Kedudukan Malaysia dalam Asia
Kedaulatan Negara dan Keutuhan Nilai adalah antara
teras penting negara Malaysia yang mesti dipertahankan
ANTARA KEBANGKITAN
CHINA DAN KEKUASAAN TUNGGAL AMERIKA: APAKAH STRATEGI YANG PATUT YANG DIPAKAI OLEH
MALAYSIA – ‘BALANCING’,‘BANDWAGONING’, ATAU ‘BUCK PASSING’?
Kebangkitan China dan kekuasaan tunggal (hegemoni) Amerika Syarikat di rantau Asia Pasifik khususnya, dipersepsi oleh Malaysia sebagai amaran akan perluasan kuasa mereka pada tahun-tahun akan datang di rantau ini. Perbincangan kertas ini hanya akan meliputi sudut pandangan strategik iaitu perbincangan dalam aspek perhubungan politik-militari.
Strategi yang akan diambil oleh Malaysia berkenaan dengan kebangkitan China dan kekuasaan tunggal US di rantau ini bergantung kepada bagaimana Malaysia mempersepsikan bentuk ancaman yang boleh dibawa oleh kedua-dua kuasa ini. Strategi yang diambil juga berkaitrapat dengan bagaimana dan sejauhmana sesuatu ancaman itu didefinisikan sebagai ancaman dalam konteks Malaysia yang mempunyai beberapa nilai teras yang dipertahankan. Nilai-nilai teras tersebut ialah kedaulatan, integriti sempadan, dan kelangsungan hidup sistem politik, sosial, ekonomi dan peradaban negara dan masyarakatnya. Kebangkitan China dan kekuasaan tunggal Amerika Syarikat dipersepsi sebagai ancaman apabila mencecah tahap mengganggu nila-nilai teras ini. Oleh itu, perbincangan kertas ini hanya akan membincangkan dua nilai teras iaitu kedaulatan dan integriti sempadan sesuai dengan sudut pandangan politik-militari.
Kebangkitan China dan kekuasaan tunggal Amerika Syarikat dipersepsi sebagai ancaman pada bentuk dan aktiviti yang berbeza. Oleh itu, strategi yang diambil untuk melangsungkan hubungan dengan kedua-dua kuasa ini juga berbeza. Malaysia menggunakan pendekatan strategi ‘buck passing’ dalam hubungannya dengan China sementara Malaysia lebih selesa memakai strategi ‘bandwagoning’ dengan Amerika Syarikat. Pendekatan yang berbeza ini adalah selaras dengan jenis tingkah laku (behavior) kedua-dua actor di rantau Asia Pasifik khususnya. China dipersepsi sebagai ancaman yang tidak ketara dengan tingkah laku dan Dasar Luar yang tidak memaksa, sementara US dilihat sebagai ancaman yang nyata dengan tingkahlaku dan orientasi Dasar Luar yang lebih keras sama ada menyertainya atau dianggap musuh – khususnya dalam orientasi strategik.
Berkenaan hubungan Malaysia dengan China, Malaysia mempersepsi China sebagai kuasa yang mencari hegemoni di rantau ini sesuai dengan cita-citanya menjadi sebuah kuasa besar (great power). Cita –cita ini telah diterjemahkan oleh China dengan usaha-usaha pemodenan tentera dan persenjataannya secara besar-besaran. Chian juga telah membeli senjata tinggalan zaman Perang Dingin dari Russia dengan banyaknya, dari kapal selam, peluru berpandu, pesawat pejuang dan kereta-kereta kebal. Usaha-usaha ini tidak menjadi halangan bagi China kerana negara tersebut mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh, iaitu dengan pertumbuhan ekonomi melebihi 10% sejak dua puluh tahun lalu. Kemakmuran ekonomi China dan usaha-usaha pemodenan China ini telah menimbulkan dilemma keselamatan serta dipersepsi sebagai ancaman kepada negara-negara kecil di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Tambahan pula, China telah dikatakan banyak berbelanja ke atas aspek persenjataan melebihi daripada keperluannya sendiri. Ini dipersepsi sebagai ‘mengumpul stok senjata’ yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan ke atas negara lain, khususnya negara-negara yang berkonflik dengan China seperti Taiwan dan negara-negara Asia Tenggara dalam kes pertikaian Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.
Persepsi ini diperkuatkan dengan tindakan China sendiri di luar negaranya yang ‘kadang-kadang agresif’, seperti pernah melancarkan peluru berpandu ke Selat Taiwan sebagai sebahagian dari demonstrasi bentuk senjata dan kekuatan persenjataan yang mereka miliki. Ia juga satu bentuk amaran bahawa China akan menggunakan kekerasan/ ketenteraan (use of force) jika Taiwan didapati bertindak di luar batasan, misalnya mengenepikan China sebagai kuasa pusat kepada Taiwan.
Begitu juga dengan tindakan agresifnya di Laut China Selatan dalam kes pertikaian Kepulauan Spratly dengan Vietnam, Malaysia, Brunei, Indonesia dan Philipina. China pada tahun 1956 telah mengeluarkan satu peta yang mengatakan kepulauan tersebut dalam lingkungan wilayah pengaruhnya sejak zaman Dinasti Han. Indonesia bangaimanapun, telah membangkang peta tersebut dengan mengatakan peta tersebut telah merangkumi majoriti wilayahnya berhampiran dengan Kepulauan Natuna. China juga telah menghantar tentera memacak struktur-struktur di atas terumbu-terumbu kecil Pulau Spartly serta membina pos kawalan tentera di atas pulau kecil tersebut. China telah beberapa kali bergeseran dengan Vietnam kerana Vietnam juga sebuah negara yang aktif memacak struktur di kepulauan tersebut. Begitu juga dengan tindakan agresif China yang ‘merampas’ Mischief Reef dari wilayah Philipina dengan menukar strukturnya terumbu tersebut dari sebuah ‘fisherman hut’ menjadi sebuah tempat ‘full-fledge port’. Tindakan-tindakan ini dipersepsi sebagai ‘creeping assertiveness’ China di rantau Asia Pasifik. China akan menarik balik tindakan agresifnya tetapi tidak sepenuhnya apabila menerima bangkangan dari negara-negara di Asia Pasifik, dari pertubuhan ASEAN misalnya. Walau bagaimanapun, China memastikan mereka’ telah selangkah maju’ atau mendapat sesuatu dari tindakan tersebut.
Malaysia khususnya, turut berada di dalam keadaan dilemma keselamatan berdasarkan kekuatan persenjataan China dan pertikaian ke atas Kepulauan Spratly. Jiran Malaysia, iaitu Singapura juga pernah memberi amaran bahawa China akan muncul sebagai sebuah negara yang berkuasa dan pada masa tersebut tiada siapa dapat menyekat kekuasaan mereka. Strategi Malaysia menangani hubungan denga China adalah dengan strategi ‘buck passing’ iaitu dengan keanggotaannya dalam ASEAN. Memandangkan Malaysia berkongsi masalah yang sama dengan lima lain ASEAN, maka Asia Regional Forum (ARF) menjadi medan perundingan bilateral dengan China, termasuk dalam isu pertikaian Kepulauan Spratly. China telah menghadiri mesyuarat ASEAN + 3 sejak tahun 1997, dan kehadirannya diharap dapat mengendurkan pertikaian ke atas Kepulauan Spratly. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang China tidak menunjukkan minat untuk berbincang atau menyelesaikan pertikaian itu dengan negara-negara ASEAN yang terlibat. Ada sarjana mengatakan China menunggu sehingga suatu keadaan yang paling sesuai untuk mendapatkan kepulauan tersebut. Dalam hal ini, Malaysia telah memindahkan beban dan kos yang ditanggung di atas pertikaiannya dengan China kepada pertubuhan ASEAN. Tambahan pula, terdapat juga beberapa negara lain dalam ASEAN yang menghadapi isu yang sama. Maka sebarang keputusan yang dibuat oleh China berkenaan pertikaian berkenaan akan sama-sama ditanggung dengan negara-negara ini pada masa hadapan.
Begitu juga dengan aspek pemodenan persenjataan China, dilema keselamatan yang dihadapi oleh Malaysia dikongsi dengan semua negara kecil di Asia Tenggara. Justeru, minat yang ditunjukkan oleh China untuk menghadiri menyuarat ASEAN dilihat sebagai jalan mengendurkan dilema ini, seterusnya mempunyai peluang rundingan yang lebih baik dengan China, walaupun sehingga sekarang masih didahului dengan perbincangan-perbincangan ekonomi. Dengan perhubungan perdagangan dengan ASEAN, ASEAN melihat hubungan ASEAN-China dengan lebih positif dan mengurangkan tindakan agresif China ke atas negara ASEAN demi menjaga kepentingan ekonomi yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak tersebut. Oleh itu, Malaysia melalui keanggotaannya dengan ASEAN telah memindahkan beban dilema keselamatan tersebut kepada ASEAN.
Berkenaan hubungan Malaysia dengan US pula, Malaysia menghadapi cabaran yang lebih nyata dalam mempertahankan nilai terasnya khusus aspek kedaulatan dan integriti sempadan. Terdapat dua isu utama dalam hubungan politik-militari dengan US iaitu kempen memerangi keganasan US dan cubaan campurtangan US dalam keselamatan Selat Melaka. Strategi Malaysia menangani hubungan dengan US ialah ‘bandwagoning’.
Pada era pasca 11 September, orientasi Dasar Luar US yang jelas iaitu kempen memerangi keganasan dengan mewar-warkan secara jelas dan keras bahawa ‘mana-mana negara yang tidak ikut serta dalam kempennya adalah musuhnya’. Malaysia, pada ketika itu, di bawah pemerintahan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamed dengan cepat memberi respons dengan mengatakan Malaysia telah lama memerangi pengganas, khususnya dalam negara, dan seterusnya mengatakan Malaysia sudah tentu akan terus memerangi pengganas. Ia kedengaran selari dengan nada Presiden George Bush. Walau bagaimanapun, Mahathir telah mencadangkan konsep dan definisi pengganas patut dinilai semula. US kemudiannya menyenaraikan Malaysia antara negara yang menyembunyikan pengganas, tetapi dinafikan oleh Malaysia dan bersedia bekerjasama untuk tujuan memastikan negara ini ‘bersih’ dari pengganas. Alasan US ialah Malaysia secara geofizikalnya terletak berhampiran dengan Indonesia (pangkalan pergerakan Jemaah Islamiyah yang dilabel pengganas oleh US), Selatan Philipina (pangkalan Pergerakan Kumpulan Abu Sayyaf yang didakwa US menerima dana dari Pertubuhan Al-Qaeda), serta kawasan bergolak di Selatan Thailand. Faktor kedekatan dan perkongsian ideologi ini dinilai oleh US sebagai berpotensi menjadikan Malaysia sebagai sarang persembunyian pengganas. Walau bagaimanapun, Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dari semasa ke semasa, serta kesanggupan berkongsi maklumat perisikan dengan US telah meningkatkan kepercayaan US tehadap usaha-usaha Malaysia memerangi pengganas, contohnya menundukkan Kumpulan Militan Malaysia dan pengesanan kedudukan Azahari Hussin. Demi survival kedaulatan, Malaysia terpaksa berkongsi kempen memerangi kegansan US walaupun Malaysia selalu mempersolkan mengapa label pengganas hanya dijatuhkan oleh US ke atas Muslim dan negara Islam.
Sebahagian dari kempen memerangi pengganas US juga melihatkan adanya usaha campurtangan US dalam isu keselamatan Selat Melaka. Selat Melaka pada tahun 2004 telah dilabel Llyod Marketing (sebuah agensi insurans antarabangsa) sebagai antara 20 laluan laut paling merbahaya di dunia kerana ancaman lanun dan perompak laut. US melihat situasi ini mempunyai kaitan dengan kehadiran pengganas di selat berkenaan kerana faktor geofizikalnya berhampiran dengan wilayah bergolak Aceh dan negara Islam Indonesia. Kerajaan Malaysia melalui Menteri Pertahanannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui berlakunya rompakan laun di laut China Selatan namun menegaskan tiada unsur-unsur dilakukan oleh pengganas. US cuba mencadangkan akan menempatkan pengkalan tenteranya di Selat Melaka dan mengadakan kerjasama tentera di selat tersebut, namun Najib menolak dengan mengatakan kerjasama tersebut akan menjejaskan kedaulatan dan integriti sempadan Malaysia.
Selepas itu, Malaysia meningkatkan kerjasama memantau dengan negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura dengan mengadakan kumpulan peninjau pantai. Penubuhan APMM dan kerjasama pemantauan udara juga turut dilakukan dengan negara jiran.
Kesimpulannya, Malaysia mengambil pendirian yang berbeza dalam bentuk hubungannya dengan China dan US. Berdasarkan perkembangan serantau dan isu-isu tertentu, strategi tersebut adalah terbaik buat masa kini untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
1 comment:
hai...bolehkah terangkan lebih lanjut pasal tutuntan bertidih di laut china selatan lebih-lebih lagi fungsi ARF?
Post a Comment