Athens zaman Thucydides
History of Peloponnesian War by Thucydides
Acropolis - kota tinggalan zaman Athens
THUCYDIDES : SEJARAH HIDUP, SUMBANGAN DAN APLIKASI SUMBANGANNYA KEPADA KESELAMATAN
Abstrak
Kertas kerja ini ditulis untuk melihat sejarah hidup dan sumbangan seorang ahli strategi yang terawal dalam pengajian strategi dan hubungan antarabangsa iaitu Thucydides. Beliau seorang bekas jeneral
Pengenalan
Thucydides (460 SM – 400 SM) adalah seorang bekas jeneral Athens dan negarawan yang terulung di Greek pada sekitar tahun 424 SM - 397 SM. Beliau menulis sebuah buku sahaja iaitu Sejarah Peloponnesian War yang menceritakan tentang peperangan yang berlaku antara Athens dengan Sparta beserta dengan sekutu masing-masing pada sekitar tahun 431 SM – 404 SM. Buku yang dibahagikan kepada lapan bab ini adalah tulisan panjang lebar beliau tentang aspek-aspek peperangan kedua-dua pihak beserta beberapa perihal kenegaraan yang lain dari aspek politik dan sosial. Secara ringkasnya buku ini menceritakan tindakan dan rasional aktor-aktor negara di peringkat nasional dan antarabangsa pada era tersebut.
Buku ini ditulis berdasarkan pengamatannya terhadap peperangan antara kedua kuasa besar di rantau tersebut terutamanya Perang Peloponnesia Kedua yang berlaku di sekitar tahun 431 SM – 404 SM. Beliau sendiri pernah dilantik sebagai jeneral Athens dalam salah satu siri peperangan tersebut dengan memakai gelaran Strategos (Ibid) pada tahun 424 SM. Walau bagaimanapun, pasukan pimpinannya telah kalah di tangan Jeneral Brasidas dari Sparta. Akibatnya, beliau dibuang negeri dan mengajar para Sophist, iaitu para pensyarah yang biasa mengembara ke
Sejarah Hidup Thucydides
Thucydides dipercayai dilahirkan pada tahun 405 SM di Alimo. Beliau berketurunan diraja Thracian dan mempunyai pengaruh politik dan perdagangan di
Dari segi latar belakang pendidikan, tiada bukti sahih tentang ini. Walau bagaimanapun, pendekatan naratif yang diguna dalam tulisannya menggambarkan pengalamannya sebagai pengajar atau guru. Gaya penulisannya langsung kepada perkaitan sebab dan akibat, menunjukkan adanya pengaruh pendekatan dan gaya berfikir penulis zaman awal Greek seperti Hippocrates (Ibid). Dikatakan juga beliau pernah menjalani latihan perubatan. Beliau berkarakter kelakar (sense of humor) dan mengagumi orator yang pandai berhujah (Ibid).
Sumbangan Pemikiran Thucydides
Sumbangan atau pemikiran beliau boleh dilihat berdasarkan dua fokus utama iaitu pemikirannya dalam bidang strategi dan perhubungan antarabangsa.
Dalam bukunya The History of the Peloponnesian War, setiap bab menekankan perkara yang berbeza. Dalam bab pertama ( Buku Satu), beliau menyatakan persepsinya terhadap dua peperangan yang penting dalam sejarah Greek dan Athens iaitu Peperangan Parsi (Persian War) dan Perang Peloponnesia Pertama (Peloponnesian War). Perang Peloponnesia Pertama berlaku dalam dua siri peperangan di laut dan dua di darat. Tempohnya panjang dan mendatangkan kesengsaraan yang tidak terhingga kepada masyarakat
Bab Dua (Buku Dua) dalam The History of Peloponnesian War pula berkaitan dengan idea-idea tentang strategi dan kenegaraan yang dikemukakan oleh orator Pericles. Antara kata-kata Pericles yang telah dipetik oleh Thucydides ialah berkenaan logik memburu peluasan kuasa, ideologi demokrasi, konsep keselamatan dalaman Athens, keperluan undang-undang, kesan pergantungan kepada perdagangan luar, nasionalisme, strategi peperangan, kebajikan sosial rakyat, hubungan elit politik dan perniagaan, formula perdagangan luar, ciri-ciri askar yang baik, propaganda doktrin rakyat, kepentingan populasi, serta kebajikan ketenteraan.
Dari segi strategi, orientasi perluasan kuasa oleh Athens dari segi logiknya akan mengukuhkan negara secara tidak langsung sebagai persediaan menghadapi ancaman masa aman dan masa perang sekaligus. Walaupun Athens sebuah bandar terbuka yang boleh merisikokan kebocoran maklumat kedudukan strategik, tetapi Pericles percaya Athens bergantung kepada semangat dan taat setia rakyatnya. Walaupun Athens tidak mempunyai sekolah melatih tentera seperti pihak Sparta, tidak beerti Athens tidak bersedia dengan ancaman seperti Sparta. Buktinya Athens jarang kalah dalam berperang walaupun di negara orang ataupun di negara sendiri. Yang lebih membanggakan ialah tiada musuh yang dapat menandingi keupayaan pasukan tentera laut dan tentera darat Athens. Dan semangat ini tidak pernah padam dari jiwa rakyat dan tentera Athens walaupun mereka tidak melalui latihan yang ketat seperti Sparta. Kepada Athens, kuasa dihubungkan terus dengan keupayaan keselamatan. Kemenangan dalam peperangan beerti ketinggian kualiti yang dimiliki oleh teknologi ketenteraan Athens. Athens telah memastikan bahawa mereka telah meluaskan empayar sebagai warisan kepada generasi akan datang. Setiap pengembaraan mereka samada ke laut atau ke daratan telah meninggalkan dua perkara sama ada kenangan yang manis kepada rakan-rakan (sekutu), atau penderitaan kepada musuh mereka. Tentera Athens juga menggunakan tactik cegah rintang (deterrence) dalam memastikan bahawa pihak yang berkemungkinan menyerang Athens akan memikirkan mereka akan diserang balas dengan dashyatnya. Prinsip ini kepada Athens lebih berkesan daripada prinsip latihan tentera Sparta (Brown 2002: 38). Askar Athens juga dipupuk dengan ketaatan kepada negara yang tinggi serta keberanian mempertahankan negara serta sekutunya. Mereka juga pasukan berkeyakinan tinggi dan sanggup bermati-matian di medan perang dalam usaha membina kejayaan ketenteraan dan menjunjung nama baik negara (Ibid: 40).
Dalam bidang politik, Thucydides memetik bahawa Pericles pernah mengutarakan hujah perlunya sebuah institusi paling tinggi yang akan menjadi sumber kepatuhan semua pihak di Athens iaitu undang-undang ( Ibid :39). Kedudukan semua rakyat di bawah peruntukan undang-undang adalah setaraf dan yang bersalah akan dibicara dan dihukum (Ibid:53). Penguatkuasaan ini adalah untuk memastikan keamana terpelihara di Athens. Dari segi pengaruh dalam institusi politik, terdapat kaitan langsung antara politik dan perniagaan, beerti peniaga yang tidak mahu melibatkan diri dalam politik akan tiada tempat langsung dalam institusi masyarakat Athens. Sesuatu polisi pula yang akan diaplikasi akan dihujahkan dahulu dalam institusi yang dianggotai oleh rakyat. Dari segi hubungan luar pula, formula politik Athens ialah berbuat baik dengan dengan semua negara tetapi tidak menerima budi atau barang-barang dari mereka sebagai jalan mengelakkan perasaan terhutang budi yang akan mempengaruhi keputusan pada masa-masa hadapan (Ibid :39).
Dalam bidang sosial, taraf rakyat adalah berdasarkan sumbangannya kepada negara terutama sumbangan mempertahankan keselamatan dan kepentingan negara (Ibid:41). Pericles juga menyebarkan sebuah doktrin rakyat bahawa perlunya populasi yang besar untuk mempertahankan keselamatan negara. Di Athens, berlaku kemajuan dalam kebajikan sosial kerana populasi ini akan diberikan kehidupan dan persekitaran yang berkualiti (Ibid). Bantuan juga akan diberikan kepada anak-anak askar yang terkorban (Ibid 42). Pada zaman merebaknya sesuatu wabak, rakyat akan diberi perhatian khusus melindugi dari wabak dengan rawatan kesihatan dan perubatan yang mencukupi (Ibid 43). Dapatlah dikatakan bahawa Athens telah mempelopori isu keselamatan insan.
Dari segi ekonomi, formulanya ialah tidak terlalu bergantung kepada pengimportan bahan-bahan dari luar kerana ia boleh digunakan sebagai senjata kelak kepada Athens sendiri (Ibid 38).
Bab Tiga (Buku Tiga) buku Thucydides pula adalah berkenaan pemerhatian beliau terhadap debat berkenaan hukuman atau layanan kepada sekutu Athens yang berpaling tadah. Mytilene ialah sebuah negara sekutu kepada Athens, walaubagaimana pun suatu ketika ia telah berpaling menyokong Sparta dan sekutunya. Timbul perdebatan di kalangan rakyat Athens setelah melihat serangan balas oleh Athens yang kejam terhadap Mytilene dengan memusnahkan keseluruhan penduduk lelakinya serta menjadikan wanita dan kanak-kanak negara tersebut sebagai hamba. Thucydides merekodkan ucapan oleh Cleon yang mempertahankan tindakan Athens tersebut sebagai cermin ketegasan pemimpin, peraturan, undang-undang dan undang-undang sebuah sekutu. Cleon juga mempertahankan pendapatnya dengan mengatakan bahawa kepentingan negara adalah melebih adalah melebihi kepentingan individu ke atas isu tersebut (Ibid: 46). Maknanya Athens mempertahankan tindakannya ke atas Mytilene berbanding dengan pendapat individu dalam Athens yang menganggapnya sebagai tindakan kejam. Ia juga adalah amaran kepada mana-mana negara yang mahu memberontak atau memisahkan diri dari sekutu (Ibid:47). Ia juga satu amaran kepada sebuah negeri yang sombong walaupun menerima layanan baik dari sebuah sekutu yang dominan(Ibid). Ia juga satu bentuk balasan kepada tindakannya yang berpaling tadah kepada semua negara di dalam sekutu. Tindakan-tindakan ini juga adalah satu bentuk kaedah cegah rintang kepada mana-mana negara yang cuba berpaling tadah kepada sekutu sendiri dan menyokong sekutu yang lain(Ibid:48). Ia juga satu bentuk pengajaran bahawa negara yang berpaling tadah akan menghadapi musuh baru iaitu seluruh negara sekutu yang ditinggallkannya(Ibid:49). Tetapi kepada Athens disamping pengajaran yang buruk kepada negara yang berpaling tadah ini ; Athens lebih menyukai prinsip mencegah negara sekutunya berpaling tadah dengan memberi mereka kekayaan, harapan dan kebebasan berpolitik. Prinsip memerangi sekutu bukanlah prinsip utama Athens, ia hanya satu bentuk pengajaran.
Bab Lima (Buku 5) adalah tentang Dialog Melian iaitu berkenaan dengan kaedah diplomasi dalam proses perluasan kuasa. Dalam proses perluasan kuasa, Athens telah ke Argos dan Melos. Cita-cita ini disokong dengan angkatan kapal yang besar lengkap dengan 1200 hoplites, 300 pemanah dan 20 pemanah berkuda serta bantuan 1500 hoplites dari pihak sekutu dan negara pulau (Ibid:49). Melos atau rakyatnya yang dikenali sebagai Melian adalah negara pulau jajahan Sparta. Mereka enggan menyertai empayar Athens seperti negara pulau yang lain. Mereka mahu taraf berkecuali dengan tidak menyokong mana-mana empayar tetapi setelah Athens menghantar angkatan yang besar, ia terang-terangan menjadi musuh baru Athens. Sebelum peperangan berlaku terdapat beberapa proses diplomasi atau proses tawar-menawar di antara Athens dan Melos. Ia boleh dikatakan sebagai tahap perundingan keamanan dalam peringkat pengurusan konflik sesebuah negara yang menghadapi ancaman peperangan. Dalam perundingan tersebut, Melos berkeras tidak menerima ketinggian ranking Athens dan enggan menyerah diri secara aman. Athens menawarkan pengambilan Melos secara aman tanpa sebarang kerosakan peperangan dan mengancam Melos akan dimusnahkan dengan teruknya jika memilih untuk berperang. Melos tidak bersetuju dengan taraf negara jajahan yang ditawarkan Athens serta ekplotasi Athens kelak ke atas kekayaan Melos (Ibid:51). Melos mahukan taraf yang sama seperti sekutu atau negara rakan. Malah Melos berfahaman idealistik bahawa selagi belum berperang belum tahu siapa yang akan memenanginya. Tambahan pula mereka adalah jajahan Sparta dan yakin bahawa Sparta dan sekutunya akan datang menolong jika peperangan tercetus. Athens cuba mempengaruhi Melos dengan mengatakan Sparta bukanlah empayar yang kuat untuk digantungkan harapan serta Melos tidak mempunyai kepentingan untuk dipertahankan oleh Sparta. Perundingan ini gagal kerana kedua-dua pihak tidak menerima mana-mana tawaran. Wakil Athens kemudiannya balik melaporkan kepada jeneral bahawa Melos telah memulakan kerja membina tembok melingkungi bandar Melos serta membahagikan kerja kepada beberapa negara (Viotti & Kauppi 1999:104).
Aplikasi ke atas Keselamatan Malaysia
Prinsip-prinsip strategi, hubungan antarabangsa dan keselamatan dalam buku Peloponessian War karangan Thucydides ini boleh diaplikasi ke atas Malaysia berdasarkan prinsip yang sama. Walaupun terdapat beberapa perkara yang bersamaan, terdapat juga prinsip aplikasi yang berbeza. Bahagian ini boleh dilihat berdasarkan dua pecahan pendekatan iaitu pendekatan strategi keselamatan Malaysia di peringkat antarabangsa dan domestik.
Praktis keselamatan Malaysia di peringkat antarabangsa dan domestik adalah berubah-ubah mengikut keperluan keselamatan semasa semenjak merdeka. Definisi keselamatan nasional juga secara umumnya bergantung kepada sejauhmana sesuatu ancaman atau ancaman-ancaman itu boleh mengancam nilai-nilai utama atau nilai teras negara Malaysia (Hari Singh 2004:2). Secara umumnya, nilai-nilai utama ini berkait dengan kelangsungan hidup rakyat, kelangsungan kedaulatan dan integriti/keabsahan sempadannya, kebajikan ekonomi, pengekalan institusi sosio-politik, ideologi dan kebudayaan serta perpaduan nasional (Ibid). Di peringkat antarabangsa pula, strategi dasar luar sebuah negara ialah membina reputasi dan prestij, status pembangunan tertentu, perdagangan yang lancar, serta capaian kepada pasaran luar dan bahan mentah (Ibid). Termasuk kepada Malaysia, umumnya ancaman kepada keselamatan negara ialah gangguan politik, serangan ketenteraan, penajaan aktiviti perisikan dan pengintipan oleh pihak luar, peperangan dan ketidakstabilan serantau, gangguan perdagangan serta jalan perdagangan, monopoli perdagangan, dan perubahan radikal terhadap kuasa pengimbang serantau (Ibid:3).
Berdasarkan kerangka asas di atas, strategi dan taktik keselamatan negara Malaysia akan dinilai berdasarkan perbicangan secara kronologi sejak zaman awal kemerdekaan sehingga era Pasca 11 September. Analisis bahagian ini juga meliputi aspek perbandingan strategi dan taktik yang dipakai oleh Malaysia dan Athens. Perbandingan ini akan dilihat dari aspek persamaan dan perbezaan strategi dan taktik oleh kedua-dua negara. Perbincangan ini juga akan dibahagikan kepada analisis strategi Malaysia di peringkat antarabangsa atau luaran, serta di peringkat dalaman atau domestik. Walau bagaimanapun, realitinya keterkaitan keselamatan luaran dan dalaman Malaysia adalah berkaitan secara langsung dan ancaman keselamatan kepada mana-mana bahagian akan memberi kesan langsung kepada bahagian yang satu lagi.
Di peringkat dalaman, aspek keselamatan negara yang dipertahankan oleh Malaysia ialah keselamatan keseluruhan yang melibatkan kaitan rapat sektor-sektor atau bidang utama seperti keselamatan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Ini beerti kerapuhan atau gangguan keselamatan yang berlaku kepada mana-mana sektor akan menjejaskan bidang yang lain.
Malaysia pada Era Perang Dingin
Sejak zaman awal kemerdekaannya lagi, definisi keselamatan banyak dibuat oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan. Oleh itu, definisi keselamatan negara secara langsung melibatkan tafsiran ancaman oleh kerajaan tersebut, termasuk kepada bentuk-bentuk ancaman yang turut mengancam keselamatan rejim yang memerintah (Ibid:3). Malah rejim menjadi sumber dan orientasi kepada tafsiran kepentingan-kepentingan negara yang perlu dipertahankan dengan menggunakan tiket mempertahankan keselamatan negara (Ibid). Bagi Malaysia, tafsiran ancaman kepada keselamatan negara pada era itu ialah ancaman ideologi komunis yang dibawa oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dari penjajahan Inggeris yang berfahaman demokrasi, pertentangan ideologi yang dibawa oleh PKM sebagai satu aliran baru dari persekitaran politik antarabangsa sebelah rantau Asia Pasifik, dilihat sebagai ancaman kepada ancaman kepada keselamatan kerajaan setahun jagung didikan British yang dipelopori oleh UMNO. Malaysia juga pada ketika itu bernaung di bawah payung penaung keselamatan atau sekutu ketenteraan yang dikenali sebagai Anglo-Malayan Defence Agreement (AMDA) pada tahun 1957 (Ibid:4). Dalam masa yang sama juga, Malaysia juga berlindung aspek keselamatan luaran di bawah payung Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) yang dinaungi oleh Amerika Syarikat. Jelas sekali, pada ketika itu, demi memperkuatkan kerapuhan sebuah negara baru, Malaysia terpaksa bernaung di bawah payung ideologi demokrasi dengan jelas demi keselamatan kedaulatan, sempadan, rakyat dan ideologinya. Strategi bernaung di bawah sekutu demokrasi yang diguna oleh Malaya ketika itu adalah strategi imbangan ancaman (balance of threat strategy) kerana ketidakmampuan menyediakan pasukan tentera dan keupayaan mempertahankan keselamatan domestik dan luarannya secara bersendiri. Sehingga tahun 1959, Malaysia terus menikmati faedah saluran diplomatik dan faedah free riding yang menjadi asas sokongan kuatnya ke atas penubuhan Southeast Asian Friendship Treaty (SEAFET) serta kemudiannya Association of Southeast Asia (ASA). (Ibid:4). Malaysia kemudiannya memperkukuhkan keselamatannya dengan menyertai sekutu ANZUK yang mempunyai hubungan langsung dengan SEATO. Pengukuhan ini dibaut untuk menghadapi ancaman dari China dan Vietnam yang dipersepsi sebagai meluaskan kuasanya sehingga ke negara-negara jiran (Ibid:5). Tindakan ini juga sebagai strategi cegah rintang (deterrence strategy) ketika Malaysia berhadapan konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963-1966 (Ibid). Kepada Amerika Syarikat yang menjadi kuasa pelindung dalam ANZUK, ia adalah satu bentuk tindakan provokatif (provocative action) mencabar kecenderungan antoganisme komunisme oleh Vietnam, China, dan Indonesia di rantau ini. Menyertai sekutu British dan Amerika Syarikat adalah strategi Malaysia untuk meraih perlindungan keselamatan dari luar serta sokongan keselamatan antarabangsa termasuk terhadap isu tuntutan Sabah oleh Filipina.
Penyertaan Malaysia dalam sekutu keselamatan di peringkat luaran telah memberi faedah kepada keselamatan dalamannya. Kerajaan dapat menghadkan perbelanjaannya dalam pertahanan dan membawa peruntukan tersebut kepada pembangunan ekonomi. Tumpuan kepada pembangunan ekonomi telah mengurangkan jurang kemiskinan kaum serta sebagai strategi yang efektif menyekat ancaman komunis kepada kerajaan (Ibid:6). Oleh itu, bantuan ketenteraan yang diterima dari sekutu adalah strategi serampang dua mata iaitu memperkuatkan pertahanan sekaligus menentang musuh-musuh rejim.
Kedudukan Malaysia sebagai negara yang dilindungi dalam sekutu kemudiannya berubah selari dengan perubahan pola sekutu di rantau ini. Tekanan politik di Eropah memaksa British menarik keluar sebahagian besar tenteranya di Malaysia dan Singapura sehingga Malaysia merasakan ia berhadapan dengan ancaman baru dari China dan Vietnam. Walau bagaimanapun, British terus meneruskan tradisi menaunginya dengan penubuhan Five Powers Defence Arrangements (FPDA) pada tahun 1971 menggantikan AMDA. FPDA dianggotai oleh United Kingdom, Australia, Singapura dan New Zealand (Bristow 2005:1). FPDA menyediakan landasan mekanisme pembinaan keyakinan kepada hubungan Malaysia dan Singapura dalam era pasca pemisahan. FPDA juga satu dasar menaungi Amerika Syarikat di rantau ini sehingga diperuntukkan dengan jelas dalam Doktrin Nixon (Hari Singh 2004: 6). Perkembangan keselamatan di luar negara ini memberi kesan kepada strategi dan taktik keselamatan domestik Malaysia.
Pertukaran pemimpin utama negara Malaysia pada tahun 1970 menyaksikan perubahan dalam pendekatan dasar luarnya daripada anti-komunisme kepada dasar berkecuali yang mempromosikan dasar tidak menceroboh serta jaminan kuasa-kuasa besar akan hal ini. Sokongan Malaysia terhadap ideologi penubuhan ASEAN ini berkaitrapat dengan cita-cita PM Tun Abdul Razak untuk membaiki imej kerajaan di peringkat domestik yang gagal menyekat perpecahan perpaduan berikutan kejadian Mei 1969. Penyertaan Malaysia dalam ASEAN 1967 juga sebagai meneruskan strategi lamanya mengekang potensi ancaman dari luar iaitu dari negara-negara jirannya serta sebagai strategi merendahkan perbelanjaan pertahanannya (Ibid:7). Strategi dasar luar ini juga selaras dengan strategi keselamatan domestik iaitu pendirian rejim kepada prinsip “tidak campur tangan” (non interference) mana-mana negara ASEAN ke atas hal ehwal dalaman negara anggota. Prinsip ini akan memastikan keselamatan rejim yang memerintah dalam Malaysia. Selaras dengan kod ASEAN iaitu memperkuatkan ”ketahanan serantau” (regional resilience), Malaysia juga meniupkan nada yang sama iaitu ”ketahanan nasional” (national resilience) dalam menghadapi kebangkitan Vietnam sebagai kuasa tentera baru di IndoChina. Perkembangan ini juga menyaksikan banyak negara ASEAN menambahkan tahap pemerolehan senjata (Ibid:8). ”Ancaman dari utara” (threats from the north) yang paling utama kepada Malaysia pula ialah kebanjiran pelarian Vietnam di pantai-pantai Malaysia. Kemudiannya, keputusan Amerika Syarikat memasukkan China dalam segitiga strategik di rantau ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia ke dalam kesatuan yang sama dengan China. Ia sekaligus meletakkan Malaysia dalam dilema keselamatan kerana konflik Sino-Soviet masih berterusan, serta risiko pertelagahan dua kuasa besar Amerika Syarikat dan Soviet di Asia Tenggara (Ibid). Berhadapan dengan cubaan merampas kuasa UMNO oleh PKM sebagai kuasa elit pemerintahan telah menyebabkan Undang-undang Darurat diisytiharkan pada tahun 1950 diikuti dengan pengistiharan Darurat pada tahun 1960 serta Internal Security Act (ISA) (Ibid :8). Kuasa menahan tanpa bicara oleh kerajaan menyebabkan timbulnya persoalan pencabulan hak asasi manusia walaupun atas nama keselamatan negara.
Malaysia kemudiannya berhadapan dengan cabaran mempertahankan keselamatan rejim dan integriri sempadan apabila Singapura mencabar kerajaan Melayu persekutuan. Ia dianggap ancaman besar kepada keselamatan negara kerana Singapura sebagai sebuah city state tidak wajar mempersoalkan rejim pemerintah dan ketuanan Melayu dalam kuasa politik. Penyingkiran Singapura meledakkan ketegangan etnik sebagai ancaman dalaman paling besar kepada keselamatan nasional. Ketegangan ini sudah lama wujud sebagai kesan pemisahan sosio ekonomi serta penyertaan politik. Undang-undang Darurat hanya dimansuhkan pada tahun 1971 atas kepentingan rejim. Ia refleks kepada monopoli ketuanan Melayu dalam politik sebagai asas keselamatan nasional. Ketuanan Melayu ini diperkukuhkan dengan strategi meningkatkan bilangan orang Melayu dalam pasukan polis, tentera, wakil cabinet dan birokrasi, serta penyertaan dalam ekonomi (Ibid: 11). Hegemoni Melayu dalam proses politik ini berkembang dengan baik dan menyumbang kepada kestabilan keselamatan domestic tetapi menimbulkan perasaan ketidakselamatan kaum lain. Sekain itu, kerajaan juga berhadapan dengan gelombang baru perkembangan politik luar negeri iaitu pengaruh perkembangan Islam di luar
Pada era selepas Perang Dingin, perkembangan politik di luar negeri memaksa
Malaysia juga tidak mengabaikan imbangan keselamatan dalaman. Ini dicerminkan dalam perbelanjaan pertahanan yang meningkat dari RM2.6 billion pada tahun 1980-an kepada RM6 billion pada tahun 1990-an (Ibid). Di samping keupayaan ekonomi untuk berbuat demikian, perkembangan ini didorong oleh keperluan memoden dan memperkuatkan keupayaaan pertahanan persenjataan armada laut dan udara, serta keprihatinan Malaysia ke atas niat jiran terdekat dalam ASEAN (Ibid). Hal ini boleh dikurangkan dengan kerjasama ekonomi oleh negara-negara anggota melalui projek segi tiga pertumbuhan ekonomi seperti SIJORI (Singapura-Johor-Riau), IMT (Indonesia-Malaysia-Thailand) dan EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Philipinna)(Ibid:16). Logiknya, kerjasama ini boleh memupuk kestabilan serantau kerana adanya kebergantungan kepentingan sesama negara anggota. Tambahan pula, trend ekonomi di mana-mana rantau adalah membentuk blok ekonomi serantau, contohnya peluang ekonomi yang lebih besar dalam rantau besar ”Asia Timur” dan ”Asia Pasifik”. Kepentingan ekonomi dalam ASEAN sedikit sebanyak mempengaruhi penyesuaian dasar luar Malaysia, terutamanya trend geoekonomi dan ekonomi berasaskan globalisasi. Pada tahun 1999, perdagangan Malaysia dengan nagara ASEAN mengambil nilai hanya kira-kira 23.6 peratus dari jumlah keseluruhan perdagangan luarnya dan 15.4 peratus jumlahnya dengan Singapura (Ibid). Perdagangan dengan AS mengambil jumlah yang besar iaitu 20 peratus, 15.6 peratus dengan Jepun, dan 14 peratus dengan Kesatuan Eropah (Ibid). Kadar pergantungan yang besar kepada negara-negara perdagangan utama Barat ini meletakkan Malaysia dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dan tidak selamat. Oleh sebab itulah Malaysia keluar mencari peluang baru ke negara Selatan-Selatan dalam kerangka G-15 (Ibid). Pergantungan Malaysia kepada pasaran dan pelaburan oleh negara-negara maju juga telah menyebabkan kedua-dua pihak berada dalam keadaan tidak stabil kerana ketidaktentuan perundingan yang belaku dalam Agreements on Tariffs and Trade (GATT) pada tahun 1990-an (Ibid). Atas sebab inilah Malaysia menoleh ke blok ekonomi serantau seperti APEC dan AFTA, EAEC dan ASEM (Ibid) untuk mengurangkan kerapuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, pasaran bebas juga belum menjamin kelangsungan hidup industri berasaskan negeri yang masih muda. Di peringkat dalaman, perkembangan ekonomi tidak dapat dipisahkan dengan regim yang memerintah, terutamanya dengan perkembangan golongan pertengahan Melayu pada awal 1980an. Pada masa yang sama orentasi ekonomi Malaysia adalah daripada asas import kepada perindustrian berat. Tujuannya adalah menyediakan “strong state” diangkat sebagai alat pembangunan ekonomi dan kestabila politik (Ibid:17). Melalui sistem kroni UMNO yang menwujudkan hubungan rapat antara politik dan perniagaan telah menyebabkan berlaku rasuah. Sewaktu krisis kewangan Asia 1997 para peniaga yang menerima bantuan UMNO ini terjejas teruk dan UMNO memalingkan kesahan kejatuhan ekonomi Malaysia kepada George Soros (Ibid:18). Walaubagaimanapun tindakan Malaysia mengawal matawang dan menghindarkan bantuan IMF dan bank dunia telah berjaya menstabilkan ekonomi serta mengelakkan pencerobohan kedaulatan melalui saluran ekonomi.
Dalam aspek strategi, pemodenan ketenteraan yang dilakukan oleh Malaysia adalah sebagai tidak balas kepada kedaan geostrategik dan tujuan-tujuan keselamatan (Loo 2005: 395). Tentera Malaysia telah melakukan banyak pembaharuan dalam tujuan ini termasuk air refueling and airborne early warning platforms, helicopter gunships, main battle tanks, armoured fighting vehicles, multiple roceket launchers, serta submarines dan offshore patrol vessels (Ibid). Berkemungkinan besar inisiatif Malaysia ini disebabkan oleh pembaharuan yang sama yang dimulakan oleh jirannya Singapura yang memiliki keupayaan project power in some limited power, terutama modern air warfare paltaforms, air refuling capabilities, dan marine power projection (Ibid). Indonesia juga kembali menfokuskan kepada keupayaan maritim, begitu juga Vietnam yang membangunkan keupayaan maritim dan udara secara serentak dengan pembelian MiG-21 fighters, dan 24 SU-27 jet fighters (Ibid).
Malaysia pada abad ke 21 berhadapan dengan ancaman bukan tradisional yang memerlukan ia mendifinisikan semula keselamatan negara, seperti serangan pengganas serta kesan revolusi maklumat dan teknologi.
Aplikasi Strategi Keselamatan Athens ke atas Malaysia
Berbeza dengan Athens, penubuhan dan latar belakang negaranya yang berbeza serta kedudukannya yang tersendiri dalam liga Delian telah menyaksikan pendekatan strategi dan taktik yang berbeza dengan Malaysia. Malaysia ialah sebuah negara muda yang baru merdeka serta berhadapan dengan kerapuhan-kerapuhan dari segi luaran dan dalaman, sementara Athens dalam The Peloponnesian War ialah sebuah negara kukuh yang memiliki kekuatan ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial. Athens adalah jelas sebuah negara tentera selaras dengan kedudukan dan cita-citanya ke arah mempertahankan empayarnya dari dicerobohi Sparta, begitu juga dengan cita-cita peluasan kuasa hingga ke Argos dan Melos. Melos ialah sebuah negeri pulau jajahan Sparta. Athens juga mempunyai kedudukan tertinggi dalam sekutunya iaitu Liga Delian, dan mempunyai kuasa penting sebagai pembuat keputusan terutama tentang hal ketenteraan. Bagi Malaysia, sejak merdeka, Malaysia tidak mempunyai kekuatan tentera tersendiri sehingga terpaksa diberi perlindungan keselamatan dan ketenteraan oleh AMDA, SEATO, SEAFET, ASA, ANZUK, dan FPDA. Malaysia juga terpaksa bergantung kepada consultative arrangements seperti ASEAN sebagai landasan membina keyakinan sesama sendiri dengan negara anggota dalam ASEAN sehingga ke hari ini, terutama dengan perkembangan geostrategik rantau ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa China. Secara tak langsung, Malaysia juga turut terlibat dengan minat negara-negara besar ke dalam ARF.
Dalam bidang ekonomi, terdapat persamaan dan perbezaan dari segi praktis ekonomi negara. Di peringkat domestik, kuasa ekonomi Athens dipegang oleh golongan peniaga yang juga elit politik. Ini dicerminkan dengan jelas bahawa golongan peniaga yang tidak mahu terlibat dengan politik tiada tempat langsung dalam Athens. Prinsip ini sama dengan sistem naungan UMNO kepada elit ekonomi Melayu dngan memberi peluang-peluang ekonomi supaya berkembangnya penyertaan Melyu dalam kegiatan politik negara. Dari segi perdagangan antarabangsa pula, Athens tidak mengamalkan pergantungan pengimportan barangan dari sumber luar untuk mengelakkan pergantungan tersebut dijadikan alat mengancam keselamatan Athens pada masa hadapan. Berbeza dengan Malaysia, sejak merdeka, orientasi ekonomi Malaysia adalah berasaskan import kemudian ke arah orientasi industri berat, serta orientasi pasaran bebas yang menggantungkan nasib kepada pasaran dan sumber pelaburan dari negara maju. Keadaan ini menyebabkan keselamatan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang rapuh dan terancam. Walau bagaimanapun, kadar pergantungan negara-negara maju ke atas pasaran dan sumber dari negara ASEAN termasuk Malaysia menjadikan Malaysia lebih stabil dan selamat.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persamaan dalam pendekatan praktis keselamatan antara Malaysia dan Athens. Persamaan-persamaan itu ialah seperti berikut adalah bidang politik dan sosial.
Di Athens, terdapat sebuah instusi paling tinggi yang menjadi sumber kepatuhan semua pihak iaitu instusi undang-undang. Athens juga mengamalkan prinsip demokrasi iaitu rakyat mempunyai institusi sebagai saluran mereka meluahkan suara, misalnya debat terbuka tentang tindakan Athens ke atas Mytilene, sebuah negara sekutu yang berpaling tadah. Malaysia juga mempunyai institusi undang-undang yang menjadi sumber rujukan semua pihak dalam Malaysia, serta mempunyai parlimen sebagai tempat menyalurkan suara rakyat.
Dari segi sosial, terdapat sedikit perbezaan dengan kedudukan tentera yang terkorban semasa peperangan. Sementara imej tentera adalah setaraf dengan imej pekejaan lain, di Athens, taraf rakyat adalah berdasarkan sumbangannya kepada keselamatan dan kepentingan negara. Sebuah doktrin rakyat juga disebarkan bahawa perlunya populasi yang besar untuk mempertahankan keselamatan negara. Malaysia belum lagi mempunyai doktrin sebegitu walaupun pernah dilancarkan kempen ’ke arah 70 juta penduduk’. Walau bagaimanapun, terdapat persamaam apabila Athens juga memberi perhatian terhadap kehidupan dan persekitaran yang berkualiti, misalnya rawatan kesihatan dan perubatan yang mencukupi. Sama seperti Malaysia, anak-anak askar yang terkorban diberikan bantuan. Sejak merdeka, Malaysia banyak menekankan pembangunan sosial termasuk usaha-usaha membasmi kemiskinan, memupuk perpaduan kaum, serta menyeimbangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum sebagai langkah mengawal keselamatan negara. Latar belakang komposisi kaum yang berbeza menjadikan pendekatan yang Athens dan Malaysia adalah berbeza walaupun asasnya adalah sama, keselamatan sosial adalah sebahagian dari keselamatan keseluruhan sesebuah negara.
Secara keseluruhannya, asas pendekatan keselamatan nasional negara Athens dan Malaysia adalah sama iaitu total security. Persepsi keselamatan adalah dilihat berdasarkan keselamatan semua komponen yang menyumbangkan kepada kestabilan negara secara keseluruhannya iaitu keselamatan negara yang meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, dan ketenteraan. Ini bermakna Athens dan Malaysia mempersepsikan bahawa ancaman kepada mana-mana cabang keselamatan akan menjejaskan cabang yang lain atau mengancam keselamatan nasional secara keseluruhannnya. Di peringkat luaran pula, Malaysia sama seperti Malaysia; mesti mempersepsikan keselamatan mengikut perkembangan yang berlaku dalam konteks geostrategik dan niat dan cita-cita jiran-jiran terutama jiran serantau.
Kesimpulan
Kertas ini ditulis untuk memperkenalkan seorang tokoh strategi awal iaitu Thucydides. Sumbangannya yang terpenting adalah tentang prinsip dan praktis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa. Kertas ini seterusnya membandingkan pendekatan keselamatan yang digunakan oleh Athens seperti yang dicatatkan oleh Thucydides dalam buku karangannya The Peloponnesian War, dan pendekatan keselamatan yang diambil oleh Malaysia. Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan dalam pendekatan yang diambil oleh kedua-dua negara walaupun asasnya adalah sama iaitu definisi keselamatan adalah total security meliputi bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Perbezaan latar zaman, dan perkembangan geostrategik kedua-dua negara memperlihatkan kedua-dua negara bertindak mengikut keperluan keselamatan berdasarkan keadaan semasa.
Rujukan
Brown, Christ., Nardin, Terry. & Rengger, Nicholas. 2002. International Relations in Political Thought.
Bristow, Damon. 2005. The Five Power Defence Arrangements:
Fook Weng Loo, Bernard. 2005. Transforming the Strategic Landscape of
Hari Singh. 2004.
Thucydides. The Melian Dialogue. 1999. Viotti, Paul. R, Vauppi, Mark. V. International Relations Theory. Realism, Pluralism, Globalism, and Beyond (3rd Ed.).
1 comment:
tq2....yeah ianya tlah mmbntu sy
Post a Comment