Wednesday, September 17, 2008

TUNTUTAN BERTINDIH DI LAUT CHINA SELATAN ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?



TUNTUTAN BERTINDIH DI LAUT CHINA SELATAN

ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?

PENDAHULUAN

Isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan melibatkan beberapa negara ASEAN dengan China dan Taiwan. China dipersepsi sebagai kuasa yang mencari hegemon dan boleh mengancam negara-negara dalam ASEAN. Oleh itu, ASEAN dan China mesti menentukan bentuk hubungan antara mereka sama ada sebagai pesaing atau sekutu, sekaligus boleh menyelesaikan isu pertikaian di Laut China Selatan. Perbincangan ini hanya meliputi hubungan ASEAN-China selepas berakhirnya era Perang Dingin.

LATAR BELAKANG PERTIKAIAN DI LAUT CHINA SELATAN

Kepulauan Spratly terdiri daripada 230 atau lebih pulau-pulau kecil, beting-beting pasir dan terumbu karang yang kesemuanya berjumlah tiga dozen di atas permukaan paras laut dan tiada satupun luasnya yang melebihi setengah kilometer persegi.

NEGARA-NEGARA YANG MENUNTUT

China dan Taiwan secara berasingan menuntut hampir 80 peratus daripada sempadan bentuk U yang telah diisystiharkan oleh China pada tahun 1974 serentak dengan pengeluaran peta rasmi negara China yang baru. Vietnam menuntut semua pulau dan apa sahaja objek yang timbul di permukaan aras laut di Spratly. Tuntutan China, Taiwan dan Vietnam berasaskan kepada penemuannya sejak zaman-berzaman, penggunaan laut tersebut yang berterusan, serta penerokaan berfaedah mereka ke atas kawasan tersebut. Filipina menuntut semua objek yang timbul di permukaan aras laut serta di bawah permukaan aras laut. Tuntutan Filipina berasaskan kepada faktor sejarah, keperluan mutlak, serta penerokaan dan pengawalannya yang efektif, seperti yang dikemukakan dalam Presidential Decree pada tahun 1974 (Mohamed Jawhar 2003: 311).

Malaysia menuntut tujuh objek berasaskan kepada hujah bahawa kawasan yang dituntut berada di atas pelantar benua Malaysia. Brunei menuntut sehingga 200 batu nautika Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) termasuk terumbu Louisa, yang juga dituntut oleh Malaysia. Sehingga kini, Vietnam paling banyak meneroka objek di Spratly iaitu sebanyak 22, China; sembilan, Filipina; lapan, Malaysia; tiga, dan Taiwan; satu.


APAKAH SIGNIFIKANNYA ISU TUNTUTAN BERTINDIH INI
TERHADAP ASEAN DAN CHINA?


ASEAN mempersepsikan China sebagai kuasa yang mencari hegemoni. Ini menimbulkan kebimbangan kepada ASEAN bahawa China akan menggunakan kelebihannya dalam bidang ekonomi, politik dan militari untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di laut China Selatan. Oleh itu, ASEAN mesti menentukan bentuk hubungan dengan China sama ada persaingan atau kerjasama.

CHINA SEBAGAI KUASA HEGEMON

Tiga faktor China dilihat sebagai kuasa hegemon:

i. Potensi Pertumbuhan Ekonomi China

ii. Latar Belakang Sejarah dengan Asia Tenggara

iii. Cita-citanya di Laut China Selatan

POTENSI PERTUMBUHAN EKONOMI CHINA

Sejak lewat 1970-an, statistik ekonomi China menunjukkan ekonomi China mengalami pertumbuhan yang sangat memberangsangkan. Sepanjang tahun 1980-an, China menikmati GDP dua digit dan pada pertengahan tahun 1990-an, sekali lagi ia menikmati GDP dua digit dan meletakkannya di tempat ketiga tertinggi di dunia. Kadar perdagangan China meningkat dengan mendadak daripada $38.2 juta kepada lebih $250 juta. Ini menyumbang kepada pertukaran asing yang besar, daripada $15 juta pada lewat 1980-an kepada hampir $150 juta pada pertengahan 1997 (Collins 2000: 138).

Pertumbuhan ekonomi China dan potensi masa depannya meletakkan China mempunyai hubungan langsung dengan kestabilan ekonomi negara ASEAN. Contohnya, China memutuskan untuk tidak memperbaharui nilai mata wang pada kemuncak krisis kewangan pada tahun 1998 dipandang sebagai tanggungjawab menghentikan kejatuhan nilai mata wang di Asia Tenggara. Oleh itu, ekonomi China dilihat mempengaruhi keadaan ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Pertumbuhan ekonomi China juga memungkinkan Beijing meningkatkan peruntukan militarinya setiap tahun sejak lewat 1980-an. Peruntukan pertahanan pada 1998 merupakan peningkatan terbesar sejak sepuluh tahun. Jumlah rasmi yang diumumkan pada tahun 1996-97 ialah $8.3 juta, tetapi Barat menganggarkan perbelanjaan adalah sekitar $28- $36 juta, atau sehingga empat atau lima kali ganda daripada jumlah yang diumumkan.

Pada penghujung tahun 1990-an, China telah melabur berjuta-juta dollar kepada sistem pembelian senjata teknologi tinggi Russia seperti kapal selam elektrik dan pesawat juang altitud tinggi. Persenjataan Russia menyuntik material yang berbeza kepada keupayaan militari China. Walau bagaimanapun, jenis dan kuantiti persenjataan yang dibeli oleh China tidak berkadar dengan keperluan mereka kecuali sebagai signifikan imbangan kuasa mereka di rantau Asia Pasifik (Da Cunha 2003 :324).

Pertumbuhan ekonomi China, pengaruh politik, dan keupayaan militari, memungkinkan China bangun sebagai kuasa serantau yang dominan pada abad ke-21.

LATAR BELAKANG SEJARAH DENGAN ASIA TENGGARA

Analisis sejarah China dengan Asia Tenggara mendedahkan telah berlaku sistem sumbangan yang mana Maharaja China berada di kedudukan tertinggi di rantau ini. Sistem sumbangan ini dilihat oleh negara jiran yang merdeka penuh sebagai upacara yang formal. Ia lebih daripada hubungan perdamaian, perayaan atau perdagangan. Sistem ini mendedahkan China merasakan kedudukan mereka lebih tinggi dalam hubungan dengan negara lain. Selanjutnya China menganggapkan mereka akan dilayan sebagai kuasa besar sebagai konsekuen kepada kehebatannya pada zaman silam.

Pada tahap ini, China berlagak sebagai hegemon, tetapi sistem sumbangan sepertinya tidak dipaksa ke atas negara ASEAN dalam konteks hubungan kini. Masalahnya kepada negara ASEAN ialah mereka terpaksa mempunyai hubungan dengan China, untuk perdagangan dan tujuan-tujuan keselamatan. Ini melibatkan penerimaan mereka sebagai pihak bawahan berbanding China. Buktinya, boleh didapati dari perlaksanaan Forum Serantau ASEAN (ARF). Walaupun ASEAN adalah peneraju utama di sebalik ARF, China berupaya mempengaruhi proses dan kelajuan operasi ARF. ASEAN seperti rela China memainkan peranan berpengaruh yang akan meletakkan ASEAN sendiri sebagai pihak bawahan. Hegemoni China dalam konteks ini dipertimbangkan sebagai hubungan semula jadi antara negara kerana tiada unsur paksaan menerima pengaruh China.

CITA-CITA CHINA DI LAUT CHINA SELATAN

Strategi China di Laut China Selatan diumpamakan sebagai “tiga langkah ke hadapan, dua langkah ke belakang” (Da Cunda 2003:324). Ertinya Beijing akan melakukan sesuatu perluasan di laut China Selatan –seperti yang dilakukan ke atas Mischief Reef- tetapi apabila menerima bantahan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik, China akan ‘mendamaikannya’ dengan mengambil langkah “dua langkah ke belakang”. Namun isu perluasan tetap tidak diselesaikan oleh China. Misalnya, dalam kes Mischief Reef, pada tahun 1997 China bersetuju bertemu Filipina pada sesi ARF Langkah Pembinaan Keyakinan (Confidence Building Measures).

Namun perlakuan bertanggungjawab China ini tidak mencerminkan sikapnya pada masa hadapan kerana pada lewat 1998, China telah memulakan pendesakannya dengan menukar ‘pondok nelayan’ di Mischeif Reef kepada ‘pembentengan sepenuhnya’ (Ibid). China menunggu rantau mengurangkan pengawalan mereka seperti tumpuan kepada krisis ekonomi rantau Asia Tenggara - sebelum membuat pergerakan taktikal yang lebih lanjut di Laut China Selatan.

ASEAN menganggap polisi China sebagai perluasan beransur-ansur di Laut China Selatan. Polisi ini ditunjukkan sebagai “pendesakan menjalar” dan baru-baru ini sebagai “cakap dan ambil” oleh Setiausaha Pertahanan Filipina (Cheng 2003:432). Ia adalah polisi mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan tanpa melibatkan konfrontasi militari. Pengemuka pandangan ini walau bagaimanapun percaya yang militari China tidak mempunyai keupayaan menguasai Laut China Selatan dan China juga tentunya tidak mahu memprovok Amerika Syarikat campur tangan mengambil langkah terdesak di Asia Tenggara. ASEAN juga percaya China bukanlah ancaman dalam masa terdekat ini, tetapi keupayaan dan cita-cita mereka mungkin berubah dalam 20 – 30 tahun lagi apabila mereka lebih kuat dari segi ekonomi dan militari. Tekanan ekonomi dalaman China ketika itu yang memerlukan sumber tenaga menggantikan arang batu boleh mendorong China merintis jalan perluasan di Laut China Selatan.

Cita-cita China di Laut China Selatan bukan mudah dengan kuasa status quo mereka, tetapi penting untuk diingati bahawa China telah memulakan pembinaan struktur pada terumbu dan pulau (Collins 2000: 186). Inisiatif ini diikuti oleh negara-negara ASEAN; Vietnam memacak struktur di terumbu Lizzie Weber, Malaysia membina bangunan di beting pasir Investigator, sementara Filipina terus mengabaikan kemudahan di pulau Pag-Asa. Tindakan China dilihat sebagai mengukuhkan status quo mereka di antara negara yang menuntut.

Situasi ”turun naik” di Laut China Selatan ini memberi kesan kepada kestabilan serantau kerana ia melibatkan kebanyakan negara-negara ASEAN yang terletak di selatan rantau Asia Pasifik. Oleh itu, ASEAN mesti membawa China sebagai core player kestabilan di Laut China Selatan ke dalam satu hubungan baru, sekaligus mengendurkan ketegangan.

HUBUNGAN ASEAN-CHINA : PERSAINGAN ATAU KERJASAMA?

ASEAN-China memulakan hubungan sejak 1991 dalam bidang ekonomi, politik dan keselamatan.

Bermula Julai 1991, Beijing mula menyertai ASEAN sebagai rakan perunding dalam Mesyuarat Menteri ASEAN (PMC). Pada mesyuarat itu yang ke-4, Menteri Luar China menegaskan China berminat mengukuhkan kerjasama dengan ASEAN. Seruan ini disambut baik oleh ASEAN. Pada tahun 1994, ASEAN-China mengukuhkan Jawatankuasa Bersama untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, diikuti dengan Jawatankuasa Kerjasama untuk Sains dan Teknologi. Bermula pada Julai 1994, China menjadi rakan kepada Forum Serantau ASEAN (ARF) serta kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan kepada isu politik dan keselamatan. Sejak Julai 1996, China menjadi rakan dialog ASEAN, diikuti dengan penyertaan dalam mesyuarat ASEAN + Tiga pada Julai 1997 merintis jalan kepada mesyuarat ASEAN-China.

Mesyuarat ini menyediakan kerangka kerja kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan isu ekonomi, politik dan keselamatan. Sehingga November 1997, beberapa perjanjian telah ditandatangani. Yang paling penting ialah Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi yang merintis kepada Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dalam 10 tahun. China merupakan rakan dialog pertama yang menandatangani perjanjian seumpamanya dengan ASEAN.

Dalam bidang politik dan keselamatan, ASEAN-China menandatangi dua deklarasi penting: pertama, Conduct of Parties di Laut China Selatan; kedua, Kerjasama dalam Isu-isu Keselamatan Non-tradisional. Selanjutnya, China menunjukkan minat menyertai Persetiaan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN di Asia Tenggara, dan menandatangani Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANFWZ) sehingga akhir tahun 2000. Usaha-usaha ini dilihat sebagai meningkatkan komitmen kepada kerjasama mendalam dan perundingan yang lebih rapat antara China dan ASEAN (Caballero-Anthony 2003:428).

ASEAN terdesak memberi perhatian kepada China dalam isu-isu politik dan keselamatan di rantau Asia Pasifik. Ia berasaskan kepada ketidakpercayaan masa lalu terutamanya sokongan China terhadap parti komunis di negara-negara Asia Tenggara. Untuk itu, isu-isu politik dan ekonomi patut ditangani dengan teliti, terutamanya yang boleh membawa kepada perpecahan atau konflik.

Isu tunggal terbesar antara ASEAN-China ialah pertikaian persempadanan di Laut China Selatan. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian negara ASEAN yang terlibat dengan pertikaian ini. Pendirian China sebelum ini ialah isu ini hanya akan dibincangkan secara bilateral dengan negara-negara yang menuntut. ASEAN akhirnya berjaya meyakinkan China membincangkan masalah Laut China Selatan ini di peringkat multilateral. Justeru, menandatangani Declaration Code on Conduct of Parties in South China Sea boleh disifatkan sebagai pencapaian selepas selepas tiga tahun perbincangan.

Walau bagaimanapun, deklarasi ini gagal menyelesaikan persoalan penguatkuasaan kedaulatan kepada isu-isu asas pertikaian tuntutan. Ini adalah kerana; pertama, ASEAN-China tidak pernah berniat mahu memasukkan persoalan penguatkuasaan kedaulatan dan persempadanan dalam perundingan tatacara kelakuan serantau. Kedua, pertikaian persempadanan biasanya tidak ditangani secara multilateral. Biasanya ia diselesaikan secara bilateral iaitu pengadilan undang-undang antarabangsa. Ketiga, ASEAN tiada mandat menyelesaikan pertikaian. Keempat, tatacara kelakuan menggalakkan kepercayaan dan keyakinan; ia satu bentuk langkah pembinaan keyakinan. Ia mesti berasaskan kejujuran kesemua pihak.

Bererti ASEAN-China bersetuju mengetepikan isu kedaulatan dalam usaha menangani kesulitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Pendirian ini menjadi asas mempromosikan idea zon pembangunan bersama (JDZ) sebagai pendekatan praktikal untuk menguruskan pertikaian persempadanan. Tujuannya supaya mereka berkongsi keuntungan sumber maritim, di samping menggalakkan keamanan dan keselamatan.

Kerjasama ini diteruskan dengan usaha menangani isu-isu keselamatan baru. Kerjasama Operasi ASEAN-China dalam Bertindakbalas kepada Dadah Haram (ACCORD) misalnya untuk menentang pengeluaran dan penyeludupan dadah haram. Sejak dimulakan pada 2002, telah ada persidangan peringkat menteri dan kerjasama bilateral terhadap kerjasama pengawalan dadah antara China, Loas, Myanmar dan Thailand. Usaha ini dikukuhkan dengan perjanjian usahasama menangani masalah penyeludupan manusia dan senjata, perlanunan, pinjaman wang haram, jenayah ekonomi rentas sempadan, jenayah siber, dan keganasan.

KESIMPULAN

Selepas era Perang Dingin, ASEAN dan China mengambil pendirian memulakan hubungan bilateral mereka dengan kerjasama kerana faedah-faedah ekonomi, politik dan keselamatan serantau yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak. Walaupun China dianggap berminat melakukan peluasan di Laut China Selatan, namun sejak 1998, China tidak memulakan isu baru. China juga menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian tersebut. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang bentuk kerjasama dan dialog multilateral hanya menumpukan kepada ekonomi dan keselamatan serantau. Isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly tinggal tidak selesai. ASEAN tidak mempunyai kuasa menyelesaikannya, manakala China mengelak dari berbincang mengenainya secara lebih terperinci. Pertikaian ini hanya boleh diselesaikan dengan aman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice).

7 comments:

Ropiah Kadir said...

hai...bolehkah terangkan lebih lanjut pasal tutuntan bertidih di laut china selatan lebih-lebih lagi fungsi ARF?

Unknown said...

BAGI SUMBER ......LAAA

amirul said...

China nak seluruh kawasan laut china selatan........berita dari cctv(china)

Rodzi said...

Artikel ini sgt menarik. Sgt berkaitan dgn pngajaran saya..terima kasih bnyk2

Rodzi said...

Artikel ini sgt menarik. Sgt berkaitan dgn pngajaran saya..terima kasih bnyk2

Rodzi said...

Artikel ini sgt menarik. Sgt berkaitan dgn pngajaran saya..terima kasih bnyk2

hisyam hj basabah said...

Sumber bos,artikel mmg sgt membantu, penulisan dah awesome tapi sumber tarakkkk.haddowwwww.