Tuesday, September 16, 2008

APAKAH WAJAR SKOP PENGAJIAN KESELAMATAN DIPERLUASKAN KEPADA ISU-ISU 'BUKAN TERAS'?



Sumber gambar: flickr.com

APAKAH WAJAR SKOP PENGAJIAN KESELAMATAN DIPERLUASKAN KEPADA ISU-ISU ‘BUKAN TERAS’?

Skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan meliputi isu-isu bukan teras kerana kelemahan-kelemahan dalam isu-isu teras itu sendiri. Sehingga tamat Perang Dunia Kedua, pengajian strategi dan keselamatan hanya memberi tumpuan kepada aspek militari dan politik (militari-politik) sesebuah negara. Pada peringkat ini, analisis keselamatan sesebuah negara diterjemahkan hanya di peringkat negara dengan tidak melihat isu-isu keselamatan yang dialami oleh ”apa yang ada di dalam sesebuah negara”. Takrifan ancaman keselamatan juga didefinisikan berdasarkan kepada sejauhmana ancaman tersebut mengancam isu militari-politik.

Di peringkat sistem antarabangsa, skop pengajian keselamatan wajar dilihat bukan hanya kepada aspek militari-politik sahaja kerana globalisasi telah menawarkan aktor bukan negara yang memainkan peranan yang sama penting dalam keadaan dunia yang lebih bebas, terbuka dan tiada sempadan. Selain aktor negara yang menjadi aspek tumpuan golongan Realis dalam skop pengajian antarabangsa, hubungan antara aktor negara dengan bukan negara juga memberi kesan kepada aktiviti di peringkat global seterusnya menjadi perlunya aspek ancaman keselamatan dilihat semula. Negara-negara yang lemah (weak state) misalnya lebih terdedah kepada aktor bukan negara seperti jenayah terancang rentas sempadan (transnational organized crime) , ataupun aktiviti keganasan (terrorism) kerana nilai teras politiknya telah lemah iaitu aspek persempadanan dan penguatkuasaan pasukan keselamatan di sempadan. Ditambah pula dengan penciptaan dan penggunaan teknologi tinggi dalam praktis akviti globalisasi, mengakibatkan takrifan ancaman menjadi begitu meluas sekali dari pelbagai sektor sama ada aktiviti ekonomi, ataupun sosial. Misalnya, penggunaan teknologi pindahan wayar (wire-transfer) dalam aktiviti ekonomi meningkatkan risiko aktiviti ’money laundering’ yang jika melibatkan jumlah yang banyak boleh melumpuhkan ekonomi sesebuah negara, terutamanya negara kecil, negara gagal atau negara lemah. Begitu juga dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang begitu berleluasa sekali di seluruh dunia antaranya diakibatkan oleh faktor pengangkutan yang canggih dan kelemahan penguatkuasaan sempadan. Jelas bahawa aspek politik sahaja tidak mencukupi untuk mentafsirkan skop pengajian keselamatan.

Pada era Perang Dingin, apabila hubungan antara negara itu terlibat ke kancah konflik dan dengan adanya kecenderungan penggunaan militari ke arah penyelesaian konflik tersebut, ia adalah isu-isu keselamatan di peringkat nilai. Tetapi seharusnya aspek keselamatan diluaskan meliputi bukan teras kerana sesuatu keputusan di peringkat militari-politik akan memberi kesan kepada sektor ekonomi dan sosial yang turut menjadi elemen utama kepada kewujudan sesebuah negara. Misalnya keputusan untuk menghadapi konflik atau peperangan dengan negara lain akan melibatkan pengambilan peruntukan kewangan yang banyak untuk tujuan pembelian persenjataan serta jumlah tentera yang ramai yang perlu dihantar ke medan perang. Keputusan pihak militari ini juga akan meletakkan keselamatan tentera dan rakyatnya dalam dilema keselamatan kerana mereka juga menghadapi ancaman balas dari pihak yang diserang serta kemusnahan besar-besaran akibat penggunaan senjata pemusnah besar-besaran seperti peluru berpandu, senjata bio-kimia, ataupun penggunaan senjata nuklear, contohnya Jepun yang menderita dengan musnahnya Nagasaki dan Hiroshima yang dimusnahkan oleh bom atom (nuklear) tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua. Jelas sekali keputusan di peringkat militari-politik Jepun ketika itu untuk terbabit dalam peperangan dunia telah menghumban kerosakan kepada kota-kota utama Jepun dan rakyatnya yang menderita kesan pencemaran radioaktif sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan kes Vietnam, apabila rakyatnya diracun dengan senjata kimia oleh Amerika Syarikat dalam Perang Amerika-Vietnam. Kesan ”Agen Oren” telah merosakkan genetik sesetengah rakyat Vietnam disamping kesan-kesan lain seperti kematian di perang perang dan kecacatan kekal kerana terpijak periuk api. Vietnam misalnya, walaupun memenangi peperangan tersebut, namun keputusan pihak militari berperang dengan negara lain telah menjadi ancaman kepada rakyatnya sendiri. Dalam hal ini, rejim yang memerintah telah menjadi punca ancaman kepada rakyatnya sendiri.

Oleh sebab itu, skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan meliputi keselamatan aktor-aktor yang berada di dalam sesebuah negara, rakyat misalnya. Aspek keselamatan insan (human security) patut dipertimbangkan tatkala mentakrif sesuatu ancaman keselamatan. Ini adalah kerana secara paradoksnya rakyat harus dilindungi oleh negara, dan negara harus mendapat perlindungan dari rakyat. Tanpa salah satunya yang sanggup melindungi pihak yang satu lagi, negara tersebut akan muncul sebuah negara yang lemah dan berada di dalam risiko ancaman keselamatan. Aspek keselamatan yang mesti ditawarkan oleh sesebuah negara kepada rakyatnya adalah meliputi keselamatan politik, ekonomi, sosial dan persekitaran (environmental). Contohnya, keselamatan politik beerti rakyat mendapat hak sebagai warganegara yang dilindungi dengan undang-undang, keselamatan ekonomi beerti rakyat mendapat hak untuk mengusahakan pendapatan tanpa penindasan, keselamatan sosial bermakna rakyat mendapat hak untuk hidup secara aman dan bebas bergerak dalam sesebuah negara, dan keselamatan persekitaran beerti rakyat mendapat hak untuk menghirup udara bersih serta jauh dari ancaman alam sekitar seperti letusan gunung berapi, tsunami, banjir besar ataupun ancaman penyakit berjangkit. Walau bagaimanapun, rakyat sesebuah negara akan sukar untuk menikmati keselamatan tahap asas ini jika aspek fizikal sesebuah negara itu terancam, misalnya dengan masalah pencerobohan sempadan, ketidakstabilan politik dalaman, negara tiada intergriti (keabsahan), masalah ekonomi, serta muka bumi negara tersebut terletak di lingkungan Lingkaran Api. Negara tersebut akan menjadi sebuah negara yang lemah (weak state) atau negara yang hilang (lost state). Indonesia misalnya adalah sebuah negara yang lemah kerana bentuk muka buminya berada di Lingkaran Api Pasifik serta mengandungi beribu-ribu pulau kecil, ketidakstabilan politik dan ekonomi, serta jumlah rakyat yang mencecah 80 juta orang yang menderita pengangguran, penyakit dan penghijrahan. Negara yang lemah tidak akan mampu memenuhi aspek keselamatan insan kepada rakyatnya secara efektif.

Dalam hubungan antarabangsa di peringkat sub-sistem, aspek keselamatan patut dilihat dalam konteks yang lebih luas seperti saranan Barry Buzan yang mengatakan ”tiada negara boleh mencapai keselamatan nasional yang tulen hanya dengan usahanya sendiri. Oleh itu, keselamatan nasional bergantung kuat kepada corak keseluruhan kebergantungan keselamatan di dalam sistem antarabangsa”. Dalam konteks ini, skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan dengan melihat faktor geopolitik serantau. Rasionalnya, ancaman kepada negara jiran berkemungkinan akan menjadi ancaman kepada negara kita juga. Takfiran keselamatan oleh negara jiran mungkin juga boleh diterimapakai di negara kita bergantung kepada tahap-tahap kepentingan sesebuah negara untuk dilibatkan dalam sesebuah konflik. Di rantau Asia Pasifik misalnya, kebangkitan China sebagai kuasa besar (great power) dengan pembangunan militari dan ekonominya boleh memberi tanggapan kemungkinan melebarkan agresinya kepada negara-negara lain. Ini menimbulkan dilema keselamatan kepada negara-negara jiran dan negara-negara kecil di Asia Tenggara. Tambahan pula, China telah memainkan peranan besar dalam Forum Serantau Asia (ARF) di peringkat pertubuhan ASEAN. Enam negara kecil di Asia Tenggara misalnya terlibat dengan konflik langsung dengan China misalnya dalam isu perebutan Pulau Spratly. Begitu juga dengan cita-cita pembangunan nuklear PyongYang juga meninggalkan dilema keselamatan kepada negara bukan sekadar rantau Asia Pscifik malah ke semua rantau lain kerana kemampuan peluru berpandu rentas benuanya (ICBM – Intercontinental Ballistic Missile) yang dilaporkan akhbar mampu mendarat hingga ke Kuwait.

Dalam aspek geopolitik sama ada di peringkat rantau atau antara rantau, isu bukan teras yang sangat penting ialah keselamatan ekonomi. Rakan perdagangan sesebuah negara yang paling utama dan hampir ialah yang berada di dalam rantau itu sendiri. Malaysia misalnya adalah rakan dagangan utama kepada Singapura dan Jepun selain kepada negara-negara lain dalam ASEAN. Gagasan EAEC misalnya adalah gagasan blok ekonomi perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi negara Asia Pasifik namun Amerika Syarikat membangkang habis-habisan gagasan ini kerana akan menjejaskan dominasi pasarannya di Asia Pasifik. Selain itu, kebangkitan China dengan pertumbuhan ekonomi “double digit” sejak dua dekad lalu juga mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi yang akan mendominasi pengeluaran dan pasaran di rantau Asia Pasifik. Gabungan kekuatan ekonomi China dan Jepun sudah cukup mampu untuk mengetepikan pengeluaran dan pasaran negara dari rantau lain di Asia Pasifik. Dengan kata lain, ia akan menjejaskan dominasi perdagangan Amerika Syarikat di rantau ini dalam jangka panjang.

Trend membentuk blok perdangangan serantau ini bermula di Eropah dengan gagasan EC dan sekarang EU. EU misalnya telah mengadakan penggunaan mata wang yang sama iaitu Euro sebagai identiti blok perdagangan mereka. Mungkin juga ia satu bentuk perlindungan ke atas nilai mata wang mereka kerana Krisis Kewangan Dunia 1997 telah menyaksikan antara sebab penting kejatuhan ekonomi ialah manipulasi mata wang yang dilakukan oleh spekulator Amerika Syarikat iaitu George Soros. Aktiviti menaikkan nilai mata wang Dollar Amerika telah menjadikan rantau lain terutama Asia dan Amerika Latin yang majoritinya nilai mata wangnya lebih kecil dari Dollar telah mengalami defisit dalam pemilikan nilai tunai dan simpanan dalam sesebuah negara. Kelemahannya ialah negara-negara ini meletakkan nilai mata wang negara masing-masing bersandarkan Dollar. Oleh itu, rasionalnya, jika sesebuah pertubuhan ekonomi serantau EU dan ASEAN mempunyai mata wangnya sendiri yang tidak perlu bersandar kepada nilai Dollar lagi, krisis yang menjunamkan kedudukan ekonomi sesebuah rantau atau sesebuah negara akan dapat dikurangkan atau dielakkan. Ketika krisis kewangan 1997, Indonesia dan Thailand misalnya terpaksa meminjam dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk meneruskan kelangsungan ekonomi (survival of economic) negara tersebut. Kesannya masih ditanggung sehingga kini kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi. Begitu juga dengan bantuan yang diberikan Bank Ekonomi Asia yang diuruskan oleh Jepun. Hakikatnya pemilik sebenar di sebalik kedua-dua ’tabung penyelamat’ ini ialah Amerika Syarikat. Negara-negara yang meminjam seperti terpaksa menerima imperialisme ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Keadaan ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara terdesak ini bukan sahaja mengancam keselamatan negara masing-masing bahkan juga mengancam keselamatan serantau. Blok-blok perdagangan yang terbentuk hasil aktiviti ”regionalism” seperti ini adalah satu bentuk tembok keselamatan bentuk baru di peringkat serantau. Jelas, pertimbangan keselamatan bukan teras seperti ekonomi sesebuah negara adalah sangat penting dalam era pasaran bebas ini.

Kesimpulannya, berdasarkan hujah-hujah yang diberikan tentang kepentingan isu-isu bukan teras dalam keselamatan sesebuah negara, jelas bahawa skop pengajian keselamatan wajar diperluaskan bukan hanya kepada isu militari-politik sahaja. Dengan faktor globalisasi, aktor yang penting di dalam sistem antarabangsa tidak hanya meliputi negara (state) sahaja bahkan aktor-aktor bukan negara (non-state) juga memainkan peranan penting mendefinisi, memperjuang, dan mengekalkan keselamatan. Selain keselamatan ekonomi yang boleh menjamin kelangsungan hidup sebuah negara, trend baru keselamatan juga memberi tumpuan kepada keselamatan insan yang menjadi tonggak paling penting sesebuah negara.

No comments: