry Buzan yang mengatakan ”tiada negara boleh mencapai keselamatan nasional yang tulen hanya dengan usahanya sendiri. Oleh itu, keselamatan nasional bergantung kuat kepada corak keseluruhan kebergantungan keselamatan di dalam sistem antarabangsa”. Dalam konteks ini, skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan dengan melihat faktor geopolitik serantau. Rasionalnya, ancaman kepada negara jiran berkemungkinan akan menjadi ancaman kepada negara kita juga. Takfiran keselamatan oleh negara jiran mungkin juga boleh diterimapakai di negara kita bergantung kepada tahap-tahap kepentingan sesebuah negara untuk dilibatkan dalam sesebuah konflik. Di rantau Asia Pasifik misalnya, kebangkitan China sebagai kuasa besar (great power) dengan pembangunan militari dan ekonominya boleh memberi tanggapan kemungkinan melebarkan agresinya kepada negara-negara lain. Ini menimbulkan dilema keselamatan kepada negara-negara jiran dan negara-negara kecil di Asia Tenggara. Tambahan pula, China telah memainkan peranan besar dalam Forum Serantau Asia (ARF) di peringkat pertubuhan ASEAN. Enam negara kecil di Asia Tenggara misalnya terlibat dengan konflik langsung dengan China misalnya dalam isu perebutan Pulau Spratly. Begitu juga dengan cita-cita pembangunan nuklear PyongYang juga meninggalkan dilema keselamatan kepada negara bukan sekadar rantau Asia Pscifik malah ke semua rantau lain kerana kemampuan peluru berpandu rentas benuanya (ICBM – Intercontinental Ballistic Missile) yang dilaporkan akhbar mampu mendarat hingga ke Kuwait.

Dalam aspek geopolitik sama ada di peringkat rantau atau antara rantau, isu bukan teras yang sangat penting ialah keselamatan ekonomi. Rakan perdagangan sesebuah negara yang paling utama dan hampir ialah yang berada di dalam rantau itu sendiri. Malaysia misalnya adalah rakan dagangan utama kepada Singapura dan Jepun selain kepada negara-negara lain dalam ASEAN. Gagasan EAEC misalnya adalah gagasan blok ekonomi perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi negara Asia Pasifik namun Amerika Syarikat membangkang habis-habisan gagasan ini kerana akan menjejaskan dominasi pasarannya di Asia Pasifik. Selain itu, kebangkitan China dengan pertumbuhan ekonomi “double digit” sejak dua dekad lalu juga mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi yang akan mendominasi pengeluaran dan pasaran di rantau Asia Pasifik. Gabungan kekuatan ekonomi China dan Jepun sudah cukup mampu untuk mengetepikan pengeluaran dan pasaran negara dari rantau lain di Asia Pasifik. Dengan kata lain, ia akan menjejaskan dominasi perdagangan Amerika Syarikat di rantau ini dalam jangka panjang.

Trend membentuk blok perdangangan serantau ini bermula di Eropah dengan gagasan EC dan sekarang EU. EU misalnya telah mengadakan penggunaan mata wang yang sama iaitu Euro sebagai identiti blok perdagangan mereka. Mungkin juga ia satu bentuk perlindungan ke atas nilai mata wang mereka kerana Krisis Kewangan Dunia 1997 telah menyaksikan antara sebab penting kejatuhan ekonomi ialah manipulasi mata wang yang dilakukan oleh spekulator Amerika Syarikat iaitu George Soros. Aktiviti menaikkan nilai mata wang Dollar Amerika telah menjadikan rantau lain terutama Asia dan Amerika Latin yang majoritinya nilai mata wangnya lebih kecil dari Dollar telah mengalami defisit dalam pemilikan nilai tunai dan simpanan dalam sesebuah negara. Kelemahannya ialah negara-negara ini meletakkan nilai mata wang negara masing-masing bersandarkan Dollar. Oleh itu, rasionalnya, jika sesebuah pertubuhan ekonomi serantau EU dan ASEAN mempunyai mata wangnya sendiri yang tidak perlu bersandar kepada nilai Dollar lagi, krisis yang menjunamkan kedudukan ekonomi sesebuah rantau atau sesebuah negara akan dapat dikurangkan atau dielakkan. Ketika krisis kewangan 1997, Indonesia dan Thailand misalnya terpaksa meminjam dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk meneruskan kelangsungan ekonomi (survival of economic) negara tersebut. Kesannya masih ditanggung sehingga kini kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi. Begitu juga dengan bantuan yang diberikan Bank Ekonomi Asia yang diuruskan oleh Jepun. Hakikatnya pemilik sebenar di sebalik kedua-dua ’tabung penyelamat’ ini ialah Amerika Syarikat. Negara-negara yang meminjam seperti terpaksa menerima imperialisme ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Keadaan ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara terdesak ini bukan sahaja mengancam keselamatan negara masing-masing bahkan juga mengancam keselamatan serantau. Blok-blok perdagangan yang terbentuk hasil aktiviti ”regionalism” seperti ini adalah satu bentuk tembok keselamatan bentuk baru di peringkat serantau. Jelas, pertimbangan keselamatan bukan teras seperti ekonomi sesebuah negara adalah sangat penting dalam era pasaran bebas ini.

Kesimpulannya, berdasarkan hujah-hujah yang diberikan tentang kepentingan isu-isu bukan teras dalam keselamatan sesebuah negara, jelas bahawa skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan bukan hanya kepada isu militari-politik sahaja. Dengan faktor globalisasi, aktor yang penting di dalam sistem antarabangsa tidak hanya meliputi negara (state) sahaja bahkan aktor-aktor bukan negara (non-state) juga memainkan peranan penting mendefinisi, memperjuang, dan mengekalkan keselamatan. Selain keselamatan ekonomi yang boleh menjamin kelangsungan hidup sebuah negara, trend baru keselamatan juga memberi tumpuan kepada keselamatan insan yang menjadi tonggak paling penting sesebuah negara.