Sumber: flickr.com
Buku terbaru tentang Dasar Pertahanan Malaysia
Sumber: Amazon.com
ADAKAH SEKTOR EKONOMI BERSAMA ATAU BERASINGAN DALAM PEMBENTUKAN DASAR LUAR DAN DASAR PERTAHANAN SESEBUAH NEGARA?
PENGENALAN
Sektor ekonomi sesebuah negara memainkan peranan penting dalam membentuk atau menentukan dasar pertahanan dan dasar luar sesebuah negara. Ini adalah kerana kemampuan (capacity) dan keupayaan (capability) yang boleh dimainkan oleh sektor ekonomi itu sendiri sama ada dari segi sumbangan kualitatif dan kuantitatifnya terhadap pembentukan kedua-dua dasar di atas. Kemampuan dan keupayaan sektor ekonomi ini meresap masuk ke dalam sektor keselamatan, ketenteraan, sosial dan politik yang seterusnya membuktikan kepentingan sektor ekonomi sebagai sektor paling penting dalam sesebuah negara. Sektor ini tidak dapat dijelaskan secara berasingan dalam pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar negara kerana saling kebergantungan sektor ini dengan sektor-sektor lain sama ada di peringkat dalam atau luar negara.
Oleh itu, esei ini akan melihat kepentingan sektor ekonomi yang meresapi sektor lain seperti keselamatan, ketenteraan, sosial dan politik, terutama sumbangannya terhadap pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar negeri sesebuah negara. Beberapa contoh aplikasi oleh beberapa negara akan diberikan sebagai kajian kes subjek yang dibincangkan.
PERANAN SEKTOR EKONOMI KEATAS KESELAMATAN DAN KETENTERAAN
Kecuali Costa Rica dan Iceland, kebanyakan negara memperuntukkan belanjawan antara 1% -30% daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tujuan
pembangunan senjata demi mengekalkan keselamatan dalam dan luaran sesebuah negara. Perbelanjaan ini juga digunakan untuk tujuan cegah rintang atau menangani jenayah, pemberontakan, pemisahan, revolusi dan kudeta. Kerajaan juga mengekalkan pasukan tentera untuk menangani keadaan kini dan masa depan sama ada dengan actor negara atau bukan negara. Malaysia misalnya daripada era selepas merdeka sehingga 2001 telah memperuntukkan sehingga 3% dari KDNKnya untuk tujuan pengawalan dan pengekalan keselamatan negara. Pada awal era kemerdekaannya,
Secara umumnya, bentuk-bentuk ancaman berbentuk ancaman langsung kepada kehidupan rakyat dan aktiviti-aktiviti mereka, mengancam integriti sempadan, mengancam “cara hidup” sesebuah negara, atau mengancam kebebasan dan kemerdekaan negara dan institusinya (Holsti 1995: 85). Seringkali fenomena yang dapat dilihat ialah aktor negara akan membelanjakan jumlah wang yang banyak terhadap peruntukan pertahanan sewaktu negara menghadapi sesuatu ancaman keselamatan sama ada dalaman atau luaran.
Dua keadaan ini menunjukkan bagaimana ekonomi memainkan peranan penting dalam membentuk dasar pertahanan dan dasar luar di peringkat domestik. Berikutnya pula ialah keadaan di mana sektor ekonomi memainkan peranan penting terhadap pembentukan dasar pertahanan dan luar negara di luar negeri.
Asas-asas pembentukan kedua-dua dasar pertahanan dan dasar luar negeri adalah bergantung kepada bentuk-bentuk ancaman, terutama ancaman ketenteraan. Barry Buzan membuat pembahagian yang penting antara threats (ancaman) and vulnerabilities (kerapuhan). Kerapuhan banyak disumbangkan oleh faktor geografi seperti laluan pergunungan, laluan air yang sempit, koridor pengangkutan utama dan sebagainya (Holsti 1995:85). Salah satu cara mengurangkan kerapuhan ini atau menghapuskan ancaman adalah dengan meningkatkan kekuasaan ketenteraan, bukan hanya untuk meningkat keupayaan sendiri tetapi juga sebagai bantuan kepada negara-negara lain (Ibid). Apabila dua atau lebih pihak berkongsi ancaman keselamatan yang dipersepsikan sama, mereka akan terlibat dengan pelbagai kerjasama ketenteraan seperti nasihat teknikal, jaminan senjata, pertukaran maklumat sehingga kepada satu bentuk kerjasama yang lebih kukuh iaitu kesatuan rasmi (formal alliance)(Ibid).
Terdapat banyak bentuk kesatuan. Kesatuan ketenteraan lazimnya bersifat casus foderis (merealisasikan operasi); komitmen dipertanggungjawabkan kepada anggota kesatuan; anggota kesatuan menyumbangkan pasukan tentera untuk integrasi ketenteraan dalam kesatuan; serta operasi ketenteraan kesatuan dalam lingkungan geografi tertentu. Peruntukan ekonomi yang besar dalam sebuah kesatuan ketenteraan misalnya dapat dilihat dalam kesatuan North Atlantic Treaty Organization (NATO). Pada tahun 2002 misalnya, perbelanjaan awam NATO berjumlah Euro 124.7 million yang disumbangkan oleh kementerian luar negeri negara-negara anggota, manakala perbelanjaan ketenteraan berjumlah Euro 746 million adalah sumbangan kementerian pertahanan negara-negara anggota (www.Stimson.org). Jumlah sumbangan setiap negara anggota adalah berbeza berdasarkan GDP negara masing-masing, serta ia adalah hasil proses tawar-menawar politik (political bargaining process). Untuk projek NATO Security and Investment Programme (NSIP) misalnya, diambilkira juga “kemampuan untuk membayar” bersama-sama dengan factor lain seperti potensi keuntungan projek tersebut di negara masing-masing, dan sumbangan mereka terhadap keselamatan NATO. Seperti semua keputusan dalam NATO, peratusan sumbangan kepada belanjawan NATO mestilah dipersetujui sebulat suara oleh negara anggota (Ibid).
Dalam konteks Eropah, Maastricth Treaty menyediakan dasar pertahanan dan dasar luar secara bersama. European Union (EU) menggunapakai Western European Union (WEU) iaitu penyusunan pertahanan sejak Brussels Pact pada tahun 1948 yang sekarang termasuk keanggotaan EU (Henderson 1998: 287). Walaupun kurang disenangi oleh Amerika Syarikat, EU mendakwa WEU akan memperkuatkan peranan Eropah dalam NATO. Tentera WEU boleh membesar sehingga 50,000 anggota dengan asasnya dibina oleh brigade French-German. Pasukan ”Eurocops” ini akan ditempatkan di Strassbourg, France dan akan dipanggil bertugas dengan NATO semasa diperlukan (Ibid).
Pencapaian EU dan sebab terbesar penyatuan dasar luar adalah perlindungan kepentingannya dalam lingkungan GATT. Kepentingan ekonomi yang lain adalah memperhatikan jiran-jiran dalam negara Eropah. Pada zaman EC, EU mengekalkan hubungan dagangan yang sihat dengan European Free Trade Area (EFTA). Pada tahun-tahun 1991 – 1992 selari dengan kemajuan status kesatuan ekonomi, ia mengikat hubungan dagangan dengan EFTA dengan pembentukan European Economic Area. Bagaimanapun, sesetengah anggota EFTA yang bimbangkan julat ekonomi yang besar telah memohon keanggotan dalam EU. Negara-negara EFTA kemudiannya memonopoli 10 peratus populasi negara EU (Ibid). Norway cuba memasuki EU tetapi dibantah rakyatnya kerana mempunyai kekayaan minyak dan perindustrian perikanan termaju. Rakyat Norway percaya ekonomi mereka lebih baik di luar kerangka EU. Kekuatan ekonomi Norway telah memberi Norway menentukan dasar pertahanan dan dasar luar negerinya yang tidak bergantung kepada negara lain. Berbeza dengan negara Eropah Timur yang baru merdeka, di samping pinjaman, bantuan dan perdagangan yang ditawarkan oleh EU, negara-negara Eropah timur ini mahukan keanggotaan tetap dalam EU. Republic Chezc, Hungary, dan Poland misalnya mengharmonikan ekonomi nasional mereka dengan EU dengan harapan dapat memasuki EU pada tahun 1999 (Ibid). Jelas, bahawa sektor ekonomi memainkan peranan penentu ke atas pentukan dasar pertahanan dan dasar luar negeri negara-negara Eropah Timur ini.
Di peringkat negara pula, China misalnya menunjukkan bagaimana sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar negerinya. Walaupun mengalami ketidaktentuan keadaan ekonomi pada era 1980-an, namun tetap meningkatkan belanjawan pertahanannya sejak lewat tahun 1980-an. Pada tahun 1991, jumlahnya adalah sebanyak US$6.23 million, meningkat 12% dari tahun 1990. belanjawan ini meningkat lagi 13% pada tahun 1992, dan 13.5% lagi pada tahun 1994. Kementerian Pertahanan China dilaporkan membelanjakan sehingga US18.9 million antara tahun 1992-1993 (Heaton, Jr. 1999: 392). China juga memodenkan personel dan senjata ketenteraannya secara besar-besaran terutama dalam sistem pertahanan udara, tahan lama, keupayaan serangan nuklear, keupayaan pertahanan hadapan, dan memperbaiki sistem C3I (Ibid: 382). Oleh itu, pemimpin-peminpin China berhujah bahawa peningkatan dalam belanjawan pertahanan adalah perlu untuk membangunkan senjata sofistikated. Peningkatan ini juga membolehkan China menghindar pencerobohan luar (Ibid: 385). Walau bagaimanapun, pada tahun 1992, China diminta agar berubah dari konsep pertahanan yang menyempitkan kepada pertahanan ketenteraan kepada satu sistem pertahanan yang meliputi keseluruhan elemen ekonomi, politik dan sosial (Ibid).
Kepentingan ekonomi dalam aspek keselamatan dan ketenteraan juga dapat dilihat dari sudut kompleks industri-pertahanan (industrial defense complex). Konsep ini mengandaikan bahawa kompleks antara pertahanan nasional angkatan tentera, propaganda, perisikan, peperangan politik, industri utama dan organisasi khas teknologi telah menjadi outpout kepada sistem pertahanan nasional (Deutsch 1995: 108). Elemen-elemen yang berkaitan ini diandaikan menyumbang antara satu sama lain demi matlamat mempertahankan negara. Kompleks ini boleh dilihat dalam konteks luar negeri dan dalam negeri. Amerika Syarikat misalnya, akan melindungi kepentingan industrinya di luar negara sehingga ke tahap tertentu dengan memberi perhatian khusus kepada golongan berkepentingan ini dan AS mempunyai pengaruh politik yang secukupnya untuk memastikan perlindungan ini berterusan. Misalnya, Amerika Syarikat mempunyai beratus-ratus syarikat pelaburan luar negeri dalam industri minyak dengan aset dan pengawalan di negara asing. Begitu juga dengan aliran wang dan komodi, serta kawalan kredit di peringkat antarabangsa. Penglibatan AS dalam ekonomi luar negeri ini sebagai satu bentuk pertahanan ke atas kepentingan nasionalnya di luar negeri. Ia juga menentukan bagaimana dasar luar diformulakan sesuai dengan perlindungan ke atas kepentingan-kepentingan ini.
Bagi aspek domestik pula, analisis kompleks pertahanan ini dapat dilihat dari segi kaitan rapat antara sektor ekonomi dengan pembangunan ketenteraan. China adalah contoh paling tepat kerana pasukan tenteranya berminat membangunkan keseluruhan ekonomi negara pada era awal 1990-an. Kongres juga bersetuju bahawa tentera patut memenuhi keperluannya sendiri di bawah program pembinaan ekonomi nasional (Heaton, Jr. 1999: 393). Di bawah slogan “mempromosikan pengeluaran dan aktiviti ekonomi adalah keuntungan kepada negara, tentera dan juga rakyat”, PLA membangunkan perusahaan berorientasikan keuntungan meliputi 2,500 produk termasuk untuk pasaran luar negeri (Ibid). Bidang pengeluaran termasuk sains perubatan, elektronik, kejuruteraan biologi, telekomunikasi, bahan letupan, pembinaan dan industri makanan. Sementara itu, pemimpin tentera senior mahukan pengeluaran lebih dibuat dalam industri pertahanan berbanding barang-barang awam.
Signifikan dari industri ini ialah penjualan senjata secara meluas di luar negeri. Pasaran luar negeri yang paling penting bagi China ialah Timur Tengah iaitu Iran dan Iraq sekitar konflik kedua-dua negara pada tahun-tahun 1980-an. Stockholm International Peace Reseach Institute, China berada pada ranking ke-4 sebagai pengeksport senjata selepas Amerika Syarikat, USSR dan Germany (Ibid: 394). Walaupun terdapat penurunan eksport oleh AS dan USSR tetapi eksport China masih menunjukkan peningkatan sehingga menimbulkan perhatian terhadap penyebaran senjata antarabangsa. Beijing juga membantu menyediakan program teknologi nuklear di Iran, Pakistan dan Algeria (Ibid), menjual peluru berpandu dan komponennya kepada Arab Saudi, Pakistan, Iran dan Syria. Walau bagaimanapun, China dijangkakan akan menukar strategi menukar penjualan senjata bersistem penuh kepada penjualan teknologi senjata khusus dan bantuan teknikal kerana mendapat tentangan dari AS dan negara-negara barat akan penyebaran senjatanya yang meluas. Strategi baru ini juga akan meningkatkan keuntungan pertukaran wang asingnya (Ibid). Jelas bahawa sektor ekonomi memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar negeri sesetengah negara.
PERANAN SEKTOR EKONOMI KE ATAS BIDANG SOSIAL
Sektor ekonomi juga memainkan peranan utama ke atas bidang sosial sesebuah negara seterusnya menyumbang kepada pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar negeri negara tersebut. Sektor ekonomi sebenarnya berkaitan secara langsung dengan keselamatan dan kestabilan dalaman sesebuah negara serta mencerminkan sikap dan tingkahlaku dasar luar yang jelas demi dasar pertahanan keseluruhannya. Sektor ekonomi ini mesti berganding bahu dengan sektor keselamatan demi menjamin kelangsungan keselamatan dan keselamatan sesebuah negara.
Kerajaan mesti memainkan peranan penting menyediakan rakyatnya dengan perkhidamatan sosial yang mencukupi dan mempastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kukuh dan cekap. Prinsip ini secara umumnya menaiktaraf atau mengekalkan kebajikan pihak awam (Holsti 1995:97). Konsep kerajaan melindungi kebajikan sosial dan menyediakan peluang ekonomi yang secukupnya kepada rakyat ini boleh dibincangkan dalam konteks negara berkebajikan (welfare state). Asasnya welfare state mesti membantu rakyatnya apa yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Negara mempunyai tanggungjawab langsung untuk memaksimumkan pertumbuhan ekonomi, meminimumkan pengangguran dan menyediakan pelbagai pekhidmatan yang akan meningkatkan kualaiti kehidupan, ekonomi, dan peluang yang sama rata kepada semua rakyat (Ibid). Kepada sosialis, welfare state ini bermakna tiada rakyat yang menderita ketidakselamatan ekonomi, manakala kepada demokrasi liberal bermakna kerajaan yang dipilih oleh rakyat bertanggungjawab menguruskan dan memperkuatkan ekonomi nasional (Ibid: 98). Terma ”kebajikan” atau welfare selalunya dikenalpasti dengan pelbagai indikator pertumbuhan ekonomi, misalnya ”pembangunan berterusan” (sustainable development). Kepada negara, untuk meningkatkan kekayaan dan kecekapan ekonomi, sesebuah negara itu mesti mengadakan hubungan perdagangan (Ibid). Keadaan ini menunjukkan hubungan yang jelas antara sektor ekonomi dengan sektor keselamatan dan hubungan luar oleh sesebuah negara.
Kerangka di atas paling sesuai diaplikasi ke atas negara Jepun. Selepas perjanjian dengan AS pada tahun 1951, ia mengalami pertumbuhan ekonomi yang mendadak. Daripada tahun 1954 hingga 1972, ekonomi Jepun berkembang dengan begitu pesat. Berasaskan kepada asas industri sebelum perangnya, Jepun menjadi pengeluar paling cekap dalam segala jenis produk daripada industri besi dan keluui, kimia, produk automotif, dan barangan pengguna. Berbanding dengan membangunkan teknologi baru, asas kemajuan ekonomi Jepun adalah kerana gunapakai dan pembaikan teknologi produk asing dan meletakkan pembangunan ekonomi sebagai keutamaan pembangunan nasional. Pada tahun 1977, Kadar Pertumbuhan Negara (GDP) Jepun menjadi yang kedua terbesar di dunia, serentak dengan peningkatan taraf hidup semua peringkat rakyat Jepun. Pada waktu-waktu inilah, konsep Negara Berkebajikan (Welfare State) diperkukuhkan di Jepun (www.jussemper.org). Kejayaan Jepun ini adalah berdasarkan penglibatannya ke dalam sistem ekonomi selepas perang Pax-Amerikana, mengimport bahan mentah dan mengekport produk perkilangan. Kejayaan ini juga dipengaruhi oleh hubungan industri antara ahli perniagaan dengan pekerja serta keaslian budaya Jepun. Peranan budaya ini menjadi peranan penyumbang yang penting ke arah keharmonian antara peniagaan dan pekerja dan menghasilkan kenaikan yang mengagumkan dalam taraf hidup purata isi rumah Jepun (Ibid). Keterangan ini jelas menunjukkan sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam menyediakan satu asas pertahanan pertahanan dalaman dan corak dasar luar yang berasaskan perdagangan oleh negara Jepun.
Di peringkat antarabangsa dan serantau, pada era-era awal Perang Dingin, Jepun bergantung kepada AS untuk pemulihan ekonomi dan keselamatan ketenteraannya (Miyashita 2001:1). Beberapa pendirian dasar luar kemudiannya meletakkan Jepun di posisi yang baik di arena antarabangsa selari dengan perhatiannya kepada negara-negara Asia yang sebelum ini kunci dasar luarnya ialah hubungannya dengan AS. Sejak akhir 1980-an, Jepun mula membebaskan ikatan dasar luarnya dengan AS dengan memainkan peranan yang lebih besar dan penting di arena antarabangsa sebagai Welfare State seperti negara pembekal kredit terbesar di dunia. Sejak itu, Jepun memainkan peranan lebih penting sebagai dalam Asia Pacific Economic Cooperation (APEC), Asian Development Bank (ADB) dan Asian Industrial Development Plan (AID) (Ibid:4). Di pentas antarabangsa, Jepun menaburkan khidmat ekonomi dan sosial di dalam kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai orientasi dasar luarnya sejak lewat 1950-an. Sejak itu, Jepun aktif dalam agensi PBB melibatkan pembangunan ekonomi, sosial dan kebudayaan. Sejak tahun 1970, sesuai dengan status economic superpower, Jepun diharap dapat memainkan peranan lebih besar di dalam PBB. Pada tahun 1990, Jepun menjadi penyumbang terbesar kepada belanjawan PBB iaitu 11% di belakang AS yang menyumbang sebanyak 25% (www.en.wikipedia.org). Bermula pada tahun 1989, Jepun aktif di dalam aktiviti pengamanan di
Kekuatan ekonomi sesebuah negara bukan sahaja dapat mempastikan rakyatnya menikmati keadaan ekonomi yang baik tetapi juga membolehkan mereka menikmati taraf hidup yang lebih baik. Di negara berkebajikan seperti Jepun, sesetengah perkhidmatan dapat dinikmati dalam jumlah yang umum apabila ia disediakan oleh kerajaan seperti sistem lebuhraya, bekalan air bersih, perkhidmatan pertahanan dan keselamatan, tahap kesihatan yang bagus dan pertahanan nasional (www.mpi_fg_koeln.mpg.de/pu/wokpap/wp00_7.html.).
PERANAN SEKTOR EKONOMI KE ATAS SEKTOR POLITIK
Sektor ekonomi boleh digunakan sebagai kuasa untuk mencapai matlamat politik nasional, begitu juga sektor politik boleh digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi nasional. Orientasi ini yang dipanggil ”economic statecraft” masih menjadi salah satu pendekatan asas negara di peringkat politik ekonomi antarabangsa kini. Negara memakai pendekatan ini kerana kebertanggungjawabannya terhadap kelangsungan ekonominya sendiri. Walaupun mempunyai peluang mendapatkan bantuan ekonomi luar dari aktor negara dan kerajaan antarabangsa (IGO), namun tiada jaminan akan kelangsungan hidup sesebuah negara. Oleh itu, seperti keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi lebih kepada asas kendiri (self help).
Para nasionalis ekonomi mempercayai bahawa kuasa politik, ketenteraan dan ekonomi adalah saling berkait. Oleh itu, para nasionalis ini menganjurkan agar digunapakai semua aspek dasar ekonomi kerajaan, termasuk hubungan ekonomi luarnya untuk mengembangkan kekuasaan sesebuah negara. Pandangan ini mengandaikan pergerakan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan lain-lain bentuk pertukaran ekonomi ke dalam dan keluar dari negara patut dimanipulasi ke arah kepentingan kuasa sesebuah negara berasaskan halangan dan sokongan domestik (Rouke & Boyer 2005:323).
Sesebuah negara boleh menghalangi perdagangan dengan banyak cara, salah satunya ialah tariffs. Negara mengenakan tariff yang tinggi untuk melindungi industri dalamannya, terutama industri kecil dari dikuasai oleh syarikat-syarikat asing. Tariff juga digunakan sebagai cegah rintang, misalnya pada tahun 2003, AS telah menekan kadar tukaran mata wang China, yuan, supaya lebih stabil dengan US Dollar. Kongres AS telah mengenakan levy sebanyak 27.5% tariff import dari China sehingga nilai matawang yuan diturunkan. Bejing dilabel sebagai ”diktator komunis yang memanipulasi dan menipu serta tidak tidak mengikut peraturan antarabangsa” (Ibid: 324).
Halangan bukan tariff pula adalah cara yang biasa dan penting mengehadkan perdagangan. Kebanyakan peraturan halangan bukan tariff bermunasabah ke atas kesihatan, keselamatan dan lain-lain. Antaranya ialah sekatan politik (political sanctions) ke atas aktiviti import dan eksport sesebuah negara. Contohnya ialah sekatan ke atas pengimportan minyak Iraq antara tahun 1990 dan 2003. Ke peringkat ekstrem, trade embargoes berupa halangan langsung boleh dikenakan seperti yang dikenakan oleh AS ke atas barangan dari Cuba. Bentuk halangan bukan tariff lain ialah kuota (quotas). Kuota menghadkan jumlah yang boleh didagangkan ke dalam sesebuah negara. Jepun misalnya telah memberi reaksi kepada kuota kemasukan kereta Jepun ke dalam AS dengan membina kilang auto di dalam AS sendiri. AS pada tahun 2003 misalnya telah mengenakan kuota terhadap import barangan pakaian dari China untuk melindungi industri tekstil dalamannya (Ibid). Halangan teknikal (technical restrictions) juga salah satu bentuk halangan bukan tariff. Ia dikenakan jika barangan teknikal yang dibawa masuk ke dalam sesebuah negara tidak menepati piawaian mutu negara tersebut, AS misalnya menyekat kemasukan trucks dari Mexio kerana sebaba ini. EU juga menyekat kemasukan daging lembu Amerika kerana kandungan hormon buatan yang dicampurkan ke dalam makanan ternakan tersebut ( Ibid).
Sesebuah negara mempunyai pelbagai alat ekonomi seperti insentif ekonomi dan sekatan ekonomi.
Negara biasanya menawarkan insentif ekonomi untuk menggalakkan negara lain bertingkahlaku seperti yang dikehendakinya. Insentif termasuk bantuan luar, pemberian pinjaman atau hutang, jaminan pinjaman, pengurangan tariff dan lain-lain halnagan perdagangan, melesenkan teknologi yang sensitif dan pelbagai teknik lagi. Tidak semua insentif ini berjaya namun kadangkala ia berkesan. Contohnya, selepas peperangan di Iraq pada tahun 2003, pentadbiran Bush telah menghantar setiausaha negara James Baker ke seluruh dunia, berkempen membebaskan Iraq dari hutang luarnya sebanyak US$120 billion semasa era Saddam Hussin. Sebelum itu, Bush telah melakukan sekatan terhadap negara yang tidak menyokong peperangan tersebut, namun kempen Baker meredakan keadaan tersebut dan menerima respon yang baik dari Perancis, German dan Russia (Ibid).
Sekatan ekonomi biasanya dilakukan oleh negara-negara dan sekutunya yang mempunyai kekuasaan ekonomi. Negara-negara ini akan mengambil tindakan ini jika terdapat ”jangkaan akan kerapnya berlaku konflik dengan target” (Ibid:325). Kaedah-kaedah yang digunakan termasuk meningkatkan halangan perdagangan, menyekat bantuan, cubaan merendahkan nilai matawang negara lain, sehingga sekatan terhadap institusi tertentu. Contoh sekatan ekonomi yang pernah dikenakan ialah oleh Kesatuan Eropah terhadap Serbia pada tahun 1991 selepas serangan agresif Serbia ke atas Bosnia Herzegovina. Sekatan yang berterusan ini ke atas Serbia telah menjadi punca kepada kejatuhan Presiden Slobodan Milosevic pada Oktober 2000 (Ibid:326). Ia melambangkan dasar luar EU yang jelas dan telus terhadap Serbia.
Jelas sekali bahawa sektor ekonomi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan orientasi politik sama ada di peringkat dalaman atau luaran sesebuah negara demi menjamin kelangsungan keselamatan negara tersebut secara keseluruhannya. Ia juga melambangkan aspirasi matlamat nasional yang tertentu dan bentuk hubungan dasar luar yang khusus.
KESIMPULAN
Sektor ekonomi dalam kertas ini dibincangkan sebagai mempunyai peranan yang paling penting atau paling atas di atas hierarki kepentingan pertimbangan pertahanan dan dasar luar sesebuah negara. Peranannya yang horizontal dan vertikal dalam bidang keselamatan dan pertahanan, sosial dan kebajikan, serta keutamaannya sebagai alat politik telah menjadikan ekonomi sebagai faktor yang menentukan pembentukan dasar pertahanan dan dasar luar sesebuah negara secara keseluruhan. Tiada negara di dunia yang boleh memisahkan kepentingan sektor ekonomi dari bidang pertahanan, sosial dan politik. Memisahkan ekonomi atau kegagalan sektor ekonomi ke dalam kepentingan keselamatan, sosial dan politik akan menjadikan sesebuah negara itu tidak stabil, selamat dan meneruskan kelangsungan hidupnya seperti yang berlaku kepada kebanyakan failed states di benua Afrika. Pengurusan yang cekap ke atas sektor ekonomi dan menggabungkannya ke dalam elemen sosial, keselamatan dan politik akan memberi jalan ke arah kemakmuran sesebuah negara, misalnya kejayaan oleh kebanyakan negara Asia Tenggara sebelum era kejatuhan ekonomi 1997 sehingga digelar “ Harimau Ekonomi”. Kemakmuran ini akan memberi faedah ke atas belanjawan keselamatan, peningkatan taraf dan kualiti hidup rakyat serta kestabilan politik dalaman. Perdagangan luar juga memainkan peranan penting membawa kekayaan ke dalam negara dan menjadi teras hubungan yang kukuh di peringkat luar negara. Secara umumnya, ia menggambar satu orientasi dasar pertahanan dan dasar luar yang menyeluruh.
BIBLIOGRAFI
Deutsch, Karl.W, (terj). 1995. Analisis Hubungan Antarabangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Grare, F. 2004. “
Heaton, William R. Jr. 1999. “The People’s Republic of
Henderson, Conway W. 1998. International Relations Conflict and Cooperation at the Turn of the 21st Century.
Holsti, K.J. 1995. International Politics A Framework for Analysis (7th Ed.).
Miyashita, Akitoshi. 2001. “Introduction: A Framework for Analysis” dalam Japanese Foreign Policy in Asia and the Pacific.
Rouke, John T., Boyer, Mark. A. 2005. International Politics on the World Stage (6th Ed.).
www.en.wikipedia.org/wiki/Japan_and_the_United_Nations (20 Oktober 2006)
www.jussemper.org/Resources/Economic%20Data/The%20Neocapilatist. (20 Oktober 2006)
www.mpi_fg_koeln.mpg.de/pu/wokpap/wp00_7.html. ( 20 Oktober 2006)
www.Stimson.org (20 Oktober 2000).
No comments:
Post a Comment