Tuesday, September 16, 2008

ALGERIA: PRAGMATISME DASAR LUAR NEGARA DUNIA KETIGA


ALGERIA: PRAGMATISME DASAR LUAR NEGARA DUNIA KETIGA

PENGENALAN

Dasar Luar Negara ialah aktiviti yang melibatkan aksi/perlakuan (act), reaksi (react) dan interaksi (interact) oleh aktor-aktor di dalam sesebuah negara. Dasar Luar Negara melibatkan pembentukan polisi berdasarkan pertimbangan dua persekitaran: dalaman/ domestik, dan luaran/global. Persoalan keselamatan atau pertahanan adalah salah satu perbincangan penting dalam pembentukan Dasar Luar Negara.

KERANGKA ANALISIS

Perbincangan tajuk ini akan menggunakan kerangka analisis yang dikemukakan oleh Ali E. Hillal Dessouki dan Bahgat Korani yang telah dibentuk untuk memahami Dasar Luar Negara-negara Arab, 1965- 1981. Berikut ialah empat bahagian utama kerangka analisis tersebut:

I. Persekitaran Domestik (Domestic Environment)

a) Faktor geografi

b) Populasi dan Struktur Sosial

c) Keupayaan Ekonomi

d) Keupayaan Ketenteraan

e) Struktur politik

II. Orientasi Dasar Luar Negara (Foreign Policy Orientation)

III. Proses Membuat Keputusan (Decision-making Process)

IV. Pengendalian Dasar Luar (Foreign Policy Behavior)

LATAR BELAKANG NEGARA ALGERIA

Algeria merupakan pengeluar minyak dan gas yang penting di rantau Afrika dan sekitarnya.
Kadar Keluaran Negara Kasar (GNP) yang tinggi telah meletakkan Algeria sebaris dengan negara Mediterranean dan negara membangun yang lain: hanya sedikit di bawah Sepanyol, sama tinggi dengan Yugoslavia dan Turkey, dan berada di atas Greece, Portugal, Morocco dan Egypt. Di rantaunya, Algeria berada di kedudukan yang strategik sekaligus mempunyai peranan

diplomatik yang penting. Algeria terletak di pertengahan laluan rantau Eropah, Afrika danArab. Di kalangan Negara Dunia Ketiga, Algeria menjadi model pergerakan pembebasan kebangsaan.
Semangat revolusi Algeria berterusan sehingga selepas kemerdekaan, bukan hanya berasaskan ideologi oleh presiden pertamanya, Ahmed Ben Bella (1962- 1965), tetapi juga kerana pragmatisme Presiden Boumedienne (1965- 1978) yang telah mengasaskan pergerakan berkecuali yang meletakkan Negara Dunia Ketiga dalam dialog Utara/Selatan. Algeria juga dicontohi sebagai “la montreuse de conduite” yang bermakna “contoh tingkahlaku” merujuk kepada semangatnya untuk menstrukturkan semula perhubungan antarabangsa.


I. PERSEKITARAN DOMESTIK

Faktor-faktor yang menentukan yang Dasar Luar Negara Algeria adalah ideologi, politik dalaman, keadaan ekonomi negara, serta hubungan dengan Perancis. Faktor lain ialah personaliti pemimpin, perhubungan dengan rantau Afrika serta keanggotaan dalam OPEC.

a) Geografi, Populasi, dan Struktur Sosial.

Pembentukan Dasar Luar Negara Algeria yang paling penting dan paling utama adalah kaitan dengan negara penjajahnya, Perancis. Kepada Perancis, Algeria bukan negara jajahannya tetapi sebahagian daripada wilayah Perancis sendiri. Kedua-dua negara ini secara geografinya juga berdekatan yang telah memunculkan dua kesan besar iaitu: ia menggalakkan Perancis “memPeranciskan/ frenchify” Algeria, dan ia menggalakkan beratus ribu rakyat Algeria mencari pekerjaan di Perancis. Jumlah pekerja yang ramai ini menjadi bahan perdebatan dan menghangatkan perundingan antara Perancis dan Algeria selepas kemerdekaan Algeria. Pembangunan Algeria juga bergantung kepada aliran wang masuk dari mereka serta keadaan ekonomi Algeria tidak dapat menampung pekerjaan jika mereka dihantar pulang.

Empat perlima daripada 2.4 juta kilometer persegi Algeria adalah padang pasir. 90% daripada 20 juta rakyat menduduki bahagian subur di utara berhampiran Mediterranean. Padang pasir Sahara di bahagian selatan walaubagaimanapun, kaya dengan sumber semulajadi. Kawasan ini menjadi perebutan antara Perancis dan Algeria dalam rundingan kemerdekaan pada tahun 1961. Dengan keluasan 1,500 km dengan sempadan Niger dan Mali, Sahara menjadi sempadan pemisah antara keturunan “Afrika Putih” dan “Afrika Hitam”. Algeria juga membina laluan merentasi Sahara (trans-Saharan route).

Persoalan identiti juga menjadi isu apabila kedatangan orang Eropah ke Algeria telah menimbulkan status ekonomi dan nilai sosial yang tidak strata antara penjajah dan penduduk tempatan. Isu ini melibatkan Muslim dan orang Eropah. Diskriminasi dan ketidakupayaan yang orang Muslim hadapi sewaktu Perancis menjalankan dasar ”mengEropahkan Algeria” telah mengikat perpaduan antara populasi tempatan.

Peperangan Kemerderkaan telah merubah struktur sosial dengan pantas dan meninggalkan tiga kesan utama iaitu:

i. usaha untuk membetulkan ketidaksetaraan struktur penjajah telah melibatkan peruntukan besar sumber kerajaan dan menembusi sektor pendidikan dan kebudayaan. Revolusi pendidikan telah diadakan dan kejayaan telah dicapai antaranya kadar memasuki sekolah rendah mencecah 98% dari populasi (kira-kira 30 juta- 1975). Di antara tahun 1973- 1977, Algeria mendapat tiga bantuan pendidikan dari Bank Dunia yang berjumlah $101.5 juta. 1978- 27% daripada bajet tahunan adalah untuk pendidikan.

ii. kedatangan kemerdekaan gagal memenuhi aspirasi dan jangkaan sesetengah pihak. Ketidakpuashatian ini mengakibatkan konflik politik dan pemberontakan domestik. Isu-isu sosial dengan mudah dipolitikkan, misalnya dalam isu ”Arabization”, perpecahan timbul antara kumpulan elit yang terdidik dengan tradisi Perancis dengan kumpulan sarjana Islam. Isu utama dalam sains sosial Algeria ialah apakah fokus kepada identiti budaya, status kepada bahasa Perancis, dan kedudukan prinsip-prinsip Islam dalam masyarakat yang bergerak dan berorientasi perindustrian.

iii. mengurangkan jurang sosial dan memupuk integrasi sosial dengan cara memenuhi “keperluan asas” material dan spiritual, perlembagaan memperuntukkan Algeria adalah negara Muslim, berfahaman Islam Sosialis, Algeria sebahagian dari Dunia Muslim Arab, serta penyokong revolusi anti-penjajah. Dan politik adalah nadi kepada rakyat Algeria.

b) Struktur Politik

Algeria terbahagi kepada 31 wilayah (provinces), 91 daerah(counties), dan 676 daerah kecil (districts). Kuasa politik tertinggi terletak di tangan FLN, parti tunggal di Algeria dan Dewan Nasional (National Assemby). Sebaik selepas merdeka pada tahun 1965, dewan ini ditadbir oleh Suruhanjaya Revolusi. Sistem politik Algeria beroperasi berdasar 2 asas:

i. struktur elit politik dipengaruhi oleh warisan penjajah dan kesan selepas kemerdekaan

ii. keutamaan kepada pembangunan dan perindustrian.

1962, pilihanraya pertama Algeria diadakan namum dibatalkan kerana pertikaian berlaku antara pemimpin-pemimpin Algeria. Pergelutan kuasa ini membahagikan politik Algeria kepada 2 bahagian utama iaitu:

i. antara ahli politik dan tentera – masing-masing merasakan mereka lebih berhak mentadbir setelah berusaha memerdekakan negara

ii. jurang antara tentera dalaman (gerila wilayah) dan tentera luaran (tentera profesional yang bertugas di negara jiran).

Perlembagaan 1963 mengiktiraf kedudukan FLN sebagai parti utama Algeria. Perlembagaan juga mengiktiraf peranan Presiden sebagai ketua negara sekaligus komander pasukan tentera.

1965, Presiden Ben Bella digulingkan oleh Menteri Pertahanannya Kolonel Boumedienne. Sepanjang 12 tahun pemerintahan Boumedienne, negara dijalankan oleh 2 institusi:

i. 26 ahli CNR, badan pembuat keputusan, diangggotai bersama oleh tentera, serta ahli Biro Politik,

ii. Suruhanjaya Menteri, badan eksekutif yang menguruskan hubungan negara setiap hari.


Pemerintahan tunggal Boumeidienne berakhir dengan kematiannya pada 1978, dan digantikan dengan Chadli Bendjedid. Pemerintahan Algeria bertukar corak menjadi bentuk perkonsian kuasa (collective leadership) yang turut mengagih kuasa kepada seorang Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan. Bendjedid telah mengecilkan jumlah ahli Biro Politik dari 17 menjadi 7 serta telah melantik seoarang taikun industri berat ke dalam kabinetnya. Ia menggambarkan penyertaan golongan berpengaruh dalam bidang ekonomi dalam kabinetnya, selari dengan matlamat “mengindustrikan industri” (industrializing industry). Dua kementerian untuk perindustrian telah dibentuk, di samping pembentukan elit teknokrat dengan kuasa menggubal dasar.

c) Keupayaan ekonomi dan Keutamaan Memacu Industri

Sepanjang 20 tahun kemerdekaannya, Algeria telah mempengaruhi Dasar Luar Negaranya dengan 2 cara:

i. peningkatan campur tangan teknokrat atau golongan elit dengan kuasa menggubal dasar,

ii. pertambahan peranan sektor hidrokarbon dalam plan pembangunan ekonomi dalam usaha meraih rakan dagang negara asing.

Sewaktu pada tahun-tahun awal kemerdekaannya, ekonomi Algeria dibebani dengan masalah-masalah dari Peperangan Kemerdekaan iaitu migrasi dalaman, kemusnahan tanaman, mogok jalanan, penurunan pelaburan, serta kerosakan peralatan kilang dan pertanian.

Walaupun perancangan ekonomi bermula 3 tahun selapas merdeka, Algeria sudahpun aktif dalam sektor ekonomi sejak di bawah penjajahan Perancis lagi. Tahun-tahun sterusnya, Algeria banyak membina kilang, perlombongan, firma perkilangan besar dan industri hidrokarbon.

Dasar PemilikNegaraan (Nationalization) ini telah memberi kesan terhadap hubungan kuar negeri Algeria, terutama dengan Perancis pada tahun 1970 dan 1971.

Hubungan ini juga penting kepada pertalian antara keupayaan ekonomi negara dengan Dasar Luar. Algeria menderita dalam hubungannya dengan penjajahnya Perancis, keperluan PemilikNegaraan dan penstruturan semula ekonomi. Pembuat dasar Algeria perlu mencari rakan ekonomi yang lain untuk meningkatkan kuasa penawaran, dan meneruskan objektif pembangunan secara bebas, terutamanya kepada sektor hidrokarbon. Sektor ini telah dibangunkan oleh firma Perancis, dengan bantuan kerajaan Perancis juga. Oleh itu, Algeria hilang kawalan ke atas sektor ini sekaligus tidak dapat diintegrasikan ke dalam plan pembangunan ekonomi Algeria.

1965, Perkorporatan Nasional dilaksanakan ke atas sektor ini melalui badan SONATRACH yang bertujuan mentafsir semula hubungan dengan syarikat minyak luar negara yang akan dinilai semula setiap 5 tahun. Pada tahun penilaian pertama, 2 kejayaan telah dicapai iaitu penubuhan OPEC dan pemecutan transformasi sosial.

Tahun-tahun seterusnya adalah usaha penerokaan dan pengeluaran, pemasangan saluran paip. Dan Dasar Luar telah membantu mencari rakan dagang yang baru. 1978, SONATRACH telah menjadi syarikat minyak ke-10 yang terbesar di dunia.

Pengurus-pengurusnya pasti akan mempengaruhi pertalian Dasar Ekonomi dan Dasar Luar pada masa-masa hadapan Algeria kerana keutamaan pembangunan industri dan peranan penting sektor hidrokarbon mencapai objektif-objektif ini.

1978, SONATRACH dan Bechtel Corporation, syarikat multinasional, telah bekerjsama dalam projek “Hydrocarbon Development Plan of Algeria, Financial Projections 1976- 2005”. Usaha ini menjadi tulang belakang kepada pembangunan masa hadapan ekonomi Algeria, seperti yang dinyatakan oleh Chadli Bendjedid dalam majalah Le Monde pada tahun 1979 sebagai strategi pembangunan global berasaskan perindustrian dan tidak akan berpatah balik dalam usaha tersebut.

Kedua-dua GDP dan kadar pertumbuhan sector hidrokarbon adalah penting kepada status dan bangsa Algeria serta keupayaannya di pasaran kewangan antarabangsa. Algeria telah menerima pinjaman sebanyak $200 juta daripada pasaran kewangan antarabangsa pada tahun 1980.

Kerjasama dengan Bechtel adalah kerjasama pemasangan saluran paip ke Eropah yang terpaksa melalui sempadan negara jiran Algeria. Saluran paip ke Italy mesti melalui Tunisia, tetapi Tunisia enggan membenarkan sempadannya digunakan dan hanya bersetuju kemudiannya selepas berunding sendiri dengan Italy. Pada tahun 1978, Bendjedid telah merasmikan saluran paip merentas sempadan, Transmed, sejauh 2,498 km. Saluran ini dipanjangkan hingga ke sempadan Morocco. Pertemuan kedua-dua pemimpin tertinggi Algeria dan Morocco kemudiannya berkisar kepada isu konfrontasi tentera di Sahara serta peluang-peluang ekonomi kedua-dua negara.

d) Keupayaan Ketenteraan

Sewaktu merdeka, rekod keupayaan tentera Algeria adalah kabur kerana sesetengah elemen diwarisi daripada penjajah Perancis. Selepas merdeka, pembentukan tentera Algeria sangat berbeza, ia dianggotai oleh para militant Revolusi 1954. Boumedienne bertugas menukar pasukan askar gerila kepada sebuah institsui tentera yang moden serta melengkapkan mereka dengan senjata yang sofistikated, latihan intensif, serta pembahagian sector tentera udara, tentera laut dan tentera darat yang jelas.

Cabarannya ialah masih ada tentera yang terlibat dalam pemberontakan wilayah dan penggulingan kuasa (coup d’etat). Walau bagaimanapun, Boumedienne mengisytiharkan kejayaan pemodenan pasukan tentera adalah menepati jangkaan.

Tentera Algeria terdiri daripada mereka yang berdisiplin, berideologi nasionalis dan sosialis untuk memastikan revolusi berterusan serta menjunjung dasar Muslim-Arab Algeria. Malah Boumedienne permah menyatakan kepada sebuah majalah bahawa mereka adalah militan dari militan yang ada (“we are above all militant”). Buktinya, sejurus selepas tercetusnya Perang Arab-Israel ke 3 pada tahun 1967, Algeria segera mengirim tentera lengkap bersenjata ke Egypt. Walau bagaimanapun, bajet ketenteraan semakin mengecil setiap tahun.

Konflik terburuk adalah di barat Sahara dengan Morocco pada pertengahan tahun 1970-an apabila tentera Algeria tidak meninggalkan sempadan Morocco sejak 1963. Krisis ini melihatkan perubahan dalam perbelanjaan ketenteraan dari $285 juta pada tahun 1975 menjadi $856.8 juta pada tahun 1982, meningkat 400%. Perjanjian pembelian senjata juga meningkat dari 5 kepada 15. Dikatakan bahawa perbelanjaan ketenteraan Algeria telah melebihi bajet, dengan pembelian diambil dari peruntukan lain. Ini memberi kesan kepada pembelian peralatan ketenteraan dalam Dasar Luar. Sebahagian besarnya dibeli dari Soviet Union. Algeria juga mempunyai hubungan baik dengan negara blok Timur dan lain-lain rejim radikal.

Tentera udara Algeria meningkat dari 1000 kepada 12,000 anggota dalam 12 tahun (1963-1981). Mereka dilatih di Egypt, Syria, USSR dan di blok Timur. Mereka juga dilengkapi senjata sofistikated. 6,000 anggota tentera daratnya berasal dari Soviet. Malah juruteknik dari Soviet dan Jerman Timur pernah tiba di sempadan Morocco untuk membantu kumpulan POLISARIO ( kumpulan penentang Morocco berpengkalan di Sahara) untuk membina pengkalan helikopter.

Hubungan utuh Algeria dan Cuba telah lama terjalin. Algeria mengutuk pencerobohan Bay of Pigs US pada tahun 1961. Penasihat tentera Cuba pernah mengendalikan latihan gerila-komando di Algeria untuk tentera darat Algeria, pejuang Palestin dan pelbagai gerakan pembebasan dari Afrika. Hubungan ini berlangsung pada 1960-an hingga 1970-an. Fidel Castro dalam lawatannya ke Algeria pada tahun 1976 pernah menyatakan pendirian mereka tentang dasar penentuan sendiri (self-determination) dan menegaskan majoriti kerajaan-kerajaan di Sahara mempunyai pendirian yang sama.

Castro dan Boumedienne mempunyai hubungan peribadi yang rapat. Algeria dan Cuba merasakan mereka mempertahankan sudut pandangan yang sama dan tentera boleh digunakan untuk mengawal sesuatu keadaan. Sudut pandangan ini membentuk konsepsi peranan Algeria atau orietasi Dasar Luar Algeria.

Pada abad ke 21, tentera Algeria dianggotai oleh People National Army (ANP), Algerian National Vavy (MRA), Air Force (QJJ) dan Territorial Air Defence Force. Keempat-empat komponen ini bertanggungjawab kepada Army le Liberation Nationale (ALN). Komponen People National Army (ANP) berjumlah 119,000 anggota, dengan 1000,000 daripadanya anggota simpanan. Pasukan tentera adalah dibawah tadbiran langsung Presiden yang juga Menteri Pertahanan (Presiden sekarang ialag Abdelaziz Bouteflika). Perbelanjaan pertahanan mengambil peruntukan $2.48 juta atau 3.2% dari GDP. Lelaki dewasa diwajibkan menjalani national service dalam tempoh satu setengah tahun.

Algeria mempunyai kuasa ketenteraan yang kuat di Afrika Utara dan menempatkan tenteranya di sempadan baratnya (Morocco) dan timur (Libya). Pasukannya dilengkapi dengan senjata sofistikaed yang dibekalkan oleh Soviet Union dan China di bawah beberapa perjanjian perdagangan ketenteraan. Algeria kebelakangan ini cuba memperluaskan perjanjian ini dengan sumebr-sumebr lain. Pasukan tentera juga dibekalkan dengan 45,000 anggota polis luar bandar, juga di bawah kuasa Presiden, dan dengan 30,000 anggota polis metropolitan di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri. Baru-baru ini, Algerian Air Force telah melangkah ke hadapan dengan menandatangani perjanjian dengan Russia untuk membeli 49 pesawat MiG-29SMT dan 6 pesawat MiG-29UBT yang dianggarkan berjumlah $1.5 Billion. Mereka juga bersetuju memulangkan pesawat lama yang dibeli dari era USSR.

2. ORIENTASI DASAR LUAR NEGARA: MENSTRUKTURKAN SEMULA SISTEM ANTARABANGSA DAN NEGARA DUNIA KETIGA

Dalam ucapan Boummedienne antara Jun 1965 hingga Jun 1970 di dalam dan di luar negara, konsep ”revolusi”(revolution) paling kerap disebut, diikuti dengan konsep ”kebangsaan”(national). Konsep-konsep ini dinyatakan secara berterusan dalam objektif dan strategi Dasar Luar. Duta Algeria ke PBB menjelaskan dasar negaranya adalah sebagai penyesuaian dengan kemerdekaan nasional dan cita-cita ke arah kerjasama dengan Negara Dunia Ketiga. Aspirasi yang sama diterjemahkan sama ada dalam Deklarasi pra-Merdeka Tripoli, Piagam Nasional 1976 (National Charter), dan Perlembagaan Algeria 1963 dan 1976.

Piagam Nasional secara jelas menyatakan objektif Dasar Luar yang memberi asas terhadap perhubungan politik, nasional dan antarabangsa. Penekanan adalah kepada revolusi ekonomi dunia, penerusan revolusi penerokaan teknologi-saintifik, pergerakan kenegaraan dan liberasi sosial, mewujudkan situasid an peluang baru, pemikiran baru, ketidakseimbangan, dan penerusan evolusi.

Algeria melalui Atikel 86 Piagam Nasional menegaskan sokongan kepada prinsip dan objektif PBB, Organization of African Unity (OAU) dan Liga Arab dengan pendirian menghormati undang-undang antarabangsa. Algeria juga pernah menjadi wakil di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Boumedienne dalam ucapannya di Sidang Mesyuarat NAM (Nonaligned Countries) pada 1973 menegaskan itulah masa yang sesuai untuk menstrukturkan semula undang-undang dunia bagi memastikan realiti baru hubungan antarabangsa. Usaha ini bukan melibatkan hubungan antara kuasa-kuasa besar tetapi hubungan kuasa besar dengan negara-negara kecil kerana telah wujud ketidakseimbangan hubungan dua pihak ini. Ia merupakan lompang utama sistem dunia pada masa itu.

Ini ialah skala bagaimana Algeria melihat hubungan pembahagian negara Timur-Barat. Algeria tidak akan menerima pembahagian tersebut yang menghadkan hubungan natara negara maju dengan negara-negra lain di dunia. Algeria juga berpendirian bahawa peperangan, pemberontakan dan penggulingan kuasa di Afrika, Asia dan Amerika Latin adalah berpunca dari unusr-unsur luar dan konflik tersebut sebagai produk daripada percubaan memunculkan kuasa hegemoni dunia ini. Oleh itu, Algeria mencadangkan pendekmorasian dalam hubungan antarabangsa, terutamanya dalam hubungan negara maju dengan negara-negara lain.

Tanggungjawab bersama menstrukturkan semula hubungan ini terletak di tangan Negara Dunia Ketiga yang mana keutamaan ahli adalah mempertahankan kemerdekaan merekadan bekerjasama menjadikannya realiti. Penekanannya adalah kepada menepis sebarang bentuk penjajahan semula dalam sebarang cara dan tujuan.

Perpaduan Negara Dunia Ketiga adalah berasaskan Dasar Berkecuali yang dinyatakan secara jelas dalam Dasar Luar Negara masing-masing, termasuk penguasaan dan kedaulatan sepenuhnya terhadap sumber-sumber semulajadi di negara masing-masing.

Dalam sokongannya terhadap OAU dan Liga Arab, Algeria mencadangkan kedua-dua pertubuhan ini memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam Dasar Luar Algeria, ayat pertamanya dinyatakan sebagai Dasar Luar Algeria adalah refleksi dasar dalam negaranya. Pilihan mereka kepada mendirikan masuarakat sosialis adalah berdasarkan kepada kemerdekaan kebangsaan, keadilan sosial, persamaan hak semua rakyat, dan menggalakkan rakyat menentang kemunduran – adalah penentuan kepada konsepsi Dasar Luar Algeria.

Pada tahun 1980-an, masalah-masalah ekonomi dan politik dalam Algeria serta situasi global dan struktur ekonomi antarabangsa telah menghadkan Dasar Luar Algeria. Regim pemerintahan yang baru telah menukar komitmen ideologi, bergerak dari negara berorientasi sosialis kepada lebih hampir kepada Barat. Begitu juga dengan kepentingan memajukan ekonomi dan inisiatif politik dalam hubungan luar menjadi keutamaan melebihi komitmen ideologi kepada rantau Afrika dan dunia.

Liberalisasi ini juga mengeratkan hubungannya dengan Morocco dan Tunisia. Di peringkat rantau, hubungan dengan Morocco banyak mendominasi Dasar Luar Algeria terutamanya kerjasama dalam UMA. Pada tahun 1987, Algeria dan Morocco bekerjasama merundingkan penyelesaian kumpulan Polisario (pergerakan gerila di sempadan Algeria-Morocco) demi keamanan kawasan barat Sahara.

3. PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN

Proses membuat keputusan mendedahkan interaksi beberapa faktor dan kesannya terhadap Dasar Luar. Analisis proses ini harus mengambilkira peranan institusi yang terlibat dan wakil di dalamnya. Institusi mempunyai prinsip-prinsip tertentu, manakala wakil-wakilnya mempunyai kehendak dan kepentingan yang sering berubah-ubah. Hubungan ini mencerminkan pola proses membuat keputusan di Algeria yang mempamerkan tiga karektor utama iaitu:

i. dominasi dan pemusatan presiden dan tugas-tugasnya

ii. keutamaan kepada ketenteraan

iii. kepentingan golongan elit pengurusan dan teknokrat

Tiga suasana proses membuat keputusan telah berlaku di Algeria:

i. Penolakan peranan instistusi

ii. Peranan golongan elit

iii. Peranan Menteri Luar

i. Penolakan peranan institusi

Badan pembuat keputusan adalah berdasarkan sistem presidensi. Pada zaman revolusi, badan membuat keputusan ditukar dengan penglibatan tentera dalam badan ini. Rasionalnya adalah mereka mempunyai hubungan langsung dengan suasana dalaman ketika itu. Hasilnya, Algeria menikmati keabsahan politik dan ekonomi yang berterusan. Algeria mempraktikkan pola pembuat keputsuan yang hampir sama dengan model birokrat politik. Walau bagaimanapun, penglibatan tentera semakin lama menjadikan badan pembuat keputusan tidak aktif. Boumedienne menutup kekurangan ini dengan mencadangkan i. Piagam Nasional, ii. Perlembagaan Baru, iii. Pilihanraya Dewan Popular Kebangsaan. Namun, pola pembuat keputusan sebenar masih dipegang oleh peringkat presidensi dengan keutamaan kepada tentera walaupun telah berlaku modifikai institusi. Kematian Boumedienne telah merubah kepimpinan kepada bentuk perkongsian kuasa (collective leadership). Presiden baru telah mengagih-agihkan kuasa kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri, dan Setiausaha Agung parti pemerintah.

ii. Peranan Golongan Elit

Golongan Elit merujuk kepada beberapa kumpulan mengikut tahun pemerintahan. Terdapat 4 golongan Elit iaitu:

a) Era GPRA (1958- 1962) – golongan elit era ini dikenali sebagai ”tokoh-tokoh penuh sejarah” kerana faktor senior dalam bidang politik, ataupun mereka yang mengasaskan Revolusi 1954. Sewaktu merdeka, purata umur mereka sekitar 40-an, berpengalaman luas dalam politik luar negara, berorientasi liberal, serta berpendidikan Barat.

b) Era Ben Bella (1962- 1965) – era perubahan ke arah pola pembuat keputusan yang berpusat dan keputusan peribadi. Ben Bella membuat pakatan dengan tentera dan menghumban GPRA. Beliau membuat keputusan berdasarkan konsep presidensi yang memusatkan kuasa kepada pejabatnya serta intelectualnya, sekaligus mengurangkan kuasa tentera.

c) Era Boumedienne (1965 – 1978) – Beliau menukar peranan elit dan pola pembuat keputusan. Beliau juga menerapkan pola pemusatan kuasa yang menggabungkan presdiensi dan peranan tentera. Tentera mempunyai kuasa langsung dalam badan pembuat keputusan sekaligus berada di puncak tertinggi badan pembuat keputusan. Walau bagaimanapun, selari dengan pemacuan sektor ekonomi dalam plan pembangunan negara, golongan elit pengurus-teknokrat telah membuat beberapa keputusan penting di peringkat nasional.

iii. Peranan Menteri Luar

Perlembagaan Algeria memperuntukkan tanggungjawab tertentu kepada Dasar Luar, yang akan dikendalikan oleh seorang Menteri Luar. Menteri Luar ini dibantu oleh Setiausaha Agung Kementerian Perhubungan Luar Negeri. Dalam pengendalian hubungan luar negeri, para diplomat Algeria sangat profesional, cekap dan dihormati di peringkat antarabangsa. Faktor inilah yang menjamin kejayaan gagsan penubuhan Negara Dunia Ketiga oleh Algeria. Menteri Luar bukanlah penentu keputusan di peringkat luar negeri ini tetapi beliau adalah pengendali utama tingkahlaku negara di peringkat antarabngsa yang dianggotai oleh 500 – 600 elit dan ahli politik. Menteri Perhubungan Luar Negeri adalah sebahagian daripada kumpulan pembuat keputusan utama ini yang juga mempunyai hubungan langsung kepada pembuat keputusan yang paling utama iaitu presiden.

Faktor peribadi dan latar belakang seseorang Menteri Luar juga memainkan peranan penting dalam pengendalian Dasar Luar. Abdul Aziz Bouteflika misalnya adalah Menteri Luar yang paling lama berkhidmat di portfolio tersebut iaitu selama 13 tahun. Beliau pernah menjadi perunding (negotiator) dengan Perancis. Beliau mempunyai latar belakang tentera dan diplomatik-politik. Semasa era Boumedienne, beliau kurang senang apabila Boumendienne banyak mengambil alih tugasnya. Inilah juga punca kejatuhan beliau dalam karier politiknya.

Diplomasi Algeria menjayakan pembebasan tebusan Amerika Syarikat dari Iran pada tahun 1980, dan penamatan Perang Iran-Iraq. Dalam lawatan luarnya hampir ke seluruh dunia, Presiden Bouteflika bekerja keras meningkatkan reputasi Algeria di arena antarabangsa. Pada Julai 2001, beliau menjadi Presiden Algeria yang pertama berkunjung ke White House sejak 16 tahun. Beliau juga telah melakukan lawatan rasmi ke Perancis, Afrika Selatan, Italy, Sepanyol, German, China, Japan, Russia dan lain-lain.

Algeria juga mengetuai dalam menyelesaikan isu di rantau Afrika. Sebagai tuan rumah Organization of the African Unity Conference pada tahun 2000, Algeria juga menjadi aktor utama yang membawa Ethiophia dan Eritria ke meja rundingan pada tahun yang sama. Ia berkerja sama dengan negara-negara jiran untuk mewujudkan New Arfican Partnership. Algeria juga mengetuai inisiatif memperbaiki Union of the Arab Maghrib dengan jiran serantau.

4. PENGENDALIAN DASAR LUAR

Terdapat tiga bentuk pengendalian Dasar Luar oleh Algeria iaitu:

i. Dasar Berkecuali dan Hubungan dengan Kuasa-kuasa Besar

ii. Fahaman Negara Dunia Ketiga

iii. Hubungan Serantau dengan Afrika dan Dunia Arab

Pendirian Algeria terhadap ketiga-tiga hubungan ini pada era 1960-an, dan 1970-an telah dijelaskan sebelum ini dalam tajuk 2.

Pada lewat 1980-an, Algeria dan Morocco telah melakukan penyesuaian hubungan diplomatik. Hasilnya, tertubuhlah persetujuan mengukuhkan perhubungan ekonomi dan politik iaitu Union of the Arab Maghrib (UMA). Ia adalah kerangka asas pembangunan persekutuan Arab Maghribi. Ia juga sebenarnya adalah pengembangan dari Treaty of Fraternity and Concord yang ditandatangani sebagai perjanjian dua hala antara Tunisia dan Algeria. Treaty ini menuntut setiap negara untuk menghormati kedaulatan sempadan negara lain, tidak menyokong pergerakan pemberontakan negara lain, dan melarang penggunaan kekerasan untuk menyelesaikan kontroversi diplomatik.

UMA Treaty yang ditandatangani pada tahun 1989 ini walau bagaimanapun merupakan kerangka kerjasama yang lemah tanpa penyertaan Libya. Pelan perkongsian pemasaran ekonomi misalnya, hanya menjadi kenyataan pada tahun 2000 dan perjanjian politi dua hala lebih banyak dalam bidang politik. UMA lebih banyak bersifat simbolism perpaduan Algeria dengan rantaunya.

Berbeza dengan penyertaan Algeria dalam kerjasama Afrika Utara. Persekutuan ekonomi ini lebih berpotensi menjadi rakan kerjasama kepada Eropean Community. Selain itu, kerjasama dalam Afrika Utara juga menjadi mekanisme mengawal kebangkitan kumpulan-kumpulan radikal Islam yang pada tahun-tahun 1990-an mencabar regim-regim politik di kebanyakan negara Afrika Utara.

Berkenaan hubungannya dengan Liga Arab pula, Algeria merupakan penyokong kuat perjuangan Palestin, salah satu negara Arab yang bergolak. Algeria juga penyokong kuat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) secara konsisten dan Algerialah yang mengemukakan idea penyelesaian diplomatik dengan Israel, malah pernah mewakili PLO dalam perundingan diplomatik dengan Syiria dan Lebanon, termasuk terhadap usaha-usaha Perjanjian Damai Palestin--Israel pada September 1993.

Usaha-usaha ini merenggangkan hubungan Algeria dengan negara-negara Arab yang lain seperti Jordan, Lebanon, Syiria dan Egypt. Walau bagaimanapun, Presiden Egypt, Presiden Hosni Mubarak dan Presiden Algeriam Chadli Bendjedid mendapati polisi terbuka kedua-dua negara lebih beerti daripada pertikaian campur tangan Algeria dalam pergolakan di Palestin.

Pengendalian Dasar Luar yang aktif ini juga menyebabkan Algeria menghadapi masalah dengan Iraq kerana peranannya dalam perjanjian damai peperangan 8 tahun Iraq-Iran. Iraq merasakan Algeria menyebelahi Iran, sehingga tentera Iraq pernah diprovok supaya menembak jatuh pesawat Algeria yang membawa pegawai-pegawai rundingan damai termasuk Menteri-Menteri Luar.

Berkenaan bentuk pengendaliannya dengan Barat, pada tahun 1980-an dan 1990-an, Liberalisasi ekonomi dan politik Algeria telah merapatkan jurang hubungan diplomatik dengan Eropah dan Amerika Syarikat. Dengan sistem ekonomi pasaran bebas, dan hubungan demokrasi liberal; objektif politik Algeria adalah berubah dari Soviet Union kepada Barat. Walau bagaimanapun, cita-cita demokrasi Algeria ini dipatahkan oleh rampasan kuasa tentera, yang ironiknya juga disokong oleh Barat.

No comments: